Noraniza Idris tidak terkilan biarpun terpaksa menangguhkan Konsert Malai Solo di Panggung Sari, Istana Budaya (IB), September ini, kepada tahun depan. Sebaliknya, Noraniza yang lebih mesra disapa Kak Ani, bersyukur konsert itu ditangguhkan berikutan dunia hiburan suram sejak penularan COVID-19.
“Masalah utama saya adalah hendak mendapatkan penaja. Dengan situasi sekarang, banyak syarikat korporat masih berkira-kira mengeluarkan wang disebabkan ekonomi yang tidak begitu memberangsangkan.
“Apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya ada hubungi IB untuk menangguhkan konsert kepada tahun depan atas alasan sama dan tidak tidak mahu menanggung risiko.
– Noraniza Idris
“Saya bersyukur konsert ini tidak diteruskan. Jika tidak, saya pasti berdepan pelbagai masalah,” katanya kepada BH Online.
Tambah penyanyi Awallah Dondang ini, keputusan menangguhkan Konsert Malai Solo ke tahun depan dianggap langkah tepat.
“Sebelum ini, saya bercadang membawa orang luar datang menyaksikan konsert ini. Dengan apa yang berlaku seperti pintu sempadan ditutup, agak sukar untuk misi ini dilaksanakan.
“Namun, saya gembira kerajaan menyokong hasrat saya membawa konsert ini tahun depan sejajar dengan misi menyambung kempen Tahun Melawat Malaysia (TMM) pada 2021,”
– Noraniza Idris
Mengikut perancangan awal, selain konsert, Noraniza berhasrat menganjurkan acara sampingan iaitu Malai Fest.
Antara program yang akan mengisi acara itu adalah seminar dan bengkel membincangkan aspek kebudayaan negara Asean yang menyertainya.
Sumber: Berita Harian