Kegembiraan vokalis kumpulan Jinbara, Tia beriadah bersama keluarga berakhir dengan musibah apabila barangan berharga yang ditinggalkan dalam kereta, dilarikan pencuri, semalam.
Insiden itu berlaku di lokasi berhampiran rumahnya di Taman Rakyat, Sri Andalas, Klang. Tia membuat laporan mengenai kejadian itu di Balai Polis Taman Sentosa, Klang.
Tia atau nama penuhnya, Shamsul Bakhtiar Zakaria, 47, memberitahu, antara barangan dicuri termasuk ‘clutch’ miliknya, tas tangan isteri dan dua telefon bimbit dengan nilai kerugian hampir RM6,000.
“Saya, isteri dan anak bongsu, Ahmad Nifail yang berusia 11 tahun, mahu berjoging di taman rekreasi itu. Sebelum keluar dari kenderaan, kami menyimpan beg masing-masing di bawah kerusi kereta.
“Sejam kemudian, kami kembali ke kereta. Saya mula cuak apabila alat penggera kenderaan tidak berbunyi apabila ditekan. Sebaik pintu kereta dibuka, kami dapati habis kad-kad bersepah.
“Apa yang pelik, ‘clutch’ saya diambil, tetapi pencuri meninggalkan MyKad dan beberapa kad bank. Namun, wang sebanyak RM5 dicuri,” katanya kepada BH Online.
Apa yang membuatkan Tia terkilan, dua telefon bimbit yang dicuri, dibeli hasil daripada kemenangannya pada program realiti, Gegar Vaganza (GV) musim keempat di mana dia menduduki tempat keenam.
Tia berkata, dia dimaklumkan pegawai polis, banyak kes curi berlaku di lokasi kejadian itu terutama membabitkan barangan yang ditinggalkan dalam kenderaan ketika mangsa bersenam.
Tambah penyanyi bersuara nyaring itu, dia enggan lagi meninggalkan barangan berharga dalam kereta.
“Biasalah, apabila kita nak joging, semua barang disimpan rapi dalam kereta. Walaupun disorok, kita masih boleh menjadi mangsa penyamun.
“Pencuri dikatakan mempunyai sejenis alat yang boleh membuka kereta dengan senang tanpa disedari orang lain. Ini kejadian samun kedua yang saya hadapi. Beberapa tahun lalu, saya pernah dirompak di sebuah restoran mamak,” katanya.
Sumber: Berita Harian