Penyanyi popular Misha Omar mencipta sejarah peribadi apabila tiket konsert solonya yang bakal berlangsung di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada 5 Ogos depan habis dijual dalam tempoh 18 jam. Tiket konsert solo Misha itu mula dibuka jualannya pada 2 Mei lalu.
Sewaktu dihubungi hari ini, pemenang anugerah Vokal Terbaik, Anugerah Juara Lagu ke-33 (AJL33) itu menjelaskan perkembangan itu sangat menggembirakan dirinya.
“Pastinya sebagai penyanyi yang mempertaruhkan jualan tiket untuk pentas berskala besar apabila habis terjual membuatkan saya berasa sangat bersyukur.
“Apabila tiket habis dijual bermakna satu fasa sudah selesai. Ia cukup melegakan memandangkan selalunya seorang penyanyi yang bakal muncul dengan konsert berskala besar tertunggu-tunggu maklum balas jualan tiket macam mana,”
– Misha Omar
Misha juga memberitahu dia dan kakaknya merangkap pengurus, Mimi Omar termenung seharian kerana tidak percaya tiket konsert dapat dijual sepantas itu namun dalam waktu sama perkembangan itu sangat menggembirakan mereka.
“Alhamdulillah apabila tiket konsert habis dijual dalam masa yang singkat bermakna peminat yakin dengan saya.
“Tugas saya sekarang adalah mengisi senarai lagu yang akan dipersembahkan malam konsert,”
– Misha Omar
Dalam waktu sama Misha berkata, dia harus mengekalkan kesihatan juga stamina memandangkan kali ini akan menyanyi seorang diri.
“Sepanjang dua bulan ini sebelum tarikh konsert saya harus menggunakannya sebaik mungkin untuk membuat segala persiapan diperlukan,”
– Misha Omar
Penyanyi Misha Omar menyifatkan, konsert solonya, This Is Misha Live at DFP sebagai ruang untuk berkongsi perjalanan seni sepanjang 17 tahun bersama peminat.
Misha berkata, konsert satu malam yang akan berlangsung di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada 5 Ogos depan juga bakal membawa peminatnya mengenang jatuh bangun perjalanannya dalam industri muzik.
“Saya terharu menerima sokongan dan kata positif peminat sebaik sahaja jualan tiket konsert itu dilancarkan, tengah malam tadi. Alhamdulillah, saya dimaklumkan jualan tiket mendapat sambutan hangat.
“Kepercayaan mereka menjadi pembakar semangat untuk saya merangka persembahan yang akan meninggalkan momen terindah untuk dikenang nanti,”
– Misha Omar
Penyanyi Sampai Bila itu berkata, kejayaan konsert Soul Sisters bersama Siti Sarah dan Noryn Aziz di Panggung Sari, Istana Budaya, bulan lalu, turut membuat peminat teruja untuk melihatnya kembali beraksi.
“Konsert itu memberi impak positif apabila peminat semakin yakin dengan keupayaan saya untuk beraksi di pentas secara solo.
“Secara jujur, saya agak berdebar, pada masa sama, teruja menantikan detik itu. Sebagai penyanyi, ini momen yang saya paling tunggu kerana sudah 17 tahun saya menanti untuk mengadakan konsert solo,”
– Misha Omar
Mengenai persiapan menjelang konsert itu, Misha berkata, latihan hanya bermula selepas sambutan 1 Syawal kerana dia akan berehat sepanjang Ramadan nanti.
“Seperti biasa, saya akan kembali menjalani latihan vokal di bawah bimbingan Datuk Syafinaz Selamat. Selain lagu popular, saya juga mahu membawa peminat mengimbau sentuhan yang menjadi kegemaran ramai.
“Saya juga merancang untuk menampilkan segmen penghargaan, tetapi belum memikirkan untuk siapa. Apa yang pasti, malam itu akan melakar satu lagi sejarah manis dalam kerjaya nyanyian saya,”
– Misha Omar
Sumber: Berita Harian