Filem adaptasi dari novel popular, The Garden of Evening Mists (TGOEM), terbitan Astro Shaw dan HBO Asia dengan sokongan dari Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan dengan kerjasama dari CJ Entertainment membuat tayangan perdananya di 24th Busan International Film Festival (BIFF) menerusi kategori ‘A Window on Asian Cinema’ pada 4 Oktober 2019.
Ia dimeriahkan lagi dengan kehadiran pengarahnya, Tom Lin dan pelakon utama, Sinje Lee. Lebih mengujakan, filem ini turut ditayangkan pada 6 Oktober, jam 4.00 petang di MEGABOX Jangsan Haeundae 4 dan 11 Oktober, jam 8.00 malam di Lotte Cinema Centum City 4. Tiket untuk semua tayangan telah habis dijual. Setiap sesi tayangan mempunyai kapasiti seramai 841 penonton.
TGOEM menerima respon positif dari penonton. Antara respon yang diterima adalah:
“Filem ini mengangkat semangat kental wanita dalam mengharungi keperitan hidup dan berusaha mencapai impiannya. Padat dengan emosi, filem ini turut meletakkan unsur seni bina dan seni lukis yang mempunyai persamaan dengan seni tradisional Korea. Saya menyukai watak Nakamura Aritomo lakonan Hiroshi Abe kerana karakter tersebut begitu berkarisma dan mempunyai persona tersendiri. TGOEM ini sebuah naskhah yang baik dan saya pasti akan mengesyorkan kepada keluarga dan rakan-rakan.”
– Minsol Kim
“Sebuah filem yang bagus. Saya amat menyukai susunan skor muzik filem ini dan muzik orkestranya membantu penonton menyelami mood filem ini. Landskap menarik yang dipersembahkan juga berjaya mencuri tumpuan penonton. Sementara itu, harus diberi pujian buat bintang-bintang utama yang membawa watak masing-masing dengan begitu berkesan sehingga berjaya membuat saya menitiskan air mata. Tiga perkataan yang boleh saya gambarkan tentang filem ini adalah produksi, muzik dan sinematografi yang bertaraf antarabangsa.”
– Dongki Kim
“Pada permulaannya saya agak skeptikal dengan filem ini. Namun, setelah menontonnya saya menyukai setiap momen kerana plot filem dikembangkan dengan begitu baik. Untuk filem Malaysia, jarang dilihat nilai produksi, mutu lakonan, busana, latar lokasi dan tema filem digarap dengan sempurna bertarafkan filem antarabangsa. Pengarah berjaya membawakan elemen kemaafan yang begitu sempurna sekali. Babak yang paling saya gemari adalah “shakkei” di mana konsep tersebut turut digunakan di Korea.”-
– Bonita
Sementara itu, Pengarah Tom Lin turut berkongsi pengalamannya ketika sesi temu bual.
“Apabila saya menghasilkan filem yang berlatar belakangkan dari abad perang dunia ini, saya cuba lari dari mengetengahkan elemen rasa benci dan marah seperti ditonjolkan dalam filem-filem lain. Saya percaya cinta mampu melahirkan pelbagai elemen. Jadi, saya suntikkan rasa cinta menerusi watak Teoh Yun Ling, agar watak tersebut dapat menyampaikan elemen kemaafan yang mana elemen tersebut menjadi subjek utama untuk diketengahkan.”
– Pengarah Tom Lin
Pelakon watak utama, Sinje Lee menjelaskan:
“Bagi menjiwai watak ini, saya banyak menonton dokumentari tentang pengalaman insan-insan yang berada dalam perang dunia.
Pengarah, tenaga produksi dan pelakon-pelakon lain juga banyak memberi tunjuk ajar kepada saya. Ia sebuah pengalaman yang amat berharga buat saya.”
– Sinje Lee
Menurut Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad:
“Kami rasa teruja kerana naskhah yang diadaptasi dari novel terbaik hasil karya anak tempatan ini berpeluang dipersembahkan kepada pengkarya dan penonton dari serata dunia. Uniknya, ia bukan sahaja mempunyai jalan cerita yang menarik tetapi filem ini dihiasi dengan sinematografi yang menampilkan keindahan lokasi di Malaysia dan budaya Asian yang jarang dipertontonkan kepada khalayak dari luar negara. Tayangan telah berlangsung dan ia mendapat sambutan baik jika dilihat dari penjualan tiketnya. Malah, rata-rata penonton memberikan komen positif. Kami harap ini adalah permulaan yang baik buat filem ini dan terus mencipta sejarahnya yang tersendiri.”
– Raja Jastina Raja Arshad
Kembara filem ini tidak terhenti apabila berjaya dipertandingkan di 56th Taipei Golden Horse Film Festival (Golden Horse) dan turut dipertontonkan di Hong Kong Asian Film Festival (HKAFF) yang ke-16 yang berlangsung bermula 29 Oktober sehingga 17 November.
Bagi HKAFF, TGOEM akan ditayangkan dalam segmen Gala Presentations bermula pada 14 – 16 November. Selain TGOEM, sesi tersebut turut mengangkat dua filem lain iaitu ‘The Fallen’ dan ‘Missing’. Festival berprestij ini membuka ruang buat naskhah ini serta bintang filem dan pengarah untuk lebih dikenali di Hong Kong.
Sementara itu di Golden Horse, TGOEM akan dipertontonkan di segmen Closing Film pada 21 November depan. Lebih menarik, naskhah ini juga turut tercalon dalam sembilan kategori iaitu Filem Terbaik (Astro Shaw Sdn. Bhd.,HBO Asia), Pengarah Terbaik (Tom LIN Shu-yu), Pelakon Wanita Terbaik (LEE Sinje), Lakon Layar Adaptasi Terbaik (Richard SMITH), Sinematografi Terbaik (Kartik VIJAY), Arahan Seni Terbaik (Penny TSAI Pei-ling, LUM Heng-soon, CHEN Hsuan-shao), Rekaan Kostum & Solekan Terbaik (Nikki GOOLEY, Biby CHOW, Penny TSAI Pei-ling, Nina EDWARDS), Skor Muzik Asal Terbaik (Onn SAN), dan Penyunting Filem Terbaik (SOO Mun-thye). Festival ini akan berlangsung pada 23 November nanti.
TGOEM menampilkan tenaga kreatif dari Malaysia, Taiwan, Jepun, Singapura, India, Australia dan UK dalam menjayakan filem ini ke layar perak. Antaranya, pengarah berbakat besar dari Taiwan, Tom Shu-Yu, pemenang anugerah lakon layar terbaik Scottish BAFTA, Richard Smith serta barisan pelakon hebat antarabangsa seperti Sinje Lee (The Eye), Hiroshi Abe (After the Storm), Sylvia Chang (Love Education), David Oakes (Cold Skin), Julian Sands (The Girl with the Dragon Tattoo) dan John Hannah (The Mummy).
Filem yang berlatar belakangkan Perang Dunia Kedua di Tanah Melayu ini mengisahkan tentang Teoh Yun Ling mencari ketenangan di Cameron Highlands. Di sana, dia menemui Yugiri, satu-satunya taman Jepun di Tanah Melayu dan pemilik misterinya, Nakamura Aritomo. Dengan berat hati, Arimoto menerima Yun Ling sebagai perantisnya supaya Yun Ling dapat membina sebuah taman sebagai penghormatan kepada adik perempuan kesayangannya yang terkorban di sebuah kem buruh paksa. Tanpa sedari, Yun Ling dan Aritomo mula jatuh cinta.
TGOEM akan ditayangkan di pawagam-pawagam tanah air pada 16 Januari 2020.