Lagu ciptaan Cat Farish, komposer dan tonggak utama kumpulan TFC ini bersama Zizie dan anggota lama, Adeep mengenengahkan genre muzik R&B Soul yang jarang sekali dibawa oleh kumpulan-kumpulan lain dalam industri muzik tempatan kini.
Lagu “Sebulatnya” sebenarnya dicipta seawal tahun 2011. Walau bagaimanapun, rakaman single tersebut hanya siap awal tahun ini disebabkan situasi keahlian anggota TFC yang silih berganti. Pada awalnya, rakaman lagu ‘Sebulatnya” menampilkan kumpulan TFC ketika dibarisi Cat Farish, Zizie, Adeep dan Wangi.
Apabila Adeep dan Wangi mengundurkan diri daripada kumpulan tersebut pada tahun 2012, tempat mereka diambil alih sementara oleh Afiq dan DJ Krates. Versi akhir lagu “Sebulatnya” menampilkan barisan terkini TFC iaitu Cat Farish (Baritone vocalist) dan Zizie (Tenor vocalist) bersama-sama anggota-anggota terbaru, Afif (Tenor vocalist) dan Hairool (Baritone vocalist).
Afif dikesan bakatnya dari program realiti AF9 manakala Hairool pula, menariknya, ditemui bukan dari laman perkongsian video YouTube seperti lazimnya kini tetapi menerusi laman sosial Facebook.
The Fabulous Cats (TFC) Kembali Mengancam Bersama Barisan Anggota Baru Dan Single Terbaru, Sebulatnya
Sepanjang kerjaya mereka, kumpulan TFC dilingkari sejarah berwarna keahlian anggota yang silih berganti. Malah, mungkin ramai yang tidak menyedari bahawa penyanyi wanita solo popular kini, Alyah juga pernah menganggotai kumpulan TFC suatu waktu dahulu. Ketika mula ditubuhkan pada tahun 2004, TFC dianggotai Cat Farish, Adeep, DJ Sumo dan Ellie.
Barisan anggota ini, walaubagaimanapun, tidak menghasilkan sebarang album sehinggalah Alyah menggantikan tempat Ellie pada tahun 2006. Menerusi barisan baru ini, lahirlah album sulung TFC berjudul ‘Fantastik’ yang berjaya menempatkan nama TFC di persada seni tanahair menerusi lagu-lagu hit, “Papa Jahat” dan “Rimas”.
Menurut kata Cat Farish:
“The Fabulous Cats merupakan pelantar terbaik untuk artis-artis baru yang menyertainya mempamerkan bakat nyanyian mereka. Walaupun bersama dalam sebuah kumpulan, setiap ahli yang menganggotai kumpulan TFC diberi kebebasan sepenuhnya untuk menentukan hala tuju masing-masing. Saya gembira jika mereka merasakan penglibatan mereka di dalam kumpulan ini terbaik untuk kerjaya mereka tetapi jika ada antara anggota TFC yang mempunyai visi yang lain atau lebih selesa bergerak secara solo di masa hadapan, saya tetap akan memberi sokongan dan tidak akan menghalang.”
– Cat Farish
Semasa album kedua dikeluarkan pada tahun 2007, tempat Alyah digantikan pula oleh Farhana dan Wangi. Kedua-dua penyanyi baru tersebut berjaya meneruskan kejayaan kumpulan TFC menerusi lagu-lagu hit seperti “Bawaku Terbang” dan “Slot Akasia” yang dimuatkan di dalam album tersebut yang diberi judul ‘Hyper Kosmik’.
Malah, kumpulan TFC meraih pencapaian tertinggi dalam kerjaya mereka setakat ini menerusi album tersebut apabila mereka berjaya tercalon di dalam Top 5 kategori ‘Artis Berkumpulan/Duo Popular’ Anugerah Bintang Popular BH tahun 2008.
Pada tahun 2009, industri muzik digamatkan pula dengan berita penarikan diri Farhana daripada kumpulan TFC untuk memberi tumpuan kepada bidang peragaan, perniagaan dan pengacaraan selain karier nyanyiannya.
Buat sementara, anggota-anggota yang tinggal mengambil keputusan meneruskan perjuangan mereka hanya bertiga sehinggalah Zizie menyertai kumpulan tersebut pada tahun 2010 untuk penerbitan album terakhir mereka berjudul ‘Digital Symphony’. Album tersebut turut menempa kejayaan membanggakan menerusi lagu-lagu hit, “Cinta Kosmik”, “Muncul Kamu” dan “Pergilah Ayu”.
Pertukaran anggota TFC yang silih berganti ini tidak pernah mematahkan semangat Cat Farish, pengasas dan tonggak utama kumpulan TFC untuk meneruskan kesinambungan kumpulan tersebut kerana dia melihatnya dari sudut positif.