Republik Czech semakin lama semakin terkenal sebagai sebuah destinasi pelancongan pilihan di Eropah buat mereka yang mencari percutian di tengah kota yang kaya dengan sejarah.
Biarpun ramai warga Asia yang lebih kenal akan bandaraya seperti Paris dan London, ibukota Republic Czech iaitu Prague mengungguli senarai kota pilihan pelancong di Eropah Tengah.
Terletak di utara Republik Czech, Prague juga merupakan sebuah bandaraya yang tidak kurang hebatnya dari bandaraya-bandaraya Eropah lain. Suasananya yang lebih santai daripada Paris dan London menjadikannya satu destinasi yang sangat disenangi.
Terkenal dengan bangunan-bangunan bersejarah serta banyak tempat-tempat menarik, Prague juga mempunyai banyak hotel-hotel moden berseni reka moden yang sesuai untuk didiami. Salah satu daripada hotel yang masih menjadi pilihan di Prague adalah hotel The Emblem.
Hotel ini merupakan hotel butik moden yang kaya dengan unsur Seni halus moden serta gabungan seni eklektik Eropah klasik. Dan kini, hotel ini tampil segar dengan gaya kontemporari moden, sejajar dengan hotel-hotel seangkatannya yang lain.
Ia terletak di kawasan yang agak strategik kerana berada dekat dengan lokasi-lokasi menarik seperti dataran kota lama (Old Town Square), stesen Metro Staromestska yang hanya beberapa minit sahaja perjalanan dari hotel serta tempat-tempat menarik lain di tengah Prague.
Ini memudahkan para tamu untuk menjelajah seluruh kota Prague tanpa banyak masalah pengangkutan. Malah, sungai terkenal Prague yang dikenali sebagai ‘Vltava ’ juga terletak beberapa minit sahaja dari hotel ini.
Dengan 59 bilik-bilik yang dihias dengan konsep moden kontemporari, hotel ini menepati keperluan kebanyakan tamu yang menginap di situ. Setiap bilik mempunyai sambungan internet wi-fi secara percuma , serta sebuah TV layar leper LCD. Seperti kebanyakan hotel, setiap bilik mendapat sarapan percuma, dan sarapan dihidangkan di George Prime Steak. Walaupun ia terkenal dengan makanan daging steak, ia juga banyak tawaran lain untuk tamu hotel. Makanan berasaskan sayuran dan daging juga ditanda dalam menu untuk kemudahan tamu yang hanya memakan sayuran (vegetarian) serta daging tertentu.
The Emblem juga turut dilengkapi dengan sebuah spa iaitu M Spa, sebuah kolam jacuzzi di tingkat paling atas, dan juga ruang santai di tingkat bawah tanah iaitu Maharal Club.
Maharal Club dilengkapi dengan aneka makanan ringan serta minuman yang diberikan kepada tamu hotel secara percuma 24 jam sehari! Tersedia juga sebuah ruang bacaan dengan buku-buku, bilik permainan dan juga ruang tamu.
Dengan perkhidmatan lokasi yang sukar ditandingi (iaitu benar-benar di tengah kota berdekatan dengan semua tarikan utama Prague), perkhidmatan yang baik bertaraf antarabangsa, harga yang sangat berpatutan serta para pekerja hotel yang ramah, The Emblem memang layak untuk didiami sekiranya berkunjung ke Prague.
The Emblem Hotel : Hotel yang penuh gaya di tengah Prague
oleh Shah Shamshiri