The Cranberries Live in Malaysia 2012 pada 4 April Depan
Promosi Khas Untuk Pembeli Awal Mulai 13 Februari Hingga 19 Februari
Masih ingatkah lagi lagu ‘Zombie’, ‘Dreams’, ‘Ode To My Family’, ‘Salvation’, ‘Linger’ dan ‘Animal Instinct’? Dengan jualan album melebihi 30 juta unit di seluruh dunia, menduduki carta Top 20 Billboard menerusi empat buah lagu serta lebih daripada lapan lagu mereka mengungguli carta mega popular membuatkan kumpulan The Cranberries menjadi satu fenomena dalam dunia hiburan antarabangsa sekitar era penghujung tahun 90-an. Kini selepas sekian lama kita dihiburkan dengan lantunan vokal unik penyanyi utamanya, Dolores O’Riordan, kumpulan dari Ireland ini bakal membuat persembahan di Malaysia sempena konsert jelajah dunia yang bakal diadakan pada 4 April 2012 bertempat di Stadium Negara, jam 8.30 malam.
Diuruskan bersama oleh The WonderLand+ dan Sevent Media, The Cranberries Live In Malaysia 2012 sememangnya sebuah konsert kemunculan semula salah satu daripada band terbesar dunia dan tidak harus dilepaskan oleh peminat mereka. Untuk peminat kumpulan yang dianggotai empat ahli ini, tiket untuk menyaksikan konsert itu dibahagikan mengikut kategori iaitu RM110 dan RM170 untuk tempat duduk bebas, tempat tiket bernombor pula dijual dengan harga RM230 dan RM280 (VIP). Manakala harga RM220 dan RM300 pula masing-masing adalah untuk kategori Rock Zone dan juga The Pit.
Bersempena dengan kehadiran Hari Valentine yang bakal disambut 14 Februari ini, satu promosi khas untuk pembeli awal akan diadakan mulai 13 Februari hingga 19 Februari. Potongan sebanyak 15% akan diberikan kepada pelanggan yang membeli secara eksklusif melalui internet di www.ticketcharge.com.my dan juga melalui tempahan telefon dengan menghubungi talian 03- 92228811.
Selepas beberapa tahun sibuk dengan urusan membesarkan keluarga, kini The Cranberies sudah bersedia untuk kembali menghiburkan peminat mereka. Kehadiran The Cranberries ini sememangnya dinantikan peminat setianya kerana kemunculan mereka serentak dengan kehadiran album studio keenam dan terbaru mereka berjudul ‘Roses’. Fasa terbaru karier The Cranberries kembali memuncak melihat sambutan menggalakkan yang diterima terhadap konsert reunion yang diadakan pada tahun 2010.
Segalanya bermula ketika anggota kumpulan itu sedang melakukan sesi ujian bunyi apabila vokalis mereka, Dolores, gitaris Noel Hagon dan pemain bass, Mike serta pemain dram, Fergal Lawler mencuri masa untuk bertukar-tukar idea sambil mencari melodi yang sesuai untuk material album terbaru sekali gus menepati identiti muzik mereka. Hasilnya, lahirlah album ‘Roses’ yang mengandungi 11 lagu baru yang kesemuanya ciptaan mereka serta diterbitkan oleh teman baik mereka sendiri iaitu Stephen Street.
Kebanyakan lagu yang terdapat dalam album itu cukup menyentuh perasaan peminat mereka. Setiap lagu ada jiwanya yang tersendiri, segar dan penuh keaslian sama seperti dua buah album pertama mereka iaitu ‘Everybody Else Is Doing It’, ‘So Why Can’t We?’ dan ‘No Need To Argue’. Melodinya cukup matang dan lirik yang ditulis mampu meneroka ranjau dan liku laluan hidup yang tidak menentu. Dan dalam segenap sudut, kita boleh mengesan keunikan suara Dolores, antara instrumen penting yang berjaya meletakkan kumpulan ini dalam sensasi MTV sekali gus menjadi supergroup dalam jangka masa hanya beberapa tahun saja.
The Cranberries akan menjelajah Australia terlebih dulu sebelum mengunjungi Asia Tenggara bermula di Singapura pada 2 April dan Kuala Lumpur (4 April) sebelum ke Taipei pada 6 April dan Hong Kong (8 April). Siri jelajah itu akan tamat di Manila pada 10 April sebelum kembali ke Eropah untuk menyambung siri jelajah dunianya itu.
Mula ditubuhkan pada tahun 1989 menggunakan nama The Cranberry Saw Us, anggota asalnya, Noel, Mike dan Fergal pertama kali bertemu Dolores O’Riordan Mei 1990 selepas penyanyi itu melalui satu sesi uji bakat sejurus selepas penyanyi asala kumpulan ini menarik diri. Sebaik saja mendengar vokal luar biasa Dolores, serta merta mereka sudah tahu bahawa suara itu bakal melengkapkan lagi bunyi gitar yang dipetik Noel. Mereka sedar populariti semakin menghampiri mereka dan sebaik saja menandatangani kontrak bersama Island Records dan melahirkan single ‘Linger’, lagu itu telah dipilih oleh MTV America dan diputarkan setiap jam. Lagu itu kemudiannya menjadi mega hit di seluruh dunia diikuti dengan lagu ‘Dreams’. Dengan itu bermulalah kisah dongeng kumpulan ini yang tidak mungkin dilupakan sedekad lamanya.
Pada September 2003, selepas mempertimbangkan untuk merakamkan album baru, kumpulan ini meletakkan tanda noktah terhadap kerjaya seni mereka dan membawa haluan masing-masing. Gembira dengan keputusan itu, kesemua anggota kumpulan itu yang kebetulan sudah berumah tangga turut menggunakan kesempatan itu untuk membesarkan keluarga mereka. Hasrat untuk berehat seketika itu benar-benar menggembirakan mereka dan ini terbukti sewaktu mereka diundang ke majlis sambutan ulang tahun di Limerick baru-baru ini, baru mereka sedari betapa besarnya keluarga The Crenberries sekarang.
Pun begitu, dalam jangka masa mereka membawa haluan sendiri, beberapa anggota kumpulan ini meneroka dunia baru. Dolores menghasilkan dua album solo bertajuk ‘Are You Listening’ pada tahun 2007 dan ‘No Baggage’ dua tahun kemudiannya. Noel meneruskan kariernya dengan menulis dan menerbitkan album Mono Band sekitar 2005 dan kemudiannya Arkitekt. Fergal sekali gus menyumbang kepada beberapa persembahan di Limerick termasuk bersama-sama The Low Network dan Brendan Markham. Mike meninggalkan studio dan membuka sebuah restoran di bandar Limerick.
Pada tahun 2009, Mike bersama abangnya, Noel menyanyikan lagu The Cranberries untuk sebuah majlis kolej di Dublin sebagai satu penghormatan buat Dolores. Dalam salah satu persembahan, Dolores pernah berkata “Sebaik saja kita mula bermain, seolah kita tidak mampu untuk menghentikannya. Ada sesuatu apabila kita mengalunkan muzik The Cranberries, ia seperti kita menyarung sepatu yang sempurna dan ada keserasian antara kami.” Selepas itu, Noel kemudiannya menghubungi Dolores sambil menghantar pelbagai idea lagu baru. Bermula dengan persembahan akustika secara kecil-kecilan akhirnya kumpulan ini bersatu kembali dan tahun berikutnya sekali gus mengadakan konsert jelajah dunia.
Untuk maklumat selanjut mengenai konsert ini, sila hubungi TicketCharge di talian +603 9222 8811.