Pada jam 3 petang tadi telah berlangsung Majlis Pelancaran ‘The-All-New’ Gempak pada 17 Ogos 2017 (Khamis), di The Bee, Publika Mall, Kuala Lumpur. Majlis pelancaran ini turut diserikan dengan kehadiran barisan selebriti popular masa kini seperti Fattah Amin, Alvin Chong, Syafiq Kyle, Juliana Evans, Sasha Saidin, Syamim Farid, Daiyan Trisha, Nina Nadira, Erwin Dawson, Hafeez Mikail serta ramai lagi.
Bagi mengukuhkan lagi kedudukan dalam landskap industri kandungan alaf baharu sekaligus menerajui empayar hiburan infortainment digital utama di rantau Nusantara, Astro menerusi portal hiburan Melayu miliknya, ‘Gempak’ bakal melancarkan ‘Aplikasi Gempak’ yang menawarkan pelbagai kandungan eksklusif, video-video menarik, berita hiburan dan informasi terkini, tips dan tutorial, gaya hidup masa kini, dan siri-siri televisyen yang terhebat dari dalam dan luar negara.
Selaku jenama yang berfungsi sebagai ‘one stop centre’ kepada komuniti digital terutamanya golongan Malaynials, pengisian ‘Gempak’ akan terus ditambah baik dan dimantapkan lagi dengan pelbagai kandungan eksklusif yang berformatkan ‘freemium’ atau dalam erti kata lain, kandungan berkualiti tetapi didatangkan dengan akses percuma untuk pengguna.
Keberkesanan format kandungan digital ini telahpun terbukti menerusi beberapa program digital yang pernah diterbitkan sebelum ini.
Antaranya seperti program realiti ‘The House’ yang menerima lebih 30 juta jumlah tontonan video untuk tiga buah musim secara keseluruhan serta drama mini bersiri ‘3 Gadis Manis’ dengan lebih 5 juta jumlah tontonan.
Ekoran kejayaan ini, beberapa buah kandungan digital baharu bakal ditawarkan menerusi ‘Gempak’ termasuklah drama mini bersiri ‘Mata Cinta’ dan program realiti ‘The House’ Musim 4.