in

TERJAH MELODI: LAN PET PET MAHU GANTI NAS AHMAD?

TERJAH: LAN PET PET GANTI NAS AHMAD?

“Awas kuterjah, kita menerjah, di mana keadilannya…yea yea yea…” bait lagu itu mengingatkan kita pada segmen ‘Terjah’ yang popular dalam rancangan Melodi siaran TV3. Lagu latar ini berkumandang tiap kali wartawan Nas Ahmad dalam perjalanan menerjah seseorang artis yang menjadi sasarannya minggu itu.

Tidak dapat disangkal bahawa segmen ‘Terjah’ merupakan segmen paling popular dalam Melodi dan sentiasa dinanti-nantikan. Kemunculan segmen itu yang bukan pada setiap minggu membuatkan penonton berada dalam debaran dan terus menantikan kemunculannya pada setiap minggu. Penampilan Nas Ahmad dengan identiti, imej dan caranya yang tersendiri dalam menggalas tugasannya sebagai wartawan hiburan menarik perhatian ramai sehingga ada di kalangan penonton yang menganggapnya sebagai idola atau rujukan.

Rambut keritingnya panjang mencecah bahu, sentiasa bertopi dan menyarungkan vest, itulah identiti Nas Ahmad yang mempopularkan dirinya sehingga diberi jolokan ‘Abang Terjah’, ‘Abang Rambut Kertak’, ‘Abang Melodi’ dan macam-macam lagi mengikut kehendak penonton setia.

Tapi cuba bayangkan kalaulah Nas Ahmad yang segak tampan itu tiba-tiba bertukar menjadi tua, mampukah dia menerjah artis ke sana sini seperti yang kerap dilakukannya? Dan adakah dia kekal popular dan diminati seperti sekarang ini?

Inilah antara paparan menarik dan lucu yang dipaparkan dalam program raya ‘Setahun Sekali Lagi’ yang akan menemui penonton TV3 pada Hari Raya 2008 nanti. Rancangan ini diterbit dan diarahkan sendiri oleh Nas Ahmad.

Menurut Nas “Saya telah memilih Lan Pet Pet untuk menjadi saya dalam versi tua. Rambutnya kekal panjang walau sudah beruban, dan kekal memakai topi dan vest sama seperti yang selalu saya sarungkan. Walau sudah tidak kuat untuk berjalan laju, serta seringkali terbatuk-batuk, namun dia masih tetap menerjah artis. Dari sini maka berlakulah berbagai adegan menarik dan lucu yang dirakamkan secara spontan!”

“Paling menarik apabila setiap orang yang ditemuinya di sekitar pasar seni itu dianggapnya sebagainya artis, lalu dia menerjah dan bertanya berbagai soalan mengenai karier seni orang itu. Sudah tentu orang itu jadi terpinga-pinga kehairanan. Tapi lucunya ada di antara orang itu menjawab semua soalan itu dengan yakin seolah-olah dia memang artis! Semua ini dirakamkan menerusi kamera tersembunyi dan akan disiarkan dalam program ini nanti”.

Rakaman adegan ini telah berjaya dilangsungkan baru-baru ini di tiga tempat berasingan iaitu sekitar Pasar Seni, Jalan Raja Laut dan Ampang. Sebanyak dua buah kamera tersembunyi digunakan bagi merakam reaksi spontan Lan dan orang ramai.

Menurut Mazlan Ahmad atau Lan Pet Pet pula “Saya memang minat tengok segmen Terjah di Melodi dan pernah berangan untuk melakukannya. Bila Nas menawarkan watak ini pada saya sudah tentu saya tidak menolak. Selain temuramah rambang dengan sesiapa sahaja di lokasi, ada juga adegan di mana saya menerjah Linda Onn di restorannya untuk bertanya gosip percintaannya yang sudah retak dan perasaannya menyambut Hari Raya bersendiri. Kalau nak tahu apa yang berlaku selanjutnya kena tengok program ni”

‘Setahun Sekali Lagi’ menghimpunkan 10 buah cerita pendek berkisar kisah sedih, gembira dan lucu dalam menyambut Hari Raya. Turut tampil dalam rancangan istimewa ini ialah Raja Azura, Rosyam Nor, Marsha, Nash, Butterfly, Fazley, Norkhiriah, Dato Jamali Shadat, Sofaz, dan ramai lagi.

Rancangan ini adalah rentetan dari rancangan ‘Setahun Sekali’ yang pernah disiarkan pada Hari Raya tahun lalu, juga dibawah penerbit dan pengarah yang sama iaitu Nas Ahmad.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Ashraf Muslim & Wardina Rai Anak Yatim

Gambar Isteri dan Anak Faizal Tahir