Tauke atau nama sebenarnya Zamatul Amri Zakaria bagaimanapun berharap supaya semua pihak menghentikan fitnah berat yang dilemparkan terhadapnya.
“Syukur akhirnya kebenaran terjawab. Saya bukan bapa ayam seperti didakwa. Keluarga juga lega apabila mendapat tahu saya benar-benar tidak bersalah.
“Jadi, mana-mana pihak yang mengeluarkan kenyataan tidak betul sebelum ini harap dapat membersihkan nama saya. Walaupun sebelum ini saya sudah berterus terang, tetapi ramai tidak percaya. Takkan saya mahu mencanang kepada semua orang bahawa saya tidak salah dan tak mudah untuk saya melenyapkan fitnah yang menimpa saya ,” katanya.
Menurut Tauke, dia berharap warganet supaya berhati-hati memberikan komen dan menyiasat secara terperinci kerana boleh mengundang fitnah.
“Berhati-hati sebelum menuduh seseorang. Jadikan iktibar atas apa yang berlaku pada saya. Jangan sesuka hati memberi komen sehingga mengecilkan hati orang lain. Jangan membiasakan diri memberi komen tanpa mengetahui kebenaran cerita,” katanya.
Mengakui kejadian yang berlaku memberi satu tamparan hebat kepada dirinya, Tauke tekad untuk meninggalkan dunia hiburan.
“Saya kesal dengan apa yang terjadi. Jika saya seorang dikecam dan dihina, tidak mengapa. Namun, saya lebih sedih apabila ada yang turut mengheret anak-anak dan keluarga.
“Disebabkan itu, saya tekad dengan keputusan meninggalkan industri hiburan. Lebih baik, saya melakukan kerja lain daripada terus menjadi mangsa tohmahan dan cacian.
“Banyak lagi yang boleh saya lakukan, rezeki Allah yang bagi dan ada di mana-mana saja. Jadi buat apa saya nak takut. Sekarang saya mahu mengutamakan keluarga dulu dan fokus pada perniagaan kecil-kecilan,” katanya yang reda dengan ujian yang berlaku.
Semalam, media melaporkan polis mengesahkan seorang pelawak yang ditahan kerana disyaki terbabit dengan kes pemerdagangan manusia tidak akan didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Pilah, hari ini.
Terdahulu media melaporkan seorang pelawak berusia 40-an ditahan bagi membantu siasatan kegiatan pemerdagangan manusia bagi tujuan eksploitasi seks di sebuah hotel di Kuala Pilah dalam serbuan Op Pintas.
*Sumber: Harian Metro
Hari Ini, Terbukti Saya Bukan Bapa Ayam – Tauke
Susulan pengesahan polis yang menolak pendakwaan kes pemerdagangan manusia ke atasnya, Tauke Jambu berharap masyarakat berhenti mengecopnya sebagai bapa ayam.
Pelawak itu berkata, sepanjang tempoh sukar ini keluarga terutama anak dan isteri menjadi mangsa kecaman hingga malu untuk untuk keluar rumah disebabkan tekanan sekeliling.
Katanya, pengesahan pihak berkuasa mengenai kes berkenaan hari ini sudah membuktikan dirinya bukan seperti didakwa, sekali gus memberi kelegaan terhadap tuduhan umum sedangkan penyiasatan belum selesai.
“Alhamdulillah dan syukur. Sebelum ini pun saya sudah maklumkan tidak terlibat tetapi tetap ada mulut yang masih bercakap dan paling teruk apabila keluarga saya turut diejek.
“Sebagai ayah ,saya sedih apabila anak-anak saya dilemparkan kata-kata tidak sepatutnya, manakala isteri juga tertekan. Mereka percaya saya, namun tidak mampu berhadapan pelbagai tohmahan.
“Hari ini terbukti saya tidak terbabit dalam kes itu. Cukup-cukuplah, hentikan segala tuduhan liar kerana yang terkesan ialah insan-insan yang saya sayang.
“Bagi yang menfitnah, sila bersihkan semula nama saya. Bukan mudah melalui dugaan sebegini sebab memberi kesan emosi kepada keluarga saya,” katanya kepada Kosmo! Online.
Terdahulu, Tauke atau nama sebenarnya Zamatul Amri Zakaria, 45, antara yang ditahan bagi membantu siasatan dalam kes kegiatan pemerdagangan manusia untuk tujuan eksploitasi seks di sebuah hotel di Kuala Pilah pada 1 Ogos lalu.
Hari ini, Mahkamah Majistret Kuala Pilah menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM4,000 kepada seorang wanita bujang selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan terbabit dengan aktiviti persundalan dengan menawarkan khidmat seks.
Wanita berkenaan dibicarakan berdasarkan kertas pertuduhan, pada 1 Ogos sekitar pukul 11.50 pagi bertempat di sebuah bilik di Melang Inn Hotel atas kesalahan mencari langganan bagi maksud persundalan
Sementara itu, polis juga mengesahkan seorang pelawak yang sebelum ini ditahan kerana disyaki terbabit dengan kes itu pada awal bulan ini, tidak didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Bercakap tentang masa depannya dalam dunia hiburan , pelawak asal Johor Bahru itu menegaskan tetap meneruskan niat meninggalkan dunia hiburan bagi mencari rezeki di bidang lain.
Katanya bukan merajuk atau jauh hati, sebaliknya dia percaya kepada rezeki Allah selain mahu menjalani kehidupan dengan lebih baik biarpun tidak lagi bergelar selebriti.
“Mungkin lebih baik melakukan pekerjaan lain daripada berterusan membiarkan maruah saya dipijak-pijak andai saya masih lagi di bidang ini.
“Keluarga termasuk adik-beradik saya pun memberikan sokongan moral sebab mereka tahu bagaimana teruknya saya berdepan dengan tohmahan,” katanya lagi.
Ditanya mengenai penerimaan rakan seperjuangan lain sepanjang berhadapan situasi kurang menyenangkan ini, Tauke enggan bercerita lebih lanjut.
Akui anak seni yang lahir daripada program Raja Lawak musim pertama itu, cukuplah dia tahu masih ada beberapa orang teman ketawa dan menangis ketika memerlukan bahu untuk bersandar.
“Paling penting keluarga percaya saya tidak bersalah. Memang masih ada kawan yang bertanya khabar, namun ramai juga menjauhkan diri.
“Biarlah, saya yakin kebenaran sudah terbukti. Saya cuma mahu teruskan hidup dengan tenang bersama mereka yang sentiasa ada di belakang saya pada saat susah dan senang,” tambahnya. – K! ONLINE