Portal hiburan Korea, Dispatch melaporkan bintang Korea G-Dragon dan salah seorang ahli kumpulan BLACKPINK, Jennie telah menjalinkan hubungan cinta selama setahun.
Dalam pada itu menerusi ruangan komen, rata-rata peminat masih lagi terkejut dengan pengumuman tersebut.
Untuk info: Dispatch yang dikenali sebagai portal eksklusif Korea telah membina reputasi sebagai salah satu sumber untuk berita terkini dan foto paparazzi selebriti Korea.
Sejak tahun 2008, Dispatch terkenal bukan sahaja sebagai sumber berita eksklusif tetapi juga sebagai syarikat media yang pakar dalam meneliti dan mencari maklumat mengenai peristiwa kontroversi selebriti Korea.
Sebagai acara tradisi, Dispatch akan mendedahkan pasangan-pasangan selebriti popular yang bercinta setiap kali tiba tahun baharu.
Dalam laporan itu, mereka mendakwa telah menyaksikan ahli kumpulan BIGBANG itu dan Jennie telah bertemu secara rahsia dan sering meluangkan masa bersama di rumah. Dedahnya lagi, G-Dragon mempunyai parking khas dan lif persendirian di kediamannya yang membolehkan Jennie memasukinya tanpa dikenali orang ramai.
Menurut Dispatch, rutin harian Jennie adalah menziarahi G-Dragon di rumah penyanyi itu sebaik sahaja selesai segala aktiviti sebelum pulang ke rumahnya sendiri.
“BLACKPINK Jennie sedang dilamun cinta. Teman lelakinya adalah idol, GD. Mereka berdua merupakan penyanyi di bawah naungan agensi yang sama, YG Entertainment. Pasangan ini sudah menjalinkan hubungan cinta lebih kurang setahun,” maklumnya.
Bagi pihak pengurusan YG Entertainment pula, mereka tidak boleh mengesahkan sebarang spekulasi memandangkan perihal tersebut merupakan isu peribadi untuk artis naungan mereka.
“Kami Tidak Boleh Mengesahkan Sebarang Perihal Mengenai Kehidupan Peribadi Artis Kami. Kami Harap Anda Semua Faham” Kata Yg Entertainment Dalam Sebuah Kenyataan
Dalam perkembangan lain, menjengah ke laman Twitter yang hangat memperkatakan mengenai hubungan dua bintang ternama ini, segelintir peminat meluahkan rasa sedih apabila melihat berita tersebut disensasikan. Bukan sahaja tidak gembira bahawa kehidupan peribadi selebriti kesayangan mereka itu diintip, malah ada juga yang mendakwa hubungan G-Dragon dan Jennie hanya seperti adik-beradik.
Tahun lalu, Dispatch mendedahkan EXO Kai dan Jennie menjalin hubungan cinta dan berita itu kemudiannya disahkan oleh agensi Kai, SM Entertainment.
Namun selepas sebulan berita itu didedahkan, pasangan ini dilaporkan berpisah setelah empat bulan menjalinkan hubungan cinta.
Awal tahun ini, Dispatch juga telah mendedahkan hubungan cinta pelakon drama terkenal, Crash Landing On You, Hyun Bin dan Son Ye Jin.