in ,

Drama Zehra TERATAI KEMBOJA & Samarinda: NUR Rating Capai Sasaran 

HARAPAN DRAMA RAMADAN TERBAIK BUAT TV3 TERMAKBUL!

Di sebuah previu program Ramadan, bulan lalu, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad telah menyenaraikan beberapa buah program dan drama untuk tontonan umum sepanjang bulan Ramadan ini. Setelah menaruh harapan yang tinggi pada kesemua drama Ramadan itu, drama Zehra: Teratai Kemboja dan Samarinda: Nur muncul sebagai drama yang paling menyerlah!

Drama Zehra: Teratai Kemboja telah meraih 12 Juta tontonan di kaca televisyen dan 100,000 tontonan di alam maya melalui portal video tonton! Manakala drama Samarinda: Nur telah mencapai sasaran ratings apabila meraih 11 Juta tontonan dan lebih daripada 500,000 tontonan di tonton.

Nur Poster

‘OBSESI’ 12 JUTA PENONTON BERAKHIR

Drama 21 episod yang diterbitkan oleh Saphire Screen Sdn Bhd dibawah arahan Along Kamaludin ini telah menungguli slot 9 malam di seluruh Malaysia apabila berjaya meraih jumlah tontonan (ratings) sebanyak 12 Juta selama 21 episod ke udara bermula 13 April hingga 8 Jun lalu. Selain itu, Teratai Kemboja juga telah mendapat 100,000 jumlah tontonan di video portal tonton.

Menurut pengarah drama Zehra Teratai Kemboja, Along Kamaludin,

“Saya bersyukur atas sokongan yang diberikan oleh para penonton kerana saya tidak menjangkakan jumlah ratings yang sebegini. Hal ini kerana, saya berfikir bahawa waktu tayangan drama ini adalah waktu umat Islam akan ke surau dan masjid untuk mengerjakan ibadah sunat terawih. Saya anggap ini sebagai satu rezeki pihak produksi, tambahan pula dikurniakan barisan pelakon hebat. Kerjasama yang diberikan oleh para pelakon dan kru produksi amat menyentuh perasaan saya sehinggakan sesi penggambaran drama ini telah berlangsung dengan lancar tanpa sebarang kesulitan. Secara peribadi, saya anggap ini adalah rezeki kami dan Allah telah permudahkan tugas kami dengan rahmat bulan suci Ramadan ini. Oleh itu, saya berterima kasih keatas kasih sayang-Nya dan saya berterima kasih juga kepada para penonton semua.”

Teratai-Kemboja-Poster-v3

Teratai Kemboja mengisahkan Fikri (Datuk Adi Putra), seorang usahawan yang berkahwin dengan Hanani (Elly Mazlein) sewaktu mereka sama-sama masih menuntut di universiti. Hanani masih belum bersedia untuk mempunyai anak dan mengambil pil perancang kerana mahu menumpukan pengajian tahun akhir mereka. Fikri tidak setuju dengan tindakan Hanani tetapi Hanani tetap dengan keputusannya. Dalam rumahtangga mereka, Hanani lebih mendominasi dan Fikri banyak mengalah demi menjaga hati Hanani.

Konflik semakin meruncing apabila Hanani semakin tidak menghormati Fikri sebagai suami lebih-lebih lagi apabila perniagaan spa Hanani kini semakin maju. Situasi ini menyebabkan Fikri sangat tertekan dan diserang sakit jatung ketika memandu dan telah melanggar Taufik (Hasnul Rahmat). Mujur kecederaan Taufik tidak serius namun dia tetap ditahan di hospital. Selama mereka dirawat di hospital, Taufik sering datang melawat Fikri di wadnya.

Semenjak itu, Fikri dipertemukan dengan Nurhidayah (Fasha Sandha), anak kepada Taufik dan disatukan sebagai suami isteri. Dengan segala dugaan yang dihadapi oleh Fikri dan Nurhidayah daripada Hanani, drama ini berakhir dengan indahnya apabila Nurhidayah melahirkan anak sulungnya, Nur Aina. Manakala, Hanani yang sentiasa tertekan dengan dendamnya, mengalami sakit mental.

Drama Teratai Kemboja ini dibintangi oleh Datuk Adi Putra, Fasha Sandha, Elly Mazlein, Hasnul Rahmat, Fezrul Khan, Nadia Brian, Jaja Iliyes, Noralbaniah, Fauzi Nawawi, Nafiz Muaz dan ramai lagi.

AKHIRNYA 11 JUTA RAKYAT MALAYSIA BOLEH BERAYA DENGAN TENANG

Drama yang sering meniti di bibir para penonton drama tempatan telah melabuhkan tirainya malam semalam dengan jumlah tontonan 11 Juta keseluruhannya selama 19 episod. Antara ratings puncak yang turut menyumbangkan kepada penularan drama ini adalah episod 16, di mana babak lucu Aisyah (Noorkhiriah) menyangkakan sup bunjut itu sebuah tangkal ilmu hitam. Babak itu turut mendapat perhatian sebuah syarikat pengeluar sup bunjut untuk menjadikan Noorkhiriah sebagai duta mereka. Di platform digital pula, drama ini telah mencatat lebih daripada 500,000 tontonan di video portal tonton dalam masa kurang dari sebulan.

Menurut pengarah drama Samarinda: Nur, Shahrulezad Mohameddin, “Secara jujurnya saya masih tidak percaya akan kejayaan drama ini kerana kami (kru produksi dan pelakon) cuma berseronok ketika menjalankan penggambaran drama ini. Kami menganggap kejayaan ini satu rezeki dalam menyampaikan keindahan-keindahan zat-Nya. Walau bagaimanapun, saya sendiri sedar akan beberapa kecaman awal daripada netizen. Saya terima semua kritikan itu dengan positif kerana drama ini sebenarnya lebih kurang dengan drama-drama lain iaitu sebuah drama cinta antara dua darjat. Cuma bezanya, darjat yang dipilih dalam drama ini bukanlah antara yang kaya dan miskin, tetapi golongan warak dan jahil.”

“Walau bagaimanapun, disebalik kejayaan drama ini yang ramai tidak ketahui adalah cabaran yang kami hadapi. Skrip drama ini sebenarnya dibuat di set penggambaran dan ianya secara spontan dengan bantuan hasil kaji selidik sebelum memulakan penggambaran. Namun, Allah telah memudahkan perjalanan kami dengan memberikan barisan pelakon yang hebat dan berkerjasama serta kru produksi yang rajin, Allah juga telah mengurniakan kejayaan ini. Oleh itu, saya berterima kasih dengan pihak TV3 kerana memberikan kepercayaan kepada Radius One untuk menerbitkan drama Nur ini, terima kasih juga kepada para penonton yang sentiasa setia bersama kami semenjak episod pertama, dan terima kasih kepada Allah kerana telah memberikan rezeki ini.” ujarnya lagi

Drama Nur ini diterbitkan oleh Radius One Sdn Bhd. Selain daripada Amyra Rosli dan Syafiq Kyle, drama Samarinda: Nur ini turut dibintangi Riena Diana DFKL, Datuk Jalaluddin Hassan, Fatimah Abu Bakar, Noorkhiriah, Azhan Rani, Laila Nasir dan Raja Atiq.

Bermula dengan kisah Adam, seorang anak kepada penceramah terkenal, Datuk Ayah Haji Mukhsin. Setelah Adam menamatkan pelajarannya dari Timur Tengah, Adam kembali ke Malaysia untuk menyambung legasi ayahnya. Ketika itu, Adam berkenalan dengan seorang wanita misteri yang juga merupakan seorang pelacur, Nur. Apabila Adam mula jatuh hati kepada Nur, keluarga Adam pula membantah hubungan mereka kerana menganggap Nur itu seorang perempuan jijik dan tidak setaraf dengan mereka. Hubungan mereka ditentang hebat sehingga mereka bercerai. Namun, seperti yang telah disaksikan 3.5 Juta penonton malam semalam, Ustaz Adam dan Nur akhirnya rujuk semula dan memulakan kehidupan yang baharu.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

4 Cool Gift Ideas for Father’s Day

BMW Group Malaysia Lantik Regas Premium Sabah Wakil Pengedar Sah Terbaharu