“Peluang Uji Bakat Kreatif dan Tarian Dalam Karnival Bakat My Gempak di Taman Budaya, Kompleks JKKN Melakaâ€
Pencarian bakat bagi program Karnival Bakat My Gempak 2012 kini tiba dilokasi berikutnya bertempat di Taman Budaya, Kompleks JKKN Melaka selama enam hari berturut-turut mulai 5 hingga 10 November depan.
Penyertaan terbuka kepada peserta berminat yang tinggal di kawasan Zon Selatan iaitu dari Melaka dan Johor yang memiliki bakat kreatif dan tarian untuk mencuba bakat menerusi tiga program berbeza termasuklah program ‘My Ekspresi’ (5 – 9 November 2012), ‘Lantai Cilik’ (5 – 6 November 2012) dan ‘Mimpi ke Bintang’ (5 – 8 November 2012) bermula 9.00 pagi hingga 6.00 petang.
Istimewanya kunjungan Karnival Bakat My Gempak di negeri bersejarah ini turut diserikan dengan acara pentas Eksklusif 1 Jam Bersama … Carefree, Ramlah Ram dan Ziana Zain mulai jam 5.30 petang pada 10 November ini. Penonton dan pendengar setia Radio Televisyen Malaysia (RTM) berpeluang beramah mesra dan berhibur dengan persembahan pentas oleh tiga artis popular negara ini.
Sertai uji bakat Mimpi Ke Bintang yang membuka peluang pencarian bakat lawak jenaka, akrobatik, silap mata, bermain alat muzik yang unik, kebolehan kreatif mencipta sesuatu, kepantasan luar biasa, kebolehan luar biasa anggota tubuh / minda, formasi kreatif, kebolehan meniru bunyi / suara, keberanian luar biasa dan lain-lain yang sesuai untuk tontonan umum.
Malah kepada peserta berbakat yang telah disenarai pendek sepanjang uji bakat Mimpi Ke Bintang peringkat Zon Selatan ini akan terus berpeluang melayakkan diri mara ke peringkat seterusnya yang bersiaran secara langsung pada 10 November 2012, jam 9.00 malam menerusi saluran TV2.
Dua uji bakat tarian ; My Ekspresi membuka penyertaan kepada remaja berumur 18 hingga 30 tahun yang berbakat dalam mencipta Koreografi Tarian Tradisional & Komposer Muzik Tradisional. Peserta berbakat akan dinilai oleh juri tetap Sazlan dan juga juri undangan yang lainnya. Manakala uji bakat Lantai Cilik pula terbuka kepada golongan cilik berumur di bawah 12 berbakat dalam bidang seni tarian tradisional, kontemporari dan eksperimental (inovasi) secara berkumpulan. Setiap kumpulan terdiri daripada 4 orang ahli dan sekurang-kurangnya seorang ahli kumpulan bukan Melayu.
Karnival Bakat My Gempak bakal memeriahkan beberapa lagi lokasi lain iaitu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak Selangor (19 – 24 November 2012), Taman Budaya Kompleks JKKN Sabah (3 – 8 Disember 2012), dan pada 10 Disember hingga 15 Disember 2012 di Kompleks Penyiaran RTM, Sungai Gadut, Seremban, Negeri Sembilan.