[dropcap]P[/dropcap]ada 2 Mei yang lalu, Budiey telah diterbangkan ke Taipei, Taiwan untuk menemubual dua orang pelakon utama filem terbaru arahan M Night Shymalan, After Earth yang sedang ditayangkan di pawagam ketika ini. Mereka ialah tak lain tak bukan, Will Smith dan anaknya, Jaden Smith atau nama sebenarnya, Jaden Christopher Syre.
Perasaan sedikit janggal bersarang di dalam diri Budiey kerana ini adalah kali pertama Budiey dijemput oleh Sony Pictures Releasing International (Malaysia) untuk menghadiri Media Junket seterusnya dapat menonton filem After Earth beberapa minggu lebih awal dari tarikh tayangan. Rupanya, momen ini adalah antara momen yang sangat seronok dan rasa teruja itu berada di tahap yang maksima kerana dapat bertemu dengan pelakon Hollywood terkenal, Will Smith.
Terima kasih banyak-banyak Budiey ucapkan kepada Sony Pictures Malaysia yang sudi menjemput Budiey dan difahamkan Budiey menjadi penulis blog pertama di Malaysia menerima pelawaan untuk Media Junket ini.
Peluang bertemu mata dengan Will Smith selama 20 minit digunakan sepenuh untuk bertanyakan tentang filem After Earth yang menjengah pawagam mulai 6 Jun lalu.
Filem After Earth mengisahkan tentang cabaran yang dilalui oleh Jeneral Cypher Raige (lakonan Will Smith) dan anaknya, Kitai (Jaden Smith) yang tersadai di bumi selepas kapal angkasa mereka mengalami kerosakan teknikal. Seribu tahun lalu, manusia terpaksa meninggalkan Bumi yang musnah teruk akibat perbuatan mereka sendiri. Manusia membina penempatan baru di planet yang dikenali sebagai Nova Prime.
Raige baru sahaja pulang dari misi untuk bertemu isteri dan anaknya. Dia kemudian mendapat arahan menghantar makhluk asing ke pusat tahanan di planet lain. Untuk misi itu, dia mengajak Kitai turut serta supaya mereka dapat menghabiskan masa bersama.
Namun, dalam perjalanan ke planet itu, kapal angkasa mereka rosak dilanggar asteroid ketika ribut angkasa dan terhempas di Bumi. Mereka terpaksa mencari jalan untuk terus hidup di bumi yang sangat asing buat mereka.
Budiey dapat melihat sendiri betapa Jaden Smith seorang anak yang begitu rapat dengan bapanya. Kalau diamati betul-betul, hubungan mereka bukan lagi bapa dan anak malah sebagai sahabat. Apatah lagi, Jaden mengakui beliau menjadikan bapanya sebagai mentor yang banyak membantu beliau semasa menjalani pengambaran filem After Earth.
Budiey lihat sendiri betapa mesranya, Will Smith melayan kami dan media yang lain semasa sesi temubual ini. Memang benarlah apa yang Budiey baca dari majalah, Will Smith memang pandai mengambil hati media dan peminatnya. Ini terbukti semasa sesi Meet & Greet filem After Earth yang diadakan di Taipei sehari sebelum berlangsungnya temubual ini. Malah semasa sesi ramah mesra itu, Will Smith dan Jaden sanggup meluangkan masa lebih dari yang dijadualkan. Ini patut ditiru oleh artis-artis Malaysia sebenarnya!
Jom ikuti temubual ringkas Budiey bersama Jaden Smith dan bapanya, Will Smith.
Budiey: Bagaimana keserasian atau chemistry anda berdua semasa menjayakan filem ini?
Jaden Smith: Sebagai pelakon yang masih muda pastinya saya meminta nasihat dan panduan dari pelakon yang lebih senior. Apatah lagi, saya bekerja dengan bapa saya dan dalam filem ini juga beliau membawa watak yang sama iaitu menjadi bapa saya. Semasa di set pengambaran, bapa saya memberi tunjuk ajar walaupun ini bukanlah kali pertama kami berlakon bersama-sama dalam satu filem. Banyak perkara baru, pengalaman baru yang dapat saya belajar dari beliau dalam filem After Earth. Saya sangat berterima kasih kerana beliau banyak membantu lebih-lebih lagi semasa melakonkan scenes aksi.
Will Smith: Semasa menerima tawaran untuk filem ini, saya melonjak dan sangat teruja apabila mendapat tahu, saya akan berlakon dengan Jaden Smith. Kolaborasi yang dirasakan sangat sesuai, serasi di luar dan dalam set. Meskipun ada yang beranggapan, kami masih dibayangi dengan watak bapa dan anak di luar set, itu satu perkara atau isu yang kompleks. Yang penting, kami menjalankan tugas secara profesional. Saya anggap bekerja dengan Jaden sebagai satu bisnes famili. Saya sangat senang bekerja dengan Jaden kerana beliau senang untuk menerima arahan dan tahu menilai baik dan buruk sesuatu perkara.
Budiey: Apakah cabaran utama semasa menjalani pengambaran filem ini?
Jaden Smith: Banyak pengalaman baru yang saya timba semasa pengambaran filem ini. Memandangkan ini adalah filem aksi terbesar lakonan saya setakat ini, berbanding dengan filem saya sebelum ini, After Earth membuka satu lembaran yang lebih luas dan meningkatkan profile kerjaya saya. Dalam filem ini, saya terpaksa menggunakan sepenuhnya tenaga dan minda pula sentiasa kena fokus disertakan dengan penghayatan watak yang lebih mendalam. Stamina kena cukup dan rehat juga kena cukup. Setiap hari ada sahaja perkara baru yang saya belajar dan cabaran itu menjadikan saya lebih matang. Pengalaman ini saya jadikan sebagai bekalan untuk filem saya seterusnya.
Will Smith: Watak sebagai bapa yang cedera dan dalam masa yang sama mahu menyelamatkan nyawa anaknya, ini satu tekanan. Namun, saya akui tekanan ini tidak akan dapat direalisasikan dalam filem ini jika tiada kerjasama saya dan Jaden. Cabaran melakonkan aksi lasak tidaklah terlalu banyak memandangkan banyak scene aksi dilakonkan oleh Jaden. Saya tak sangka Jaden dapat melakukannya dengan baik, di luar jangkaan.
Budiey: Sebagai bapa, apa pendapat anda tentang kolaborasi bersama Jaden ini masih dibayangi dengan kariernya sebagai penyanyi rap dan selebriti?
Will Smith: Ya, saya akui perkara atau isu ini sangat kompleks dan sukar untuk diperkatakan. Idea seorang anak duduk di bawah bayangan bapa adalah perkara yang kompleks. Apabila bercakap mengenai karakter di dalam filem ini, kami sebenarnya bercakap apa yang mungkin berlaku pada masa depan. Bakat Jaden dalam bidang lakonan masih boleh digilap dari masa ke semasa.
Budiey: Senang bekerja dengan Jaden? Adakah anda masih mahu berlakon bersama Jaden di masa hadapan?
Will Smith: Dalam hal ini, saya lebih selesa bila dapat bekerja dengan Jaden yang menjadi sebahagian dari keluarga. Seperti yang saya katakan tadi, saya mahu jadikan ini sebagai satu bisnes keluarga. Saya biasa bekerja dengan keluarga kerana membesar dalam persekitaran dan diajar dari dulu lagi untuk menjalankan bisnes keluarga. Hanya itu yang saya tahu dan saya cuba untuk memberi tunjuk ajar kepada Jaden dan ilmu kepadanya setakat yang saya mampu. Ini termasuklah kita mahu mereka faham tentang industri dan kita mahu berkembang dengan kerjasama ini.
Budiey: Adakah ada halangan dari segi hubungan bapa dan anak? Bagaimana pula kalian menjaga hubungan dengan orang di sekitar anda?
Will Smith: Dari dulu lagi, sejak Jaden kecil lagi, saya sebagai bapa perlu mengajar beliau bagaimana cara untuk menjaga hubungan dengan sesiapa sahaja yang ditemui. Ia perkara yang penting dan saya cuba untuk memberitahu Jaden betapa pentingnya PR atau hubungan sesama manusia dalam karier sebagai pelakon. PR ini tidak datang dari saya sebagai bapa, tapi PR datang dari bagaimana kita melayan orang lain dengan baik dan mesra. Saya suka berada dalam industri hiburan kerana saya tahu apa matlamat saya.
Budiey: Apakah mesej utama yang mahu disampaikan dari filem After Earth?
Will Smith: Tentang pengorbanan, hubungan bapa dengan anak, tentang dunia alam sekitar, betapa pentingnya kita memelihara alam sekitar dari pupus dan musnah.
Jaden Smith: Filem ini banyak nilai-nilai kemanusiaan. Hubungan anak yang berjuang bukan sahaja untuk diri dan bapanya malah untuk manusia sejagat. Filem ini seharusnya ditonton oleh semua orang, seisi keluarga.
Budiey: Jaden, apa pendapat anda bila dapat bekerja bersama bapa sendiri dalam sebuah filem aksi?
Jaden Smith: Melihat dari jalan cerita After Earth dari awal sampai habis, kita dapat melihat hubungan bapa dan anak menjadi isu utama. Tanpa saya sedar, filem ini juga berkait rapat dengan kehidupan kami seharian. Bapa saya seorang yang berfikiran terbuka, matang, sentiasa peka dengan persekitaran dan keadaan diri saya, penyayang, dia juga tak lokek untuk memberi tunjuk ajar dan ilmu. Dari dulu lagi, bapa saya mengajar untuk menjadi manusia yang lebih baik dan dari situ saya faham tentang selok belok filem dan muzik. Saya juga banyak belajar tentang erti sebenar kehidupan dari bapa saya. Kalau tiada bapa, saya rasa saya susah untuk mendalami watak ini. Watak saya dalam After Earth mencerminkan hubungan saya dan bapa. Ya, saya sangat berterima kasih kepada beliau.
Budiey: Apakah harapan anda berdua tentang filem After Earth?
Jaden Smith: Saya harap semua peminat dapat menerima lakonan saya dengan baik. Saya menyeru kepada semua supaya mendalami makna tersirat dari lakonan kami kerana filem ini bukan sekadar filem aksi tapi jauh dari itu.
Will Smith: Filem ini sebuah filem universal, filem tentang dunia, filem tentang hubungan anak dan bapa dan filem aksi yang terbaik dihasilkan dengan saya dan Jaden. Jadi, tontonlah di pawagam.
Filem After Earth masih berada di pawagam untuk tontonan. Jom tonton!
Gambar Budiey bersama Will Smith dan Jaden Smith sejurus selepas sesi temubual
Antara aksi melucukan yang spontan antara bapa dan anak semasa Sidang Media After Earth