“GOLF” MEMBUKA HATINYA BUAT MALAYSIA
Ikuti kupasan ntv7 ke dalam kehidupan artis sensasi Thai, Pichaya “Golf” Nitipaisakul
Jika anda mengikuti siri drama Thai terbaru di ntv7 – Love Beyond Frontier – yang bersiaran setiap Isnin hingga Jumaat jam 10 pagi, pastinya anda tidak akan terlepas melihat wajah tampan Pichaya “Golf” Nitipaisakul. Wajah jambu yang mempesonakan pastinya membuatkan anda terfikir bahawa Golf mungkin baru sahaja bertapak di dalam industri ini. Namun siapa menduga pelakon berusia 25 tahun ini sebenarnya telah membina kerjayanya dalam industri muzik lakonan sejak 8 tahun lepas.
Berlakon di samping adiknya, Pirat “Mike” Nitipaisakul dalam “Love Beyond Frontier”, watak Golf sedikit sebanyak menggambarkan peribadi sebenarnya – lelaki muda berbakat yang sememangnya penuh keghairahan terhadap muzik. Daripada remaja biasa sehingga menjadi seorang bintang terkenal, Golf memperoleh kejayaannya hari ini bermula dengan pencarian bakat melaui projek “G Junior” oleh sebuah syarikat hiburan terbesar Thailand, GMM Grammy dimana dia dan Mike antara yang terpilih daripada 20 orang pesaing hebat mereka untuk menandatangani perjanjian setahun di mana album mereka juga dipasarkan pada tahun yang sama. “Saya menjadi penyanyi sejak 8 tahun lepas dan semuanya kerana aban kami memujuk kami menyertai ujibakat G Junior. Selepas mememnangi pencarian itu, Saya dan Mike menubuhkan sebuah Thai pop duo yang dinamakan atas nama kami – “Golf & Mike”. Sejak itu semuanya menjadi sejarah buat kami,” kata Golf menerusi sebuah temubual telefon eksklusif dari Thailand dengan ntv7.
Dengan pelancaran album terbarunya berjudul “INVASION”, artis berbakat besar berketurunan Thai-Cina ini bercita-cita untuk menjadi sebuah fenomena muzik baru di Thailand seperti yang dilakukan idola muziknya, mendiang Michael Jackson. “Michael Jackson telah merubah dunia melalui muziknya. Inilah yang menjadi inspirasi dan aspirasi kepada saya untuk melakukan perkara yang sama. Saya ingin memberikan pendengar sebuah perasaan baru terhadap jenis muzik yang terdapat di dalam album solo terbaru saya. Muzik yang dipilih mempunyai elemen electro dan techno untuk mereka rasakan sendiri.”
Selain bakat muziknya serta lakonan, mungkin juga anda tidak menyangka bahawa Golf sememangnya cintakan apapun jua cabang seni. “Jika anda tidak melihat saya di pentas atau di hadapan kamera, anda mungkin sekali dapat melihat saya di bilik memegang berus cat dan pensel. Saya amat suka melukis, memberus dan mereka sesuatu. Saya rasa saya boleh buat apa sahaja dengan SENI. Anda juga boleh katakan yang saya suka berimaginasi dan inovatif,” akui Golf.
Bukan sahaja Golf suka merekacipta malah turut mempraktikkan kebolehannya. Golf juga sedang menghabiskan masa-masa terluangnya menghasilkan pelbagai rekabentuk cermin matanya. “Bersifat inovatif adalah sebahagian daripada saya dan hanya sekarang saya mula mereka sendiri cermin mata kerana saya kagum dan teruja melihat rekaan hebat daripada pereka cermin mata Amerika dan rangkaian kaca mata – Stevie Boi – yang merkacipta cermin mata untul Lady Gaga, Nicki Minaj serta ramai golongan terkenal,” kata Golf.
“Saya bertanggungjawab di dalam setiap perincian, dari merekaciptanya sehinggalah menjenamakan dan memasarkannya. Sekira semuanya berjalan baik, saya merancang untuk mengeluarkan hasil ciptaan saya sebelum penghujung tahun ini melalui instagram – sebuah ruang di mana menjadi gaya sekarang masyarakat Thai memilih barang kesukaan melalui aplikasi ini – dan semestinya di kedai-kedai terpilih.” Golf yang memang fasih berbahasa Thai serta sedikit bahasa Jepun juga berkongsi usaha rangkaian pakaian bersama abangnya, Mike.
Bila ditanya dari mana datangnya ilham dan inspirasinya, Golf dengan ringkas menjawab ayahnya. “Ayah saya banyak mempengaruhi keseluruhan hidup saya. Dia bermula tanpa apa-apa namun kerana keazamannya dia menjadi seseorang hari ini. Ayah saya pernah menjual tiket di atas bas tetapi kini memiliki sebuah kilang dengan 50 orang pekerja dibawahnya. Dia mengajar saya untuk berjuang demi impian yang kita miliki dan sentiasa menghormati orang lain tidak kira latar belakang mereka.”
Berpuas hati dengan pencapaian dirinya kini, Golf berkata dia kan terus bekerja keras demi kerjaya dan selanjutnya mengembangkan lagi perniagaan yang dimilikinya. “Saya berharap dapat mendapat lebih pengalaman dalam bidang perniagaan dimana ia merupakan bidang yang amat saya suka selain berlakon dan menyanyi. Saya mungkin tidak akan selamanya ada di dalam industri ini tetapi saya tidak akan berhenti menyanyi kerana saya seronok melakukannya,” kata Golf.
Dengan segala pencapaian Golf kini, anda juga mungkin terkejut kerana lelaki pujaan ramai ini masih belum berpunya. “Saya sudah berkahwin dengan kerjaya saya.” Kata Golf sambil tertawa kecil. Semestinya saya mempunyai niat untuk membina keluarga saya tetapi buat masa ini saya masih belum bersedia menjaga orang lain selain diri saya sendiri. Ianya tidak mudah seperti yang difikirkan – ia meruapakan tanggungjawab besar dimana anda harus komited terhadap pasangan anda.
Jejaka ini juga ingin mencari gadis yang mempunyai ciri-ciri idamannya. “Saya ingin mencari seorang yang bijak, tekun, mempunyai pendapat sendiri dan paling penting tidak panas baran. Jika anda suruh saya memilih seseorang sebagai tanda aras, saya memilih Emma Stone sebagai orang yang paling sempurna dan memenuhi kriteria yang saya idamkan sebagai bakal isteri saya,” tambahnya lagi.
Untuk melihat lebih lagi sisi Golf, jangan lupa saksikan jejaka ini di ntv7 melalui slot Thai Lakorn dalam drama bersiri “Love Beyond Frontier”, setiap Isnin hingga Jumaat jam 10 pagi. Golf akan memainkan wataknya sebagai remaja biasa yang mempunyai impian sebagai seorang penyanyi dan sanggup menentang sebarang cabaran. Drama itu juga menampilkan barisan pelakon sensasi lain seperti Jarinporn “Toey” Joonkiat dan Pattarasaya “Peak” Kruasuwansiri.