Ujian Keimanan Seorang Insan Dalam Telemovie “Temukan Aku Pada Ramadan” Di TV1. Rabiatul bencikan namanya yang dianggap kuno lalu menukar kepada gelaran Beto. Dia gemar melepak dan membuat perkara yang tidak berfaedah sehingga tidak peduli kepada tuntutan agama. Namun kematian mengejutkan kakaknya yang alim dalam keadaan jenazah yang berseri-seri memberikan kesedaran kepada Rabiatul untuk berubah.
Sementara itu Janet pula, seorang mualaf yang selalu mengurut dengan ibu Rabiatul cuba untuk menghijrahkan kehidupannya yang terseksa dan tidak bahagia kepada kebebasan dan kedamaian.
Kisah telemovie khas Ramadan penuh keinsafan bertajuk “Temukan Aku Pada Ramadan” ini menampilkan lakonan mantap Zara Zya, Zain Hamid, Fiza Abd Halim, Lydiawati dan Sharisa Haris.
Drama arahan Adam Hamid yang bakal menemui penonton pada 12 Julai depan, pukul 10.30 pagi di TV1 ini mengisahkan lingkaran kehidupan seorang tukang urut bernama Rohana yang mempunyai dua orang anak perempuan namun berbeza perwatakan. Anak sulungnya, Fatimah Zahrah, seorang doktor memiliki perwatakan yang muslimah dan sangat penyayang manakala anak bongsunya pula Rabiatul Adawiyah bersifat agak liar dan sering menghabiskan masa dengan melepak bersama geng-geng skuternya.
Rabiatul selalu membenci namanya. Di kalangan kawan-kawan, Rabiatul ditukar menjadi Beto. Padanya nama itu terlalu kuno dan tidak sesuai dengan. Beto berumur 20 tahun tetapi tidak mahu meneruskan pengajian kononnya tidak berminat lagi untuk belajar. Di kalangan Beto dan Fatimah selalu berlaku pertengkaran apabila Fatimah menegur kelakuan Beto yang tidak menutup aurat, tidak mahu sembahyang dan selalu biadap dengan arahan ibu mereka.
Rohana seorang ibu yang penyayang namun dia selalu berfikir di manakah silapnya sehingga seorang anaknya itu tidak menjadi seperti yang dia harapkan. Puas Rohana berdoa agar suatu hari Allah akan memberi hidayah kepada Beto. Sejak muda, Rohana gemar membaca buku kisah-kisah nabi dan atas sebab itu dia suka memanggil anak-anaknya dengan nama penuh agar makna kepada nama itu tidak terpesong.
Suatu hari, Beto dan kawan-kawannya berlumba dengan skuter masing-masing dan entah bagaimana, Skuter Beto terlanggar batu dan dia jatuh tergolek ke jalan. Orang ramai yang melihat cuba membantu dan menghantar Beto ke klinik Fatimah. Fatimah yang melihat keadaan adiknya terkejut apabila diberitahu yang Beto terbabas ketika berlumba motorsikal. Petang itu sehinggalah ke malam, Beto dileteri oleh Fatimah. Rohana resah dengan perangai Beto.
Sementara itu, pada setiap pagi Sabtu Rohana pasti menerima kunjungan seorang pelanggan Cina yang mahukan Rohana mengurut kakinya. Wanita itu bernama Janet dan dia telah pun memeluk Islam ketika berkahwin dengan Hisham kira-kira tiga tahun dahulu. Janet gemar datang ke rumah Rohana kerana selain dari mengurut, Janet juga tertarik dengan cerita-cerita nabi dan sejarah Islam yang selalu diceritakan oleh Rohana.
Suatu hari ketika Rohana sedang mengurut Janet, Janet terdengar Rohana menegur Beto tentang kelalaian Beto terhadap solat. Janet jadi pelik. Selama tiga tahun dia berkahwin dengan Hisham, Hisham langsung tidak menitikberatkan soal sembahyang kepadanya. Malah Hisham sendiri jarang dilihat bersembahyang. Hisham akan cakap tidak mengapa. Kita dah keluarkan zakat itu sudah memadai. Yang penting, mereka tidak buat perkara yang dilarang oleh Allah.
Selain itu, Hisham juga seorang yang panas baran, dia tidak pernah mengaku kesilapannya. Banyak perkara lain yang sering membuatkan Janet memendam rasa dan dia sebenarnya terseksa dan tidak bahagia. Setiap apa yang dirasakan tidak betul, Janet sering meminta pendapat dan pandangan daripada Rohana.
Suatu hari Fatimah dihubungi oleh pihak polis yang memberitahu Beto di tangkap ketika serbuan di lakukan di sebuah kelab malam. Rohana yang terlalu geram telah menampar pipi Beto dengan kuat menyebabkan Beto melawan dan memperotes. Fatimah mengingatkan Beto agar bertaubat kerana ajal tidak pernah mengenal usia. Ketika itu Beto hanya mencebik. Fatimah juga mengingatkan Beto sebagai anak, mereka berdualah harapan ibu dan arwah ayah untuk mendoakan mereka di alam sana nanti.
Seminggu selepas itu, Beto masih tidak berubah. Nasihat Fatimah langsung tidak terkesan di hatinya. Pernah juga Fatimah menawarkan diri untuk mengajar Beto mengaji Quran tetapi dimarahi pula oleh Beto. Tiga hari selepas itu, Fatimah telah kemalangan dan meninggal dunia secara mengejut. Rohana ketika itu sedang mengurut Janet. Beto juga ada di rumah. Semua mereka seperti tidak percaya. Jenazah Fatimah diuruskan oleh Janet untuk di bawa balik ke rumah memandangkan Rohana tidak mempunyai saudara mara yang lain. Wajah Fatimah berseri-seri dan dia tersenyum. Terkaku Beto melihat jenazah kakaknya namun dia hanya boleh berada di sisi jenazah tanpa mampu membaca Al-Quran.
Kematian mengejutkan Fatimah telah memberikan satu tamparan hebat kepada Beto. Terngiang-ngiang di telinganya setiap bebelan lembut kakaknya sebelum kakaknya meninggal. Masihkah ada ruang untuk Beto kembali menjadi muslimah sejati? Bagaimana pula pengakhiran Janet dan suaminya?