in ,

Telemovie TALKIN DIBIRAI KATIL Lakonan Syafie Naswip

Menampilkan kemunculan pelakon utama Zahiril Adzim, Syafie Naswip, Fauziah Nawi dan Chomell Fana, drama bertajuk “Talkin dibirai Katil” disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) sarat dengan pengajaran peranan seorang teman itu sebenarnya tidak semudah yang disangka.

Seorang teman sewajarnya sama-sama menegur kesilapan dilakukan teman yang lain dengan cara berhemah dan bukan dengan cara ‘marah-marah’. Begitu juga kecelaruan dalam diri sewajarnya ditangani dengan cara berkongsinya dengan orang bijak pandai ilmu agama.

Untitled

Dugaan Pemuda Mahu Berubah Dalam Telemovie “Talkin Dibirai Katil” Di TV2

Mengisi slot Citra di TV2 pada 22 Disember ini, pukul 10.00 malam, kisah dua watak utama pemuda bernama Fakhri dan Naufal ini sewajarnya dicontohi semua dalam melalui perjalanan hidup seharian. Meskipun dihimpit kekurangan daripada segi harta dan kebendaan, dia tidak pernah jemu dalam menasihati teman serumahnya, Naufal yang kaya raya namun kurang daripada segi agama.

Fakhri, beru menamatkan pengajian dari Universiti. Fakhri berusaha mencari bilik sewa di KL kerana tidak mampu menyewa rumah memandangkan dia baru mula bekerja. Dalam pencariannya itu, dia terpandang iklan dibuat oleh Naufal, eksekutif di sebuah bank. Naufal tinggal seorang diri di rumah orang tuanya di KL setelah ibu dan ayahnya berhijrah ke luar negara. Peliknya, Naufal adalah anak orang berada yang tidak suka bersosial dan lebih senang melepak di rumah dengan gitar atau membaca dan melayari internet. Bermulalah kehidupan Fakhri menyewa bilik di rumah Naufal.

Fakhri cukup menjaga solatnya, termasuklah solat di awal waktu dan berjemaah termasuklah waktu subuh. Naufal pula memang culas bab solat dan mengambil sikap tidak kisah. Naufal yang panas baran, pantang ditegur dan pasti melenting. Fakhri mula menegur sikap Naufal secara selamba dan berseloroh. Naufal berang dan menyuruh Fakhri menjaga hal sendiri sekiranya mahu terus tinggal di situ.

Fakhri merasakan ianya adalah tanggungjawabnya untuk menegur kerana Allah yang telah mentakdirkan dia tinggal serumah dengan Naufal setelah dia tidak sesuai tinggal di beberapa bilik sewa sebelum ini. Baginya pertemuan mereka ada sesuatu ketentuan yang tersirat, yang Allah mahu mereka saling membantu. Fakhri tidak putus asa. Naufal pula bertambah bengang.

Semenjak kecil, Naufal mempunyai tabiat pelik. Naufal sering berperang dengan dirinya sendiri. Seolah-olah terdapat 3 watak dalam dirinya. Pertama adalah dirinya sendiri, kedua adalah sikapnya yang dipandu oleh jiwa kacau hasutan syaitan dan ketiga adalah jiwa yang memujuknya untuk berubah. Setiap kali Naufal mahu berubah atau melakukan apa-apa, dua jiwa iaitu yang baik dan yang jahat akan berperang, jiwa watak dirinya sendiri pula akan menjadi keliru. Itulah yang terjadi tatkala Fakhri asyik menegurnya. Naufal mahu berubah tetapi bukan kerana nasihat Fakhri. Naufal mahu berubah kerana ikhlas dari hatinya. Tanpa paksaan.

Untitled

Fakhri yang ceria telah mengajak Naufal menemaninya membeli jubah dan tudung untuk ibu dan adik perempuannya. Fakhri juga memenuhi rak bacaan di rumah Naufal dengan buku dan majalah agama. Di waktu malam pula, Fakhri memasang kuat CD zikir terapi dan Fakhri akan mengaji di waktu lapang. Fakhri juga selalu sesuka hati, kononnya dengan tidak sengaja menukar saluran program agama ketika Naufal sedang menonton tv. Sudah tentu semua ini membuatkan Naufal berang. Dia sering bertanya pada Fakhri, siapakah tuan rumah sebenarnya. Fakhri pula tetap senyum simpul dan tidak bosan menegur.

Dalam diam, Naufal ‘termakan’ teguran Fakhri. Naufal yang berperang dengan jiwanya, secara senyap cuba belajar menunaikan solat tanpa pengetahuan Fakhri. Jiwanya meracau dan masih tidak keruan antara betul atau tidak tindakannya. Naufal tidak mahu perubahannya diketahui sesiapa termasuk Fakhri. Fakhri yang mengintip Naufal merasa sangat gembira dan bersyukur. Fakhri tidak mahu Naufal merasa kekok dan malu dengan perubahannya. Jadi Fakhri pura-pura tidak tahu yang Naufal telah berubah. Setiap kali keseorangan, jiwa jahat Naufal tidak berhenti memandunya ke arah sikap yang lama atau lebih teruk lagi.

Walaupun Naufal telah mula mahu solat, dia paling liat menunaikan solat subuh. Setiap subuh, pasti Fakhri akan muncul di birai katil Naufal dan membacakan talkin sekuat hati untuk mengejutkan Naufal. Kononnya cara ini akan mengingatkan Naufal kepada kematian. Naufal tidak suka tidurnya diganggu. Dia akan menjerit dan memaki hamun Fakhri. Jiwa jahat Naufal menjadi kurus dan berusaha untuk bangkit melawan jiwa baik Naufal.

Sehinggalah tiba pada satu hujung minggu Fakhri menerima panggilan telefon dari seorang ustaz kenalan rapatnya. Fakhri kelihatan ceria dan terus memberitahu Naufal yang Ustaz Sham mengajak mereka menyertai kursus menguruskan jenazah kendaliannya di masjid pekan berhampiran. Fakhri terus menarik tangan Naufal yang terpinga-pinga. Kononnya Fakhri juga ingin memperkenalkan Naufal kepada geng Ustaz Sham yang sudah lama ingin berkenalan dengannya. Naufal meronta tetapi kakinya terdorong mengikut Fakhri.

Apakah pendekatan diambil oleh Fakhri untuk betul-betul merubah Naufal? Atau hanya setelah kematian teman serumahnya itu baru Naufal berubah ke pangkal jalan?

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Telemovie SUAMI MUDA Lakonan Ifa Raziah & Dazrin Kamaruddin

Program Khas Maulidur Rasul 2015 di TV1