in

Telemovie Sinar Idaman

Kisah Perebutan Anak Dalam Telemovie Sinar Idaman Di TV1

Kebiasaannya seorang anak yang diberikan kepada orang lain selalunya bernasib malang apabila diri mereka menjadi mangsa deraan atau pun diabaikan keluarga baru. Kisah hidup mereka penuh dengan garis-garis luka yang tidak berkesudahan dan selalunya kisah sedih mereka menjadi pilihan untuk dipanjangkan melatari sesebuah drama mahu pun disiarkan di dada-dada akhbar.

Namun bayangkan sekiranya kehidupan mereka ditakdirkan pula sebaliknya. Mereka ditatang bagai minyak yang penuh. Segala kehendak hati dipenuhi dan membuatkan mereka rasa benar-benar disayangi. Pada masa yang sama keluarga sebenar kembali menuntut hak penjagaan semula. Lalu siapakah yang menjadi pilihan si anak?

Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerusi Slot Nurani mengajak anda menyaksikan telemovie Sinar Idaman yang mengangkat isu yang realitinya terjadi dalam masyarakat kita ini pada 18 November 2011, jam 10.30 pagi di TV1 yang dibintangi oleh Khairil Anwar, Zarina Zainuddin, Safura Yacob, Erynne Erynna dan Maimon Talib.

TELEMOVIE SINAR IDAMAN

Plot drama ini mengetengahkan kisah Ismail yang diberhentikan kerja setelah kilang tempatnya bekerja terpaksa ditutup akibat mengalami kerugian tanpa mampu untuk beri pampasan. Usaha mencari kerja lain gagal ditambah dengan hutang Ah Long yang belum dibayar sehingga Rohaya, isterinya terpaksa menggadaikan barang kemas untuk menyelesaikan hutang Ah Long.

Kesempitan hidup yang berterusan di Kuala Lumpur telah memaksa mereka sekeluarga berpindah ke rumah pusaka di kampung Rohaya. Hidup semakin susah tambahan selepas Ismail cedera setelah dilanggar oleh kereta penyamun. Ismail putus semangat dan merasakan dia seakan beban kepada keluarga.

Rohaya tidak sanggup melihat anak perempuan mereka, Norma yang masih kecil hidup susah. Akhirnya Ismail mencadangkan agar Norma dipelihara oleh emaknya, Nenek Gayah dan kakaknya, Timah. Dengan berat hati, Rohaya terpaksa akur. Rohaya mendapat izin bekerja di samping bantuan kedua anaknya, Amir dan Zarul. Timah pula sanggup menerima Norma.

Along, anak Timah menentang keputusan emaknya menjaga Norma sehingga mengambil keputusan keluar rumah. Adiknya, Angah sebaliknya. Norma hidup bahagia dengan Timah. Nenek Gayah mengingatkan Timah bahawa dia perlu menerima hakikat bahawa Norma masih hak sebenar Ismail dan Rohaya. Namun Timah tidak sanggup kehilangan Norma hingga sanggup berkorban apa sahaja untuknya.

Dengan bantuan kawan lamanya, Kang Hsiung, hidup Ismail semakin hari semakin senang. Rohaya meminta Ismail mengambil semula Norma kerana merasakan sudah mampu menjaga dia semula. Timah setuju. Rohaya semakin hari semakin merindui Norma dan menyalahkan Ismail kerana menyerahkan Norma kepada Timah.

Ismail kemudiannya meminta izin Nenek Gayah untuk mengambil semula Norma. Nenek Gayah menyerahkan keputusan kepada Norma siapa yang dia pilih. Norma telah memilih Timah. Setelah Nenek Gayah meninggal, masalah merebut hak ke atas Norma semakin tegang. Ismail memujuk Timah supaya serahkan Norma kepada mereka sekeluarga. Timah tetap berkeras tidak akan melepaskan Norma.

Ismail bertekad mengambil semula Norma semasa Norma pulang dari sekolah. Kehilangan Norma menjadikan Timah tak tentu arah sehingga sanggup membuat laporan polis Norma diculik.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Faralyna Idris Kini Temui Cinta

Diana Danielle Hannah Tan Sazzy Falak MyEG Xtra Time