TELEMOVIE KHAS AIDILADHA : SEKERAS SEKEPING HATI DI TV1
Aidiladha yang bakal disambut seluruh umat Islam 17 November depan memberikan sejuta pengertian buat semua. Alangkah bermaknanya kehidupan jika dapat menyambut perayaan ini dengan keluarga tersayang terutama ibu dan ayah dengan belaian kasih sayang keduanya. Kasih sayang mereka tidak ternilai harganya.
Namun tidak semua orang bertuah untuk meraikannya bersama insan tersayang. Pernahkah terbayangkan situasi dimana jika kita adalah seorang kanak-kanak berusia 12 tahun yang telah kehilangan ibu bapa tersayang akibat daripada sebuah kemalangan helikopter. Sudah semestinya kesedihan membelenggu diri kerana ditinggalkan orang yang paling disayangi. Apatahlagi meniti zaman kanak-kanak tanpa ibu bapa adalah sesuatu perkara yang amat menyedihkan dan kehidupan yang dilalui menjadi sepi kerana tiada lagi keriangan.
Sebagai berkongsi kisah menyayat hati ini, Radio Televisyen Malaysia (RTM) membawakan telemovie menarik bertajuk “Sekeras Sekeping Hati†yang akan ditayangkan pada 17 November 2010 (Rabu), jam 2.05 petang di TV1 lakonan berkesan pelakon terkenal Sabrina Ali, Rashidi Ishak dan Julia Ziegler disamping Dodi, Azreen dan Acong Sweet Child.
Ia memaparkan tentang seorang kanak-kanak lelaki bernama Haikal yang berusia 12 tahun dan dikurniakan otak yang bergeliga. Walaubagaimanapun, nasib baik tidak selalu menyebelahinya kerana dia kehilangan kedua ibu bapa yang dia sayangi akibat daripada insiden kemalangan helikopter serta masih juga belum dijumpai setelah sebulan kemalangan itu terjadi.
Ekoran daripada kejadian itu, Haikal ditempatkan ke Pusat Kebajikan dan sepanjang di sana, dia sedikit pun tidak berasa kekok kerana memang sudah dididik dari kecil untuk pandai menyesuaikan diri di mana pun dia berada.
Setelah hasil maklumat yang diterima oleh Pusat Kebajikan, Jabatan Kebajikan Masyarakat mendapat maklumat tentang seorang waris Haikal yang berada di kampung. Waris tersebut adalah adik kepada ibunya iaitu Zubaidah, seorang anak dara tua yang kasar dan agak pemarah.
Zubaidah dimaklumkan mengenai penjagaan Haikal dan dia menerima tanggungjawab untuk menjaga Haikal walaupun hakikatnya dia tidak begitu berminat untuk menjaga anak buahnya itu.
Sementara itu, Haikal begitu gembira kerana dapat tinggal bersama Zubaidah di kampung. Setelah tinggal di kampung, Haikal bertemu dengan seorang sahabat baik iaitu Sabrina yang menjadi rakan sepermainan dan juga pendengar setia Haikal.
Pelbagai insiden yang telah berlaku sepanjang Haikal tinggal di kampung bersama makciknya, Zubaidah dan sepanjang itulah dia terpaksa menempuh pelbagai karenah Zubaidah yang kasar.
Haikal mencari pelbagai pendekatan untuk mengenali Zubaidah dengan lebih dekat kerana dia berniat menjalinkan hubungan baik dengan makciknya itu. Satu hari, dia melihat makciknya menangis di beranda rumah lalu menegur Zubaidah.
Dia dengan berani cuba bertanya dengan suara yang lembut lalu Zubaidah menyambut sapaan Haikal dengan lembut dan berhemah. Haikal menjadi gembira kerana Zubaidah sudah berlembut dengannya.
Saksikan telemovie menarik ini kerana ianya penuh dengan pengertian dan pengajaran yang amat berguna buat penonton. Apakah yang akan terjadi kepada hubungan Haikal dan Zubaidah? Bagaimanakah Haikal menjalani kehidupannya tanpa ibu bapa yang disayangi dan adakah Haikal akan dipertemukan dengan ibu bapanya itu? Tontoni kesudahan telemovie ini dan jangan lupa untuk mengetahui penghujung telemovie ini.