in , ,

Telemovie OMBAK KENANGAN Lakonan Farahdhiya

Cempaka Muslim, seorang penulis wanita berusia 27 tahun dari Jakarta. Kecintaannya terhadap kesenian dan kebudayaan membawa dia menjadi kolumnis ruangan kebudayaan dalam salah sebuah majalah di Indonesia. Dalam setahun dua ini, fokus utamanya ingin menyelami keunikan tradisi kesenian Wayang Kulit termasuklah Wayang Purwo, Wayang Kulit Jawa dan sebagainya. Setiap masa terluang akan digunakan untuk menulis, tentang kebudayaan dan juga luahan isi hatinya.

Dibintangi pelakon utama Farahdhiya membawakan watak Cempaka Muslim, saksikan telemovie menarik “Ombak Kenangan” pada 7 Mac ini, pukul 3.05 petang di TV1 yang turut menampilkan lakonan Ridhuan Hashim, Azza AF dan Yaya Maembong.

Ia mengisahkan Tuan Jalal, berusia 58 tahun merupakan bekas pengarah filem yang mengalami kekesalan sepanjang hidupnya atas kesilapan masa lalu. Kini beliau mengusahakan sebuah chalet percutian tepi pantai, Seri Ayu Resort di negeri Kelantan. Beliau memiliki keperibadian dan personaliti tokoh yang dihormati oleh orang ramai.

Farahdhiya

Telemovie “Ombak Kenangan” Lakonan Farahdhiya Sebagai Gadis Indonesia Di TV1

Setiap hari, di waktu senggang, Tuan Jalal menghabiskan masanya merenung jauh di tepi pantai. Sakit jantung yang dihidapinya sejak 10 tahun lalu seringkali mengganggu kesihatannya.

Keinginan Cempaka untuk menyelami lebih dalam mengenai kesenian wayang kulit membawanya ke bumi Malaysia untuk mendekati pula Wayang Kulit Kelantan yang pada pandangan juga punya keunikan tersendiri untuk dikaji dan diperdedahkan kepada khalayak pembacanya. Selesainya dia menemui beberapa tokoh akademik di Kuala Lumpur, lantas dia mengambil keputusan menyewa kereta untuk ke Pantai Timur.

Setibanya di Kota Bharu, secara tidak sengaja dengan Osman, pemandu van pelancong yang membawanya ke chalet perangin tepi pantai milik Tuan Jalal, Seri Ayu Resort yang sering menganjurkan persembahan Wayang Kulit untuk tatapan pengunjungnya. Osman telah memperkenalkan Cempaka kepada Tuan Jalal yang juga merupakan bapa angkat kepadanya.

Setiap kali merenung jauh di tepi pantai, ingatan Tuan Jalal adalah tidak lain terkenangnya kekesalan terhadap kisah hidupnya yang lalu. 20 tahun lalu, dia seorang pengarah filem ternama. Mempunyai isteri seorang aktres terkenal. Dia punya segalanya. Hidup dalam kemewahan. Tuan Jalal dan isterinya berada di puncak kerjaya mereka ketika itu.

Namun begitu, ketaksubannya terhadap dunia filem dan pengkaryaannya membuatkan dia hilang sesuatu yang dipanggil nikmat berkeluarga. Kesibukannya sebagai pengarah dan kesibukan isterinya sebagai pelakon membuatkan anak tunggalnya, Suraya yang ketika itu berusia 6 tahun sering berasa terbiar dan terpinggir. Dalam sebuah rumah mewah, Suraya banyak menghabiskan masa dan meluahkan kasih sayang pada orang gaji rumah mereka yang Bibik.

Satu hari, Suraya tanpa sengaja terlanggar air minuman di atas meja lalu tertumpah di atas skrip Tuan Jalal. Tuan Jalal yang begitu tekun dengan kerjanya itu tiba-tiba mengamuk. Tuan Jalal yang ketika itu begitu marah memandu keretanya keluar dari rumah untuk mententeramkan jiwanya.

Kerana itu, kini Tuan Jalal banyak menghabiskan masa merenung jauh di pantai. Kerana di pantai mengenangkan Suraya amat suka kepada pantai. Tuan Jalal tertarik dengan semangat anak muda seperti Cempaka untuk mendalami kesenian tradisi wayang kulit ini lalu mengajak Cempaka untuk tinggal di rumahnya, rumah banglo di tepi pantai yang cukup indah. Tambahan pula dia tinggal keseorangan.

Perhubungan antara Tuan Jalal dan Cempaka semakin rapat. Tuan Jalal banyak berkongsi pengetahuannya tentang wayang kulit. Osman yang merupakan anak angkat Tuan Jalal memang sering berkunjung ke rumah itu. Selama inipun, memang Osmanlah yang mengambil berat tentang kesihatan Tuan Jalal. Sesekali Osman membawa Cempaka untuk melawat kawasan-kawasan kebudayaan di sekitar Kota Bharu.

Seminggu di rumah Tuan Jalal, perhubungan Osman dan Cempaka juga semakin rapat. Tuan Jalal gembira melihat perkembangan itu. Perhubungan akrab antara mereka bertiga mengembalikan Tuan Jalal pada sesuatu yang pernah dia hilang, nikmat berkeluarga.

Tanpa diduga, perhubungan akrab Osman dan Cempaka membawa perasaan dengki terhadap mereka oleh Alya. Alya menaruh hati kepada Osman, namun cintanya sering tak berbalas. Melihat kemesraan Osman dan Cempaka, Alya menjadi kurang senang. Alya cuba memburukkan Cempaka. Hingga dia bersemuka dengan Cempaka memberi amaran untuk menjauhkan diri daripada Osman.

Suatu pagi beberapa hari kemudian, Cempaka ke pantai di hadapan rumah bertemu Tuan Jalal. Memang dia sudah tahu, setiap pagi Tuan Jalal akan berada di pantai. Mereka berbual hati ke hati. Cempaka menyuarakan tanda tanya yang bermain di fikiran tentang latar belakang dan keluarga Tuan Jalal.

Tuan Jalal menceritakan segalanya. Dia turut menceritakan pada detik dia mengamuk marahkan Suraya tanpa sengaja mengeluarkan kata-kata menghalau Suraya dari rumah. Sekembalinya dia ke rumah pada petang tersebut, Suraya sudah tiada di rumah. Suraya dan Bibik telah tiada di rumah itu. Timbul kekesalan yang amat sangat di hatinya dan juga isterinya kerana mengabaikan Suraya selama itu.

Namun siapakah sebenarnya Cempaka? Adakah dirinya miliki hubungan pertalian keluarga dengan Tuan Jalal? Saksikan kesudahannya hanya di TV1.

Poster Ombak Kenangan

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Program Aksi Komedi & Menarik di Saluran FOX

Video Madonna Terjatuh Masa Perform di BRIT Awards 2015