Selepas bulan Mei diadakan pelbagai acara istimewa untuk meraikan Hari Ibu, pada bulan Jun pula khusus untuk anak meraikan golongan bapa di seluruh dunia. Di Malaysia sambutan hari bapa diraikan pada Ahad ketiga di bulan Jun setiap tahun.
Radio Televisyen Malaysia (RTM) turut berkongsi penghargaan kepada golongan bapa dengan menyiarkan sebuah telemovie bertajuk “Nana” yang mengetengahkan ikatan tulus seorang anak dengan bapanya begitu juga sebaliknya menemui penonton pada 16 Jun ini, pukul 10.00 pagi menerusi TV2.
Nilai Kasih Seorang Anak, Ayah Dalam Telemovie “Nana” di TV2
Telemovie ini menampilkan gandingan lakonan mantap pelakon Fazreen Rafi, Puteri Najuwa, Norlia Ghani, Zara Sophia, dan Amerul Affendi.
Kisahnya mengetengahkan seorang bapa bernama Ustaz Jak yang terpaksa pergi ke Kuala Lumpur mencari Dr. Sarina. Dr. Sarina merupakan doktor pakar yang merawat anaknya, Nana. Tujuan Ustaz Jak ke Kuala Lumpur untuk bertanya tentang rawatan susulan anaknya yang menghidap penyakit Autisme.
Sebagai seorang bapa, Ustaz Jak memang terlalu sayangkan Nana sehingga beliau tak pernah tinggalkan anaknya walau ke mana pun dia pergi. Dia sanggup berkorban apa sahaja demi anak kesayangan itu.
Pada masa sama, Haris bergegas membawa isterinya, Dr. Sarina ke hospital kerana hendak melahirkan anak sulong mereka. Takdir Allah mereka telah terlibat dalam kemalangan yang melibatkan pertembungan sesama mereka. Kenderaan dipandu Haris bertembung dengan kereta Ustaz Jak. Malangnya Dr. Sarina dan Ustaz Jak disahkan meninggal dunia.
Haris kemudiannya bertemu dengan Nana. Saat itu dia merasakan yang hidupnya kembali terisi dengan kehadiran Nana dan begitu juga dengan Nana. Kebetulan nama anak yang bakal dilahirkan arwah isterinya adalah sama dengan nama gadis kecil yang ditemuinya itu.
Namun adakah Nana sememangnya ditakdirkan untuk menjadi pengganti anaknya? Begitu juga dengan Nana yang mendambakan kasih sayang dan perhatian seorang ayah?
Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.