Begitu juga yang pada luarannya tampak alim namun sebaliknya hanya Allah yang mengetahuinya. Menghayati bulan Ramadan Al-Mubarak yang mulia ini, Radio Televisyen Malaysia (RTM) berkongsi menayangkan telemovie bertajuk “Munajat Terhenti” yang mengajak penonton supaya tidak menilai seseorang hanya menerusi mata kasar. Sebaliknya bersangka baik itu yang penting.
Shukri Yahaya Lupa Diri Dalam Telemovie MUANAJAT TERHENTI di TV2
[dropcap]B[/dropcap]uat pertama kalinya, Kamal Adli, Shukri Yahaya dan Afiq Muiz beraksi dalam satu produksi. Mereka juga buat julung kalinya mendukung watak sebagai adik-beradik di hadapan kamera. Gandingan tiga bintang ini dapat ditonton menerusi telemovie terbitan Pena Creative Pictures.
‘Munajat Terhenti’ disiarkan pada 14 Jun ini, pukul 10.00 malam di TV2 memaparkan konflik dua adik beradik iaitu Yusman (lakonan Kamal Adli) dan Yusri (lakonan Shukri Yahaya) yang hidup dalam dua ‘dunia’ yang berbeza.
Kisahnya bermula dengan kehilangan ayah yang tersayang membuatkan Yusman menggalas tanggungjawab membantu ibunya menyara kehidupan seharian mereka. Yusman mempunyai dua adik Yusri dan seorang lagi adik lelaki yang cacat lakonan Afiq Muiz.
Kerana tiada pilihan lain, Yusman terpaksa bekerja di kelab malam sebagai seorang bouncer setelah gagal mendapatkan pekerjaan tetap sedangkan dia amat memerlukan pekerjaan untuk membantu kehidupan keluarganya. Meskipun hatinya berbelah bahagi namun semuanya terpaksa dilakukan.
Sementara itu, adiknya Yusri berkelulusan bidang agama dan bekerja sebagai ustaz. Dia turut menerima undangan memberikan ceramah agama di masjid-masjid yang berdekatan. Ceramahnya menjadi sebutan ramai apatahlagi tidak ramai anak muda yang menjadi penceramah muda sepertinya. Dirinya turut menjadi tumpuan ramai anak gadis yang meminatinya dalam diam.
Pada masa sama, Yusri sering memandang serong dan mencemuh abangnya yang dikatakan bergelumang dengan dunia yang penuh dosa. Disebabkan namanya mula dikenali ramai, Yusri dan ibunya mula mengenakan bayaran kepada pihak yang memanggil Yusri mengadakan ceramah agama. Malah mereka mengenakan harga yang tinggi dan mula lupa diri. Adiknya cuba untuk membetulkan situasi tersebut namun apalah kudratnya.
Satu hari berlaku pergaduhan antara Yusman dan Yusri. Ibu mereka masuk campur dan akibatnya Yusman telah dihalau dari rumah oleh ibunya. Segala jasa Yusman dilupakan oleh mereka. Malah ibu mereka bertindak berat sebelah menyebelahi Yusri kerana anaknya itu kini mampu membuatkan dirinya menjadi sebutan ramai dan memperolehi pendapatan yang banyak dengan hasil ceramah agamanya.
Ibu mereka jatuh sakit. Dia meminta bantuan Yusri namun ditempelak oleh Yusri yang menganggap ibunya menyusahkan. Ketika itu ibunya baru menyedari tindakannya salah menghalau Yusman sedangkan anaknya itu sudah banyak berkorban untuk mereka sekeluarga. Anak bongsunya kemudian keluar mencari Yusman dimerata tempat. Namun kecacatannya membuatkan pergerakannya terhad.
Pengakhirannya berakhir dengan situasi memilukan. Yusman ditemukan meninggal dunia ketika sedang solat di masjid sebaliknya Yusri yang keluar mencari abangnya di kelab malam terpedaya dengan godaan pelayan wanita di situ.
Drama ini turut membariskan pelakon Elfira Loy, Aleza Shadan, Theera Alias dan Rahim Kidol.
Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.