Sambutan Hari Kemerdekaan atau Kebangsaan pada tahun 2015 lebih menekankan kepada semangat kejiwaan dan bersatu hati rakyat Malaysia apabila Sehati Sejiwa dipilih sebagai tema sambutan Hari Kemerdekaan tahun 2015.
Justeru Radio Televisyen Malaysia (RTM) mengajak penonton setia salurannya menghayati sambutan Hari Kebangsaan dengan menyiarkan telemovie khas arahan Bade Haji Azmi bertajuk “Mansur & Li Poh” mengisi slot Citra di TV2 pada 18 Ogos ini, pukul 10.00 malam.
Usah ketinggalan menyaksikan drama menarik yang menampilkan kemunculan pelakon Talha Harith, Jojo Goh, Nadia Mustafa, Mandy Chong, Juhara Ayob, Jesse Lim dan Shahrolnizam Nor ini.
Saksikan plot kisah watak utama Mansur dan Poh Lee Lee (Lily), dua orang remaja dari Kuala Lumpur yang sedang belajar di kolej swasta yang sama. Sungguhpun selalu bersua muka, mereka tidak mengenali diri masing-masing, dan mempunyai kelompok kawan yang berbeza. Di sebalik senyuman mereka di hadapan kawan-kawan, Mansur dan Lily sebenarnya sedang menghadapi masalah besar yang cuba dirahsiakan mereka daripada orang lain.
Lily tertekan kerana bakal dikahwinkan dengan seorang lelaki pilihan keluarga. Bagi Lily, seorang gadis yang mengaku berpendidikan tinggi, berfikiran terbuka dan moden, perkahwinan terancang merupakan sesuatu yang tidak boleh diterima akalnya. Pun begitu, Lily terpaksa berdiam diri dan memendamkan perasaan kerana bersimpati dengan keadaan emaknya yang sedang sakit tenat. Dia risau sekiranya dia membantah rancangan itu, penyakit emaknya akan bertambah buruk.
Mansur pula menghadapi masalah yang lebih kurang sama, tetapi dari perspektif yang berbeza. Ibunya sudah lama sakit, tetapi keadaan wanita itu semakin hari semakin tenat. Mansur menghadapi tekanan perasaan yang hebat apabila mendapat berita bahawa ayahnya bakal berkahwin lagi. Kakak Mansur membantah keras perkahwinan ayahnya itu dan cuba menyuruh Mansur melakukan sesuatu untuk menghalang.
Walaupun Mansur dan ayahnya jarang bersembang dan meluangkan masa bersama, Mansur amat menyanjung tinggi ayahnya. Ayahnya tidak pernah mengetepikan tanggungjawab pada keluarga, sekalipun sibuk dengan kerjayanya. Segala-galanya berubah selepas Mansur mendengar berita perkahwinan ayahnya itu. Mansur tidak mampu menerima hakikat itu. Namun, sebagai seorang anak yang soleh, Mansur tidak sanggup pula mempertikaikan keputusan ayahnya. Dan atas sebab yang sama, Mansur menderita secara dalaman, dan menyembunyikan segalanya di sebalik senyumannya.
Lily dan Mansur berkenalan apabila mereka belajar di dalam kuliah yang sama, yang dikendalikan oleh pensyarah yang agak ‘eccentrik’, iaitu Encik Shailesh. Lily dan Mansur memilih kuliah itu selepas mendapat maklumbalas bahawa Encik Shailesh ialah seorang pensyarah yang mudah dibawa berbincang, lalu menjadikan mata pelajaran itu senang lulus, berbanding dengan mata pelajaran elektif yang lain.
Kerana masalah yang dihadapi mereka, Mansur dan Lily mengambil sikap sambil lewa sahaja untuk menyelesaikan tugasan yang diberikan oleh Encik Shailesh. Mereka menyangka Encik Shailesh akan terus meluluskan mereka tanpa banyak soal. Alangkah terkejutnya mereka apabila Encik Shailesh terus menggagalkan mereka berdua, sehingga menyebabkan Mansur dan Lily berisiko tidak mampu menamatkan pengajian. Mansur dan Lily bertemu Encik Shailesh untuk membuat rayuan. Sambil menahan rasa malu, secara sipi-sipi.
Mansur dan Lily akhirnya berkongsi masalah mereka dengan pensyarah itu. Selepas kedua-duanya menyatakan masalah masing-masing, dan turut mengambilkira nama mereka berdua, Encik Shailesh akhirnya memberikan suatu tugasan berkumpulan kepada mereka berdua – untuk membuat laporan tentang interpretasi dan analisis ‘Perkahwinan Sultan Mansur Shah dengan Puteri Hang Li Poh’. Mansur dan Lily bersetuju dengan cadangan itu, walaupun tidak nampak relevannya tugasan baru itu.
Kasihan dengan nasib Lily, kawan-kawannya memberikan suatu cadangan, iaitu, menipu bakal suaminya (pilihan bapanya), bahawa dia enggan meneruskan perkahwinan terancang itu, kerana sudah mempunyai kekasih hati. Lily bersetuju dengan rancangan itu, lalu cuba meminta bantuan ‘Mansur’ untuk menyamar menjadi kekasih hatinya. Lalu apakah kesudahannya?
Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.