Telemovie Khas Pesta Keamatan : Kerana Sogit Di TV2
Perayaan Pesta Kaamatan adalah perayaan yang disambut bertujuan untuk merayakan kejayaan petani dalam memperolehi hasil tuaian padi dan menunjukkan rasa penghargaan atas rezeki yang diperolehi oleh petani. Perayaan ini diilhamkan daripada sambutan kejayaan masyarakat Kadazan Dusun dahulu kala yang akan menyambut hari gembira sebaik sahaja selesai menuai padi.
Perayaan Pesta Kaamatan ini dijadikan satu perayaan rasmi oleh Kerajaan Negeri Sabah dan tarikh 30-31 Mei setiap tahun dijadikan tarikh rasmi sambutan perayaan ini. Justeru Radio Televisyen Malaysia (RTM) turut meraikan sambutan ini dengan menyiarkan sebuah telemovie menarik bertajuk Kerana Sogit pada 31 Mei (Khamis), jam 1.30 petang menerusi TV2.
Menampilkan pelakon Ebi AF, Dyana Lind, Aswad AF, Jovina Susmin, T.S.Jeffry, Hasmin Azrol dan Mat Congo, Kerana Sogit adalah sebuah telemovie komedi Sabah arahan T.S.Jeffry. Kisah bermula seorang pemuda bernama Alang yang tergila-gilakan si Sogit. Sogit adalah seorang pemenang ratu cantik peringkat daerah di Tenom.
Alang dengan bantuan kawan baiknya iaitu Jefri dan Abeng terus memikat Sogit walaupun hakikatnya Alang tahu si Sogit bakal menjadi tunangan si Taming yang sekarang sedang melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Perguruan di sebuah Universiti di Kuala Lumpur.
Pada satu hari si Sogit dan kawannya iaitu Elena dan Derbee memberi pertolongan kepada seorang guru bernama Hadi yang baru saja berpindah dari Kuala Lumpur untuk mengajar di pekan Tenom Sabah. Cikgu Hadi adalah kawan karib Taming bakal tunangan si Sogit. Berita kedatangan Cikgu Hadi itu menyebabkan Alang begitu marah kerana dia menganggap si Sogit mula bermesra-mesraan dengan orang dari Kuala Lumpur.
Alang dan kawan-kawannya menganjurkan satu permainan yang bernama ‘Lansaran’ satu permainan yang begitu popular bagi kaum Murut di Sabah. Permainan Lansaran itu dirasmikan oleh Tok Ketua, manakalan si Sogit dan kawan-kawannya begitu terkejut dengan tindakan Alang yang cuba mempengaruhui Tok Ketua dan orang-orang kampung dengan kebaikkannya.
Kepulangan Taming yang baru saja tamat pengajian di peringkat Ijazah Perguruan di sambut meriah oleh Tok Ketua dan orang-orang kampung. Alang tidak bersetuju dengan majlis itu merancang sesuatu dengan mengupah dua samseng untuk menangkap Taming dan menyembunyikannya.
Sogit dan dua kawan Alang iaitu Jefri dan Abeng mencari Taming di hutan. Sesampai saja di hutan Jefri mengarahkan Sogit berpecah untuk mencari Taming. Dalam usaha mencari Taming, Sogit bertemu pula dengan Alang yang pura-pura cedera di kaki. Sogit cuba memberi bantuan kepada Alang, Alang pula yang ada niat tidak baik terhadap Sogit lalu memeluk erat Sogit. Perbuatan sumbang itu di lihat oleh Tok Ketua dan orang-orang kampung yang di bawa khas oleh Abeng dan Jefri. Tok Ketua mengarahkan orang-orang kampung menangkap mereka berdua di atas perbuatan tidak senonoh itu.
Keesokan harinya di rumah Tok Ketua, Alang mengaku bersikap tidak senonoh pada Sogit. Alang ingin menebus kesilapannya itu menawarkan dirinya untuk berkawin dengan si Sogit. Kehadiran Taming yang terlepas daripada tebusan Alang telah menyelamatkan keadaan. Sebenarnya Taming di selamatkan oleh abang kepada Elena iaitu Busu.
Apakah hukuman yang dijatuhkan pihak Tok Ketua kepada Alang di atas kesalahan yang telah dilakukannya? Saksikan kesudahannya hanya di TV2.