in ,

Telemovie Kalau Hati Dah Suka Lakonan Nadia Mustapha

Kisah Duda Mencari Cinta Dalam Telemovie Kalau Hati Dah Suka Di TV1

Bukan tugas mudah meyakinkan keluarga untuk menerima jodoh pilihan hati apatahlagi bila si duda memilih gadis yang seusia anak sendiri untuk dijadikan sebagai isteri. Pelbagai rintangan dan ujian terpaksa di hadapi demi mempertahankan hubungan semata-mata mahu mendapatkan restu keluarga. Begitu berlaku dalam diri pelakon Nasir Bilal Khan yang berpasangan dengan Yatt Hamzah membintangi drama menarik disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) bertajuk Kalau Hati Dah Suka pada 18 September 2011, jam 10.00 pagi mengisi slot Panggung Ahad di TV1.

Nadia Mustafa dan Nasir Bilal Khan dalam KALAU HATI DAH SUKA

Turut dibantu Nadia Mustapha, Kathy Azean dan Wan Maimunah, drama ini berkongsi kisah Zukri, seorang ahli perniagaan yang kematian isteri sejak 3 tahun yang lalu. Ahli keluarga cuba menjodohkan Zukri dengan berbagai calon isteri tetapi Zukri tidak punya hati untuk berkahwin lagi sehinggalah dia bertemu Jija, seorang gadis jelita yang manja telah menambat hatinya.

Jija diperkenalkan pada anak-anak Zukri yang lebih tua dari Jija. Maria, anak sulung membantah tetapi Noris anak bongsu berpihak pada Zukri. Bagi Noris, apa yang penting adalah kebahagiaan ayah mereka. Maria fikirkan bahawa Jija hanya mahukan harta ayah mereka tetapi apabila mendapat tahu bahawa Jija datang dari sebuah keluarga kaya raya, mereka malu sendiri.

Amran, ayah Jija tiada bantahan terhadap hubungan Jija dengan Zukri malah Amran dan Zukri yang sebaya boleh bermain golf bersama. Akan tetapi Norlie, ibu Jija tidak berkenaan langsung pada pilihan hati Jija. Norlie menganggap Jija rabun dan juga gila kerana menggilai Zukri. Norlie juga sakit hati kerana Jija menolak lamaran Edi, anak kepada kawan baik Norlie.

Maria yang malu kerana menganggap Jija mahukan harta ayah mereka, masih membenci Jija kerana sejak kehadiran Jija, Zukri leka ke sana kemari dengan Jija. Apabila mendapat tahu bahawa ibu Jija juga tidak gembira dengan hubungan Jija dan Zukri, maka mereka bergabung untuk memutuskan hubungan itu. Bermacam-macam cara mereka lakukan untuk memisahkan kedua merpati itu tetapi semuanya gagal malah disebaliknya mereka yang kena.

Akhirnya mereka merancangkan sesuatu yang dijangka boleh membuatkan Zukri meninggalkan Jija. Edi digunakan sebagai umpan untuk rancangan ini. Edi disuruh menelefon Jija untuk membicarakan sesuatu. Apabila Jija mendengar Edi menangis mahu bercerita tentang masalahnya, Jija pergi bertemu Edi. Zukri kemudiannya dihubungi untuk pergi melihat pertemuan Jija dan Edi. Zukri tiba disitu, bersembunyi memerhatikan Jija dan Edi. Jija dilihat memegang tangan Edi yang sedang bersedih. Hati Zukri hancur. Dia sedar bahawa dia sudah berusia dan Jija yang cantik jelita hanya layak dengan Edi yang segak lagi muda. Zukri membawa hati yang lara, memandu entah kemana-mana. Amran, ayah Jija risau kerana Zukri tidak muncul untuk bermain golf dengannya. Zukri dihubungi menerusi telefon bimbit tetapi taliannya tidak aktif. Dalam masa yang sama, Jiga juga risaukan Zukri. Jija memberontak bagai anak kecil. Norlie gunakan kesempatan ini dengan mengatakan bahawa sudah tentu Zukri ada perempuan lain yang lagi cantik dan lagi muda dari Jija. Jija meraung buat bising sehingga Norlie tidak tahan mendengarnya.

Edi, resah kerana telah bersubahat dengan Norlie dan MAria. Edi rasa bersalah kerana pada hakikatnya, Edi mempunyai pilihan hatinya sendiri. Edi tidak tahu pada siapa harus diluahkan rahsia hatinya lalu membicarakan pada orang yang paling dipercayainya iaitu Noris, rakan baiknya sejak universiti. Noris yang mendengar, nyatakan bahawa dia juga mempunyai masalah yang serupa dengan Edi tetapi Noris tidak tahu bagaimana untuk beritahu keluarganya kerana kakaknya Maria mahu menjodohkannya dengan pemuda pilihan kakaknya. Edi nekad untuk beritahu Zukri apa yang sebenarnya berlaku.

Pada waktu yang sama, Norlie dan ibu Edi sudah berangan-angan untuk persiapan majlis perkahwinan Jija dengan Edi. Noris menghantar pesanan ringkas pada Zukri dengan kata pujuk bahawa Noris tetap berpihak pada ayahnya itu. Noris jelaskan, Edi telah memberitahunya bahawa pertemuan yang dilihat oleh Zukri tadi adalah satu rancangan untuk memisahkan Zukri dengan Jija dan ketika ini Jija bagai orang gila mencari Zukri. Hati Zukri melonjak gembira lalu hubungi Jija. Keadaan menjadi kelam-kabut apabila mereka memutuskan mahu melangsungkan perkahwinan bersama-sama. Namun tercapaikah impian mereka? Saksikan kesudahannya dalam Kalau Hati Dah Suka di TV1.

babak menarik dalam Kalau Hati Dah Suka

babak meminang dalam Kalau Hati Dah Suka

BABAK DALAM KALAU HATI DAH SUKA

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Line-up KONSERT ROCKAWAY 2011

Chiki Boom Musim 8 Lebih Kreatif