Kisah Pergolakan Tanah Wakaf Yang Menjadi Pertikaian Dalam Telemovie “Kalam Berakar Tanah” di TV1. Mungkin ada yang percaya, mungkin ada yang tidak. Tetapi kisah ini sangat menyentuh hati dan boleh dijadikan pedoman dan pengajaran untuk semua terutamanya umat Islam. Jangan terlalu taksub dengan kekayaan harta di dunia kerana ia tidak boleh dibawa mati.
Mengangkat kisah pergolakan tanah wakaf yang menjadi pertikaian hingga menimbulkan dendam, saksikan telemovie khas sempena Hari Kebangsaan bertajuk “Kalam Berakar Tanah” arahan Rohaizulfarridz Salleh, Unit Drama TV RTM pada 31 Ogos ini, pukul 9.05 malam di TV1.
Terdahulu penonton di ajak menyaksikan tayangan Di Sebalik Tabir telemovie “Kalam Berakar Tanah” ini pada 29 Ogos ini, pukul 2.30 petang menerusi TV1. Menampilkan lakonan mantap pelakon berpengalaman seperti Jalil Hamid, Kamarool Haji Yusoof, Jay Iswazir, Rashid Jaafar, Sobri Anuar dan Nizam Yamin.
Ikuti perjalanan kisah hidup dilalui oleh Majid merupakan seorang bekas pemimpin tentera komunis. Cara hidup Majid dan sejarah hidupnya menarik minat seorang remaja kampung iaitu Jamil yang sedang melanjutkan pelajarannya di dalam jurusan perfileman.
Keadaan mula meruncing apabila ketua kampung, Tok Mat meninggal dunia. Anak Tok Mat iaitu Abu yang juga ketua pemuda kampung meminta bantuan beberapa penduduk kampung untuk membersihkan tanah wakaf di hujung kampung itu.
Namun kedatangan mereka ditentang Majid sehingga menyebabkan pergaduhan. Demi menghormati jenazah, jasad Tok Mat disemadikan di kampung sebelah dan hal ini membuatkan Abu berdendam dengan Majid. Dalam masa yang sama hubungan Majid dan Jamil semakin rapat.
Pada suatu hari ketika Jamil sedang merakamkan wawancara dengan Majid, Abu datang bersama beberapa orang konconya untuk melunaskan dendam kepada Majid. Bagaimanakah nasib Majid dan Jamil selepas ini? Ikuti kesudahan drama “Kalam Berakar Tanah” ini hanya di TV1.
Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton program di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.