Cuti sempena sambutan Deepavali dijanjikan Radio Televisyen Malaysia (RTM) dengan tayangan telemovie dan hiburan khas pada 10 November ini menerusi saluran TV1.
Bergelak ketawa dengan telemovie komedi pukul 9.30 pagi bertajuk “Bibah Bling-Bling” lakonan Ifa Raziah, Redzuan Hashim, Amyza Adnan, Hanis Kamal dan Dottie mengisahkan Bibah sangat terkenal di kampung kerana suka berpakaian manik-manik. Baju anak-anak dan warung nasi lemaknya juga turut dihiasi dengan manik-manik hingga kelihatan berkilauan seperti penyanyi M.Daud Kilau.
Walaupun minatnya itu tidak disukai oleh anak-anaknya, Bibah tetap tidak peduli. Penampilan Bibah yang semakin cantik dengan baju manik-maniknya telah menyebabkan bekas suaminya tertarik untuk merapati Bibah semula lalu menimbulkan konflik dengan isteri bekas suaminya.
Petangnya pukul 2.00 petang berhibur dengan Konsert Lantera Timur Dato’ Siti Nurhaliza mengangkat lagu-lagu tradisional ini mengabungkan pelbagai budaya masyarakat Melayu Timur yang bukan sahaja dipesembahkan melalui lagu malah turut diselitkan dengan sketsa yang bersesuaian.
Siti membuka tirai dengan persembahan tarian terkenal negeri Kelantan iaitu Mak Yong bersama seorang penari diikuti nyanyian lagu Nirmala dan Kurik Kundi.
Kemudian diikuti dengan segmen Dikir Timur yang menampilkan kumpulan Arjuna Sukma turut mendapat sorakan dan tepukan gemuruh daripada penonton apabila Siti tampil menjadi tukang karut bergandingan dengan tukang karut kumpulan tersebut.
Seterusnya konsert turut dihiburkan dengan persembahan istimewa daripada penyanyi jemputan Datuk M Daud Kilau dengan dua buah lagu iaitu Cik Mek Molek dan Laksamana Raja di Laut.
Konsert diiringi Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) itu mempersembahkan 35 buah lagu tradisional yang digubah dan disusun semula oleh dua pengarah muzik ternama iaitu Mohd. Yazid Zakaria dan Aubrey Suwito. Manakala penggiat seni berpengalaman, Lokman Ghani selaku pengarah konsert.
Antara lagu lain yang turut disampaikan ialah Patah Hati, Empat Dara, Kau Pergi Tanpa Pesan, Bunga Melor, Mahligai Permata, Bahtera Merdeka, Balqis, Ya Maulai, Cindai dan Biarlah Rahsia versi tradisional.
Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton program di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.