Diinspirasikan daripada kisah benar tentang misi dakwah di perkampungan Orang Asli, Radio Televisyen Malaysia (RTM) menyiarkan telemovie khas bertajuk “Fitrah”, kisah seorang wanita Orang Asli dan anak lelakinya yang ditinggalkan oleh suaminya seorang Ustaz. Penantiannya selama 20 tahun mengharapkan kepulangan suaminya yang pergi menunaikan haji di Mekah mencabar keimanannya dan menjadikan dia hampir putus asa.
Kisahnya bermula dengan watak dua beranak iaitu Yok Chopi lakonan Khatijah Tan dan anak lelakinya, Madna dibawakan wataknya oleh Halim Radzi. 20 tahun lalu Yok telah berkahwin dengan seorang ustaz dari bandar yang berdakwah di kampung mereka. Ketika mengandungkan Madna, ayahnya yang juga seorang mutawwif ditugaskan membawa jemaah menunaikan Haji di tanah suci Mekah.
Madna dibesarkan oleh Yok tanpa ajaran agama Islam yang kukuh. Ini kerana rasa kecewa kerana ditinggalkan suaminya tanpa khabar berita. Pegangan Yok sebagai umat Islam juga mulai lalai. Apatahlagi di perkampungan Asli mereka sudah lama tidak didatangi pihak berdakwah ajaran Islam.
Namun kehadiran Ustaz Amin cuba mengubah situasi itu. Dia nekad mahu mengadakan kelas agama dan membimbing semula mana-mana umat Islam di situ kembali semula kepada pegangan agama Islam.
Dengan sokongan diberikan Tok Batin di situ dia memulakan usahanya. Kehadiran ustaz Amin yang lemah lembut dan baik akhlaknya menyantuni orang Asli di situ berjaya menyentuh hati Yok. Timbul rasa bersalah dia tidak mengajarkan ilmu Islam kepada Madna.
Pada masa sama Madna dicemburui oleh Mon, pekerja Tok Batin yang menaruh hati pada anaknya, Sunarti. Mon sanggup memukul Madna pada hari Sunarti berangkat mahu melanjutkan pengajiannya di luar negara.
Berkat doa ibunya, Madna mula mendalami ilmu Islam sedikit demi sedikit. Apatahlagi dua beranak itu ditawarkan pakej menunaikan Haji oleh Ustaz Amin. Malangnya sebelum berangkat berlaku satu kejadian yang tidak disangka-sangka. Kejadian itu menyebabkan hati Madna kecewa dan putus asa meneruskan hasrat menunaikan haji.
Apakah sebenarnya yang berlaku? Adakah Madna berubah fikiran setelah mendengar penjelasan Ustaz Amin penyebab ayahnya tidak pulang-pulang ke kampung setelah sampai di Mekah?
Turut membintangi telemovie ini ialah Melanie Tan, Ustaz Aizuddin Kamarul Zaman, Steve Yap, Norasli Bin Mon, Zam Shah Rizal, dan Amir Hanafi Pazir.
Saksikannya siaran bila-bila masa dan dimana sahaja menerusi portal online, RTM Klik (rtmklik.rtm.gov.my) dan rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.