Asam Garam Dunia Artis Dalam Telemovie Diva Divana Mengisi Slot Panggung Ahad di TV1
Slot Panggung Ahad di TV1 pada 15 April depan dimeriahkan dengan sebuah drama komedi yang berkongsi kisah asam garam dilalui seorang artis yang berbakat besar namun dia tenggelam dalam dunia kemasyuran ciptaannya sendiri lakonan berkesan Amyza Aznan sebagai watak utama dan dibantu oleh Roy Azman, Noryati Taib, Ira Saif, Afiq Muiz dan Ana Syuhada.
Drama bertajuk Diva Divana disiarkan jam 10.00 pagi ini mengisahkan artis terkenal bernama Divana yang sangat diva perangainya. Dia telah menukar nama sebenarnya Bedah binti Bedul kepada nama yang lebih komersil iaitu Divana. Divana sebenarnya adalah seorang pelakon berbakat besar yang telah berjaya menyandang 10 kali gelaran pelakon terbaik sepanjang 25 tahun dia berkecimpung dalam dunia lakonan. Kehebatannya dalam bidang lakonan sangat digeruni ramai sehingga tiada siapa boleh menandingi kehebatannya termasuklah seniwati Fauziah Ahmad Daud. Kehebatannya itu sedikit sebanyak telah menyebabkan dirinya menjadi seorang yang besar kepala dan ego.
kerjaya seni Divana diuruskan oleh ibunya, Mak Uda yang lebih dikenali sebagai Ratu Percik lakonan Noryati Taib. Dia seorang pengurus yang lebih sudu dari kuah dan kesempatan yang ada digunakan olehnya untuk menyekat mana-mana lelaki yang dirasakan tidak setaraf untuk mendekati Divana. Tindakannya itu membuatkan Divana masih membujang hingga usianya menjangkau awal 40-an kini.
Hakikatnya Divana seronok dihimpit seorang pelakon baru, Kamal yang dianggap sebagai ‘anak ikannya’. Begitu juga Kamal yang mahu menjadikan Divana sebagai batu loncatan untuk dia dikenali dalam bidang lakonan. Mereka sama-sama menggunakan kesempatan yang ada untuk menjadi perhatian pihak media. Dalam dia Kamal menaruh rasa cinta terhadap Divana namun segalanya disembunyikan.
Konflik bermula apabila tawaran berlakon untuk Divana mula semakin berkurangan. Watak heroin yang selalu ditawarkan kepadanya mula beralih kepada pelakon baru yang lebih muda dan jelita berbanding dirinya. Kalau sebelum ini Divana dan Dewi Percik boleh menggunakan pengaruh mereka dalam memujuk penerbit ataupun pengarah memilihnya untuk dijadikan heroin tapi sekarang keadaan semakin sukar. Dengan garis kedut yang mula kelihatan di wajah ‘usia sebenar’ Divana tidak mampu disorokkan lagi. Meskipun dengan bantuan teknologi canggih dunia kosmestik estetik masakini masih belum mampu mengembalikan ‘keremajaan’ Divana.
Ini membuatkan Divana semakin tertekan dan bertindak di luar kawalan. Mangsanya adalah ibunya, Kamal dan pembantu peribadinya iaitu Sonia. Dia lupa insan-insan tersebutlah yang banyak membantu dalam kerjayanya hingga dikenali ramai. Sehinggalah pada suatu hari, Kamal mula merasakan hubungannya dengan Divana tidak kemana dan dia mula memikirkan masa depannya. Divana mula panik bila mendapat tahu Kamal mahu meninggalkannya.
Dengan sisa pengaruh yang ada akhirnya seorang penerbit, Dato’ Roy sanggup menerima Kamal menjadi hero untuk filem terbarunya atas pujukan Divana. Namun Divana mengamuk besar bila dia hanya ditawarkan watak seorang ibu. Lalu apakah kesudahannya? Dapatkah Divana mengekalkan kepopularitiannya seperti dahulu? Saksikan kesudahannya dalam Diva Divana hanya di TV1.