Kematangan Ella Sofi yang dibawakan wataknya oleh pelakon Fouziah Gous dalam melayan kerenah suaminya, Long Seman (Usop Wilcha) yang sudah berusia dan pada masa sama berdepan ibunya, Timah Baba (Didie Alias) yang tamakkan harta kekayaan menantunya melatari drama menarik bertajuk “Bibir Merahnya” di TV2.
Menemui penonton pada 23 Januari ini, pukul 2.00 petang, telemovie terbitan Nur TV Production Sdn Bhd turut membariskan pelakon Jalil Hamid, Didie Alias, Pekin Ibrahim dan Nisha Dirr.
Telemovie Bibir Merahnya Kisah Orang Muda Berkahwin Dengan Lelaki Berusia Di TV2
Ia mengisahkan persiapan perkahwinan antara Ella Sofi dengan Long Seman telah pun diatur ibu Ella Sofi iaitu Timah Baba. Berita perkahwinan itu menimbulkan kemarahan dan rasa tidak puas hati Ucop, pemuda kampung yang meminati Ella. Begitu juga Wak Kirin, orang kaya di kampung itu yang turut menyukai Ella.
Majlis perkahwinan mereka berlangsung sederhana tetapi meriah. Ucop yang kecewa cuba menghasut Wak Kirin untuk memusnahkan rumahtangga mereka yang baru dibina itu. Wak Kirin yang tidak puas hati seringkali menyindir Long Seman yang beristeri muda. Sebenarnya mereka sama-sama bersaing dalam perniagaan dan mengumpulkan kemewahan masing-masing.
Ella menerima kehadiran Long Seman sebagai suaminya dengan niat yang ikhlas sebaliknya ibunya Timah Baba mahu anaknya itu membolot harta Long Seman yang melimpah ruah. Tiba masanya mereka pergi berbulan madu. Ketika itulah Ella diuji dengan sikap Long Seman yang sudah berusia. Dari segi makanan, pakaian, cara makan dan sebagainya semuanya menguji kesabaran Ella yang masih muda dan bergaya. Long Seman turut cemburukan kawan lelaki yang menegur Ella.
Sebaliknya Ella kekal dengan kematangannya melayan Long Seman. Ketika itu juga dia menawarkan diri menjadi akauntan syarikat Long Seman demi memastikan harta suaminya itu selamat dan tidak ditipu orang luar.
Pulang berbulan madu Ella terus-terusan dihasut Timah Baba membelikannya barang kemas yang banyak untuk ditunjukkan kepada orang kampung. Ella sebaliknya meminta ibunya bersabar dan mahu menyimpan duit diberikan suaminya untuk membelikan barang kemas ibunya.
Ella juga berjaya menyelamatkan Long Seman daripada ditipu broker tanah yang mahu membeli tanahnya dengan harga yang murah berbanding harga semasa tanah. Situasi itu menimbulkan kekaguman Long Seman dan dia semakin bertambah sayang terhadap isterinya.
Sementara itu Timah Baba sentiasa diganggu Wak Kirin yang masih tidak puas hati Timah Baba menolaknya sebagai menantu. Wak Kirin bekerjasama dengan Ucop untuk memusnahkan hubungan kekeluargaan mereka. Pelbagai cubaan dilakukan mereka.
Namun berjayakah Ella mempertahankan rumahtangga yang dibinanya apatahlagi bila bersuamikan lelaki yang lebih berusia dan layak dipanggil ayah? Saksikan kesudahannya hanya di TV2.