in , ,

Kisah Adik dan Kakak dalam Telemovie BATIN ARAM-ARAM

BATIN ARAM-ARAM mendengar tajuknya yang berbeza daripada telemovie yang lain, pastinya ada sesuatu yang ingin ditonjolkan dalam telemovie yang mengetengahkan gandingan pelakon berpengalaman Hushairi Hussain, Wan Nor Azlin, Azman Hassan dan Iskandar Zulkarnain ini.

Disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) mengisi slot Panggung Seri di TV1 pada 2 Mac ini, pukul 9.00 malam, kisahnya bertemakan kasih serta keprihatinan seorang adik terhadap kakaknya yang ditipu oleh suami sendiri untuk membolot hartanya.

Ikuti perjalanan watak wanita pertengahan usia bernama Baitini yang kembali setelah agak lama tidak pulang ke kampung. Kepulangannya semula untuk menguruskan perniagaan chalet dan kelong yang ditinggalkan arwah ayahnya. 

Kisah Adik dan Kakak

Telemovie BATIN ARAM-ARAM, Kisah Adik dan Kakak di TV1

Semasa Baitini merantau di Kuala Lumpur, chalet dan kelong diuruskan sepenuhnya oleh adiknya, Bahhar. Bahhar berusaha bersungguh-sungguh mengusahakan perniagaan keluarganya itu hingga adakalanya mengabaikan dirinya sendiri.

Ternyata Bahhar antara orang yang paling gembira menyambut kepulangan kakaknya itu. Namun di sebalik kegembiraan Bahhar dengan kepulangan kakaknya itu, dia tersentak dengan berita bahawa kakaknya telah berkahwin tanpa pengetahuannya. Bagi Bahhar tindakan kakaknya itu seolah-olah mengetepikannya sebagai adik. 

Pada masa sama Bahhar sebenarnya berasa curiga dengan gerak geri Asyar, apatah lagi suami kakaknya itu berusia jauh lebih muda berbanding kakaknya yang sudah agak berusia. Namun semua persoalan itu disembunyikaan daripada pengetahuan Baitini. Dia tidak mahu kakaknya itu salah faham dengannya.

Kisah Adik dan Kakak

Ketika itu Asyar yang dapat merasakan layanan dingin daripada adik iparnya, Bahhar telah mengupah rakan Bahhar iaitu Azman untuk membantu beliau melaksanakan misi merampas kekayaan isterinya. 

Tindakannya itu tidak disedari orang lain apatahlagi Baitini yang sememangnya ikhlas menyayangi suaminya itu. 

Kemuncak konflik bila Bahhar telah ditangkap dan ditikam oleh Azman. Ketika itu juga Asyar bertindak luar kawalan dengan memukul isterinya sehingga tidak terdaya. Asyar kemudiannya mengambil keputusan di luar jangka dengan membunuh Azman bagi memastikan rahsia beliau tersimpan rapi.

Lalu apakah kesudahannya? Dapatkah kedua-dua adik beradik ini menjalani kehidupan harmoni seperti saat masing-masing masih lagi kecil?

Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Toyota Vios Challenge Day 1 Stadium Batu Kawan Penang

6 Destinasi Ini Wajib Dikunjungi Oleh Penggemar Filem