in ,

Sinopsis Telemovie APIT DAN PENDEKAR LEGENDA

Setiap daripada kita pastinya ada pengalaman sewaktu dibangku sekolah. Tidak kiralah pengalaman pahit atau manis memori yang terpahat di ingatan setiap individu itu. Tambahan pula sekiranya ia berkaitan dengan pengalaman dibuli rakan sebaya. Impaknya akan dibawa sepanjang hayat.

Khas cuti sekolah yang baru bermula ini, Radio Televisyen Malaysia (RTM) cuba mengembalikan momen pelajar sekolah dengan tayangan telemovie bertajuk APIT DAN PENDEKAR LEGENDA mulai 26 November lalu, setiap Isnin hingga Khamis, pukul 3.00 petang di TV2. Menerusi drama bersiri 13 episod ini, ia menonjolkan suasana di sebuah sekolah yang melibatkan keadaan pergaulan dan aktiviti harian para pelajar dan guru-guru.

Secara lebih spesifiknya ia memfokuskan aktiviti sebilangan kecil para pelajar senior yang suka menunjukkan kuasa. Sekiranya ada di kalangan para pelajar junior yang ingkar maka berlakulah kejadian buli. 

babak dalam Apit dan Pendekar Legenda di TV2

Pelajar Mangsa Buli Dalam Drama Bersiri APIT DAN PENDEKAR LEGENDA di TV2 

Kesannya adalah kepada mangsa yang dibuli kerana ia melibatkan maruah diri. Mereka berusaha membalas dendam. Selain daripada itu drama bersiri ini juga memaparkan hubungan kekeluargaan di antara ibu bapa dengan anak-anak.

Menampilkan pelakon Azzarima, Joey Daud, Eddy Sharizan, Taufiq Hanafi, Haziq Harith, Mustaqim Bahadon dan Mimi Ernida, siri menarik ini diterbitkan oleh KRU Studios.

Ia mengisahkan watak kanak-kanak bernama Apit yang dibuli teman sekolahnya. Sejak itu dia mula membayangkan dia berusaha mempertahankan dirinya dengan bantuan pendekar legenda. Tiba-tiba muncul dua orang lelaki mengaku diri mereka Tuah dan Jebat, pahlawan Melaka terulung. Apit meraguinya namun mereka berdua telah membantunya ketika Faris datang mengganggunya. Apit telah membawa Tuah dan Jebat pulang ke rumahnya. Tuah dan Jebat memerhatikan seorang wanita cantik yang baru berpindah dan menjadi jiran keluarga Apit. Ibu Apit pengsan ketika pulang dari kerja apabila melihat dua orang lelaki berada di rumahnya.

ApitDanPendekarLegenda

Apabila sedar dari pengsan ibunya memberitahu Apit mengenai dua orang lelaki asing di rumahnya tetapi Apit menafikannya. Apit menyembunyikan Tuah dan Jebat daripada pengetahuan ibunya. Tuah dan Jebat membantu jiran baru Apit seorang wanita muda mengangkat barang-barang pindah rumah tanpa menyedari wanita tersebut sebenarnya adalah Gusti Parayat musuh Tuah dan Jebat yang menyamar. 

Satu hari Tuah dan Jebat telah menyelamatkan mangsa ragut dan kejadian tersebut telah dirakam dan mendapat siaran di kaca TV dan ditonton ibu Apit. Apit merancang membawa Tuah dan Jebat ke Melaka.

Ibu Apit terpandang Tuah dan Jebat yang sedang begelut dengan seorang peragut di TV. Apit cuba mengalih perhatian ibunya dengan perkara yang lain. Di sekolah Apit bercadang akan memasuki pertandingan bercerita namun dia merasa kurang yakin kerana telah gagal sebelumnya. Di rumah, Tuah dan Jebat membantu mengemaskan rumah. Jiran sebelah pula menghantar makanan. Jebat memakan makanan tersebut walau pun Tuah menegahnya. Rakan-rakan Apit bersetuju menubuhkan persatuan anti-Faris kerana mereka sering dibuli membuat kerja rumah dan mencuci pakaiannya. Apit diajar ilmu persilatan dan secara tiba-tiba Jebat menggelupur dan jatuh pengsan.

Tuah merawat Jebat yang pengsan. Dengan menggunakan ilmunya Jebat berjaya dipulihkan apabila seketul batu dapat dikeluarkan dari mulut Jebat. Tuah cuba memusnahkan batu tersebut tetapi ia telah mengeluarkan cahaya yang terang benderang dan menampakkan Gusti Parayat yang sedang bertarung dan telah berjaya menewaskan Kasturi, Lekir dan Lekiu. Tuah berang dan berjanji akan menuntut bela. Batu tersebut akhirnya dibuang di sebuah sungai. 

Ibu Apit balik dari kerja dan melihat keadaan rumah mereka yang bersepah dan tidak terurus. Apit masih menyimpan rahsia kehadiran Tuah dan Jebat di rumah mereka. Ibu Apit merujuk kepadanya mengenai hasrat Pak Cik Johan yang ingin meminangnya. Apit belum bersedia menerima bapa tiri. Apit cuba membantu Tuah dan Jebat mencari keris Taming Sari di Muzium Negara.

Ibunya membawa Apit berkelah bersama Pak Cik Johan sebagai usaha memujuk Apit menerima lelaki itu sebagai bapa tirinya. Pak Cik Johan pula menghadiahkan sebuah buku komik sebagai umpan untuk merapatkan dirinya dengan Apit. Sementara Tuah dan Jebat berterusan berlatih bersilat sehingga beliau dijemput bertanding dengan jaguh peninju Muay Thai dan Jebat berjaya mengalahkan lawannya. Seekor lembaga suruhan Gusti Parayat telah datang ke rumah Apit ketika mereka tiada di rumah dan merosakkan pakaian Tuah dan Jebat. Jiran Apit telah menawarkan diri membawa mereka ke Muzium Negara mencari keris Taming Sari.

Riyat jiran Apit telah membawa Tuah, Jebat dan Apit ke Muzium Negara. Tuah merasa hairan kerana gambaran rupanya berbeza dengan Tuah yang ada di sana. Beliau dibawa melihat keris Taming Sari tetapi Tuah terkilan kerana keris yang dipamerkan hanyalah sebuah replika. Setibanya di rumah Apit dileteri ibunya kerana keluar rumah tanpa izin. Ibunya risau akan keselamatan Apit. Riyat membawa Tuah dan Jebat bermalam di rumahnya. Mereka dilarang memasuki sebuah bilik kerana sebab-sebab tertentu.

Di sekolah Faris cuba mengganggu Apit tapi tidak berjaya apabila Apit melawan. Apit membawa Tuah dan Jebat bersembunyi di sebuah dusun. Tuah merasa tenang dan kuasanya kian bertambah dan beliau mendapat petunjuk bahawa keris Taming Sari berada di kawasan dusun tersebut. Gusti Parayat juga sedang berusaha memliki Taming Sari untuk menambah ilmunya. Tanpa sedar beliau turut menggunakan Tuah dan Jebat. Begitu pun apakah kesudahannya? 

Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Altimet Bersara, Adakah Zamani Bakal Ganti Altimet di AJL 33?

Kompilasi Top 9 Terbaik Persembahan Zamani di GEGAR VAGANZA 5