Jodoh pilihan sendiri atau pilihan keluarga? Isu ini tak pernah reda dari dipersoalkan. Ada yang setuju dan ada juga yang membantah dengan keras. Namun hakikatnya ada pro dan kontranya mengenai isu ini. Redha ibu bapa amat penting kerana ia membekalkan kita keyakinan untuk melangkah ke alam perkahwinan. Dan untuk mendapat redha ibu bapa, kita perlu menjaga hati mereka.
Khas meraikan sambutan Hari Ibu yang disambut 10 Mei ini, Radio Televisyen Malaysia (RTM) menyiarkan telemovie menarik bertajuk “3 Hati Ibu” khas untuk tontonan seisi keluarga. Ia mengangkat kisah antara ibu dan anak saling berkorban ego masing-masing asalkan tidak menyakitkan hati sesama mereka. Nyata sikap ini sewajarnya dicontohi masyarakat kita dalam menghindari gejala negatif yang realitinya berlaku dalam masyarakat kita.
Jodoh Pilihan Ibu Dalam Telemovie “3 Hati Ibu” pada 9 Mei ini di TV1
Menampilkan pelakon Azlee Khairi, Zara Zya, Ku Faridah, Fadilah Mansur, Maimunah Ahmad, Keena Mentor, Ridzuan Hashim, Noralbaniah dan Buzen Hashim, ia disiarkan pada 9 Mei ini, pukul 3.05 petang menerusi saluran TV1.
Ikuti plot kisahnya berlatarkan watak wanita separuh abad, Hajah Wan Tom mahu menjodohkan Razman, anaknya dengan Atiqah, di masa yang sama Razman sudah ada pilihan hatinya iaitu Zaidah.
Hubungan Razman dengan Zaidah direstui ibu Zaidah, Datin Fatihah yang sedang di rawat kerana kanser payu dara. Datin Fatihah mahu mereka disatukan sementara dia masih ada. Di masa yang sama hanya Zaidah sahaja dalam keluarga yang tahu ayahnya Datuk Helmi telah lebih setahun berkahwin satu lagi dengan Zulaika iaitu sejak Datin Fatihah sakit.
Razman membawa Zaidah, gadis bandar yang moden ke kampungnya untuk menambat hati ibunya. Melalui Atiqah, Zaidah belajar menjadi wanita solehah, sesuatu yang jarang dilakukan sebelum ini.
Hajah Wan Tom mula tertarik dengan Zaidah dan mula mengetepikan Atiqah. Mat Tam, ibu Atiqah mula melarang Atiqah ke rumah Hajah Wan Tom setelah tidak tahan dengan cakap orang kampung yang menuduh dia mahu ‘menjual anak’. Malah Atiqah sendiri sedar dia bukan lagi calon menantu yang disukai oleh Hajah Wan Tom.
Akhirnya, Atiqah tidak lagi ke rumah Hajah Wan Tom. Kerana tidak mahu di tuduh perigi mencari timba, Atiqah ditunangkan dengan Salleh dan Zaidah menerima berita ibunya meninggal kerana menderita penyakit barah payu dara.
Di hadapan Hajah Wan Som, Zaidah menolak Razman sebagai calon suaminya kerana tidak dapat menunaikan hajat ibunya mahu dia bersanding sebelum menghembus nafas terakhir. Razman terkejut dan menuduh Zaidah mempermainkan cintanya. Zaidah juga tuduh Razman mengkhianati cinta Atiqah sedangkan mereka sudah berjanji untuk bersama.
Hajah Wan Som menyesal kerana terlalu memilih calon menantu. Tetapi Zaidah berterima kasih kerana Hajah Wan Som dan cintanya yang sementara pada Razman telah menukar dirinya menjadi seorang wanita solehah. Malah dia amat berterima kasih kepada Atiqah.
Zaidah telah menemui Salleh, seorang ahli perniagaan, tunang Atiqah dan mahu dia tinggalkan Atiqah. Dia akan bayar berapa sahaja yang Salleh mahu. Salleh setuju tetapi dengan satu syarat. Dia sanggup lepaskan Atiqah tetapi Zaidah mesti berkahwin dengannya.
Luangkan masa menyaksikan telemovie khas meraikan golongan ibu ini hanya di TV1.