in

Telemovie 1Malaysia di Hari Raya Pertama TV2

DUA TELEMOVIE BERKONSEPKAN 1MALAYSIA TAYANGAN HARI RAYA PERTAMA DI TV2

Hari pertama sambutan Aidilfitri biasanya dilengkapi dengan amalan ziarah kunjung-mengunjung. Begitu pun pabila menjelangnya tengah hari ramai yang meluangkan masa mahu bersantai di rumah sahaja menonton program-program menarik yang disiarkan menerusi stesen televisyen.

Justeru Radio Televisyen Malaysia (RTM) memenuhi citarasa penonton setia salurannya dengan menyiarkan dua telemovie yang bertemakan sambutan perayaan Aidilfitri yang berkonsepkan 1Malaysia pada 10 September 2010 bertajuk Sandaran Kasih, jam 12.30 tengah hari dan Selamat Hari Raya Bapak, jam 6.00 petang yang kedua-duanya disiarkan menerusi TV2.

Sandaran Kasih lakonan Dian P.Ramlee, Zulkifli Zain, Syed Nabil A.W, Maimon Mutalib, Pekin Ibrahim, Raja IIIya Begum dan Saratha Sivalingam ini mengisahkan watak Mala atau Veeramala seorang pensyarah telah memeluk Islam sejak 2 tahun lalu, tanpa disedari oleh ayahnya, Supramaniam seorang ahli perniagaan yang dominan dalam keluarganya. Hanya ibunya Jayanthi yang mengetahui hal itu. Mala juga telah merancang untuk berkahwin dengan Dr Karim Kutty yang dikenalinya sejak kampus lagi.

Mala juga mempunyai seorang sahabat baik, Kamala Devi yang juga memeluk Islam dan dikenali sebagai Noor Atma yang berkahwin dengan Farid seorang Arkitek. Pengalaman yang dilalui Noor Atma yang dibenci mertuanya menjadi panduan kepada Mala dan Karim malah menguatkan lagi keazaman mereka untuk meneruskan hasrat mendirikan rumahtangga.

Keadaan menjadi tegang, segala-galanya bukan rahsia lagi, apabila Supramaniam menerima cadangan sahabat lamanya, Thelo menjodohkan Mala dengan anak Thelo, Selvarajoo.

Supramaniam tidak boleh menerima segala hakikat dan mengusir Mala dari rumahnya. Malah bagi Supramaniam, Mala bukan lagi anaknya. Thelo yang merasa terhina dan tertipu oleh Supramaniam ingin mengambil tindakan undang-undang demi marwahnya yang tercalar.

Supramaniam mengalami tekanan perasaan hingga menyebabkan dia jatuh tangga dan mengalami kecederaan teruk dan berkait pula dengan sakit jantung yang dialaminya selama ini. Ketika itulah dia telah diselamatkan oleh Dr Karim Kutty, menantu sendiri.

Menyusul kemudiannya pada hari sama drama menarik Selamat Hari Raya Bapak pada 10 September 2010, jam 6.00 petang yang membariskan lakonan Jeffry Omar, Shree Kalirajan, Coolan Khoo, Yusry Edoo, Mohd Danial, Shazwan Nizam dan Kay Maia.

Jaafar, Raj dan Khoo yang bekerja di rumah seorang Dato’ sebagai tukang masak, tukang kebun dan pemandu dibesarkan dirumah anak yatim. Pada suatu hari, Jaafar mendapat surat dari Cikgu Kamariah yang menajdi penjaganya di rumah anak yatim, memeberitahu bahawa Jaafar masih mempunyai seorang bapa yang ingin berjumpa dengannya di hari raya. Dalam surat itu juga terdapat alamat bapanya.

Mereka bertiga cuba menempah tiket bas untuk pulang ke Taiping, malangnya tiket sudah habis. Mereka berjumpa dengan ulat tiket untuk mendapatkan kenderaan ke Taiping. Namun, ulat tiket hanya mampu menyediakan lori kecil untuk mereka pulang ke Taiping.

Di situ juga, mereka berjumpa dengan Basker, Budak Skema dan Puppetnya. Ke semua mereka meneruskan perjalanan ke Taiping untuk mencari bapa Jaafar. Sampai di Taiping, mereka berpecah untuk mencari rumah bapa jaafar. Di situ timbullah beberapa insiden yang melucukan.

Mereka berjumpa dengan Pak Akob yang menjual di bazaar Ramadhan menunjukkan rumah bapa Jaafar, tapi malangnya mereka tersalah rumah. Adakah Jaafar menjaya menemui bapanya?

Pastikan anda meluangkan masa pada Hari Raya Pertama ini menyaksikan Sandaran Kasih, jam 12.30 tengah hari dan Selamat Hari Raya Bapak, jam 6.00 petang hanya di TV2.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Makanan Haram di Rumah Terbuka

Raya Pertama: Sifu & Tongga dan Jangan Pandang Belakang Congkak