realme secara rasminya telah mengumumkan telefon pintar peringkat pemulanya di pasaran India, realme C67. Ia mengetengahkan rekaan nipis yang bersinar bersama-sama penarafan kerintangan air dan debu IP54 serta ciri seakan Dynamic Island yang dikenali sebagai Mini Capsule.
Telefon pintar baharu daripada realme ini juga menampilkan paparan LCD 6.72-inci dengan tahap kecerahan puncak 680 nits dan kadar penyegaran semula 120Hz. Dari segi perisiannya, telefon pintar ini hadir dengan ciri Mini Capsule 2.0 yang memaparkan notifikasi berbanding sebelum ini yang hanya menunjukkan animasi pengecasan.
Di dalamnya, ia menggunakan pemprosesan Dimensity 6100 Plus bersama-sama RAM 6GB dan storan 128GB. Ia juga mempunyai slot kad mikroSD untuk perluasan storannya.
Untuk kameranya, telefon pintar ini hanya menyediakan satu kamera 50MP bersama-sama satu sensor berkedalaman di sebelahnya. Manakala di bahagian hadapannya pula disediakan satu kamera 8MP. Telefon pintar ini juga didatangkan dengan bateri berkapasiti 5,000mAh dengan sokongan pengecasan pantas 33W. Dari segi ketersambungannya pula, telefon pintar ini menyokong 5G, Wi-Fi 5 dan Bluetooh 5.0.
Realme C67 didatangkan dengan pilihan warna Sunny Oasis dan Dark Purple dengan harga jualannya INR13,999 (~RM785). Setakat ini masih belum diketahui bilakah telefon pintar ini akan hadir ke pasaran Malaysia.