in

Telefilem Surirumah 7 Hari & Baju Kebaya Terakhir Bapak

SKRIN DI 9 BERSINAR JANUARI INI
Telefilem Terbaik Setiap Hari Rabu

Dalam mengorak langkah ke tahun 2012, TV9 turut menghidangkan pelbagai telefilem yang pasti akan memberi impak kepada sesiapa sahaja yang menghayatinya. Pada bulan Januari ini, dua telefilem terbaru akan ditayangkan menerusi slot Skrin Di 9 pada setiap hari Rabu jam 8.30 malam iaitu Surirumah 7 Hari dan Baju Kebaya Terakhir Bapak. Lihat tajuknya sahaja sudah cukup untuk menonjolkan betapa unik dan hebat jalan ceritanya. Telefilem-telefilem ini memang cukup dalam memenuhi cita-rasa penonton ditambah pula dengan lakonan mantap pelakon-pelakon yang terlibat. Bukan itu sahaja, malah pelbagai mesej positif turut diterapkan di dalam setiap telefilem Skrin Di 9 supaya para penonton dapat mengaut seberapa banyak iktibar dan pengajaran.

Berikut adalah sinopsis untuk kedua-dua telefilem tersebut:

Surirumah 7 Hari
18 Januari, 8.30 malam

Yatt Hamzah, Maimun Talib, Adik Maisarah dan Fahrin Ahmad akan membintangi telefilem ini yang mengisahkan tentang lingkaran hidup seorang anak dara bernama Hayati yang memiliki perwatakan lelaki. Suatu hari ketika Yati leka menaip mesej sambil memandu, dia telah terlanggar seorang kurang upaya yang sedang melintas. Yati cedera di tangan sementara orang kurang upaya itu patah di kaki.

Selepas kejadian itu, Yati dibuang kerja dan lebih malang apabila lesennya pula telah digantung kerana didapati bersalah. Yati mula runsing bagaimana mahu membayar ansuran kereta kesayangannya itu jika dia tidak bekerja. Dalam masa yang sama, Syed Aman datang menemui ibu Yati, Mak Tijah. Aman adalah seorang duda beranak tiga yang telah kematian isteri dan dia amat rapat dengan Mak Tijah kerana ibunya berkawan lama dengan Mak Tijah. Hajat Aman ke rumah Mak Tijah adalah untuk meminta tolong Mak Tijah tinggal di rumahnya selama seminggu untuk menjaga anak-anaknya kerana pembantu rumahnya pulang ke kampung. Aman pula ketika itu terpaksa ke Turki selama seminggu atas urusan perniagaan.

Aman merayu kepada Mak Tijah malah meletakkan bayaran sebanyak RM3,000 untuk seminggu itu. Yati mula memikirkan untuk menerima tawaran itu memandangkan Mak Tijah memang tidak mahu kerana kesiankan Pak Hassan yang tidak sihat. Yati memang memerlukan duit itu untuk membayar duit keretanya. Selama tujuh hari, Yati terpaksa menjaga anak-anak Aman, Danisha, Damia dan Daniel yang bermacam kerenah. Dapatkah dia menghadapi suasana kelam kabut sebagai seorang suri rumah ekspres dan mungkinkah ini dapat mengubah sikapnya untuk menjadi lebih keperempuanan?

Baju Kebaya Terakhir Bapak
25 Januari, 8.30 malam
Telefilem sedih ini mengisahkan dilema yang dihadapi oleh seorang duda bernama Samsudin yang merupakan seorang tukang jahit pakaian wanita yang terkenal di kampungnya. Dia mempunyai dua orang anak perempuan iaitu Salmah dan Latifah. Semenjak anak-anaknya Salmah dan Latifah sudah berjawatan, mereka kian meminggirkan Samsudin di kampung dengan alasan sudah mulai hidup baru di Kuala Lumpur. Mereka malu dengan cara hidup orang kampung dan nekad hendak mengikis segala ”kekampungan” yang ada pada diri mereka.

Salmah telah menjadi seorang CEO berjaya di firma guaman manakala Latifah pula seorang GRO. Latifah membenci Samsudin kerana selalu memuji Salmah pandai hingga menyebabkan dia lari ke Kuala Lumpur dan menipu kononnya sudah bekerja tinggi. Suatu hari, Samsudin kemalangan dilanggar oleh seorang penunggang motosikal iaitu Anoi. Disebabkan Samsudin seorang yang lembut, Anoi membuat fitnah kepada Salmah bahawa Samsudin menyimpan lelaki kaya dan ada hubungan sulit dengan lelaki. Salmah pulang ke kampung dan memarahi ayahnya. Orang kampung juga turut membenci, memukul dan mengurung Samsudin di sebuah pondok. Samsudin menderita akibat fitnah dan tidak diselamatkan walaupun oleh anak-anak kandungnya sendiri. Lakonan hebat oleh Dato Rahim Razali, Eira Syazira, Zarina Zainoordin, Zaibo, Shahz Jazle, Azlee Khairi, Liza Abdullah dan Aizad Jasmin.

Hari Rabu anda lebih segar dan bermakna dengan susunan telefilem di Skrin Di 9 jam 8.30 malam. Selamat menonton kepada semua!

Fahrin Ahmad

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

U’r Very Own Dragon Year Prosperity

Kimora Life In The Fab Lane Musim ke-4