Slot Tribute P.Ramlee : Pelamin Di Pusara Arahan Murali Abdullah di TV1
[dropcap]D[/dropcap]iaspirasikan daripada lagu Uda dan Dara, slot Tribute P.Ramlee mengetengahkan pula telefilem bertajuk “Pelamin Di Pusara” karya pengarah Murali Abdullah yang menemui penonton pada 13 Januari 2013, jam 9.00 malam di TV1.
Barisan pelakon yang menjadi pilihan Murali untuk “Pelamin Di Pusara” ialah Shahrizal Jaszle, Raja Farah, Diana Johor, Nanu Baharuddin, Khairil Anwar dan Rashidah Jaafar. Ia mengisahkan konflik cinta yang dihadapi oleh Zamarul dan Maisara dalam mempertahankan kesucian cinta mereka dan akhirnya kedua-dua mereka mati bersama dalam satu kemalangan jalan raya yang dirancang oleh tunangan Zamarul, Suraya.
Sebelum Suraya melanjutkan pelajaran ke luar negara, kedua ibu bapa Zamarul iaitu Ghazlan dan Zarina telah memaksa Zamarul bertunang dengan Suraya. Walaupun Zamarul tidak bersetuju dengan pertunangan tersebut, namun dia terpaksa mengalah demi menjaga hubungan baik keluarganya dengan ayah Suraya, Ismail yang merupakan rakan kongsi perniagaan hartanah ayahnya.
[pullquote align=”right”]Jangan lupa tonton Drama Pelamin Di Pusara lakonan Shahrizal Jaszle, Raja Farah, Diana Johor, Nanu Baharuddin pada 13 Januari 2013, jam 9.00 malam di TV1.[/pullquote]
Sebagai seorang yang suka bersosial, kehidupan Suraya di luar negara tersasar dari landasan kehidupan yang sebenarnya. Sementelahan pula kehidupan keluarga Suraya di Kuala Lumpur juga agak bebas dan moden, mirip gaya hidup orang barat.
Salah seorang teman Zamarul yang turut belajar di universiti sama dengan Suraya apabila pulang ke Malaysia telah menceritakan tentang gaya hidup Suraya di sana. Ini menyebabkan Zamarul semakin sukar untuk menerima Suraya, bagaimanapun Ghazlan dan Zarina yang mengamalkan gaya hidup barat menganggap semua itu adalah perkara biasa.
Kecewa dengan sikap Suraya yang tidak mahu berubah, Zamarul mencari ketenangan di masjid, lalu berkenalan dengan Maisara dan akhirnya mereka saling menyintai. Bagaimanapun apabila Ghazlan terserempak dengan mereka, Ghazlan memaksa Maisara meninggalkan Zamarul.
Dalam waktu yang sama, Suraya yang pulang bercuti mendesak dia dan Zamarul dinikahkan segera. Zamarul menolak dan ini menimbulkan kekecohan antara keluarga mereka sehingga memaksa Zamarul memberitahu apa sebenarnya yang berlaku pada Suraya. Ghazlan dan Zarina ahirnya akur setelah melihat gambar separuh bogel Suraya bersama beberapa orang lelaki di luar negara.
Suraya yang sebenarnya telah mengandung dan ingin menjadikan Zamarul sebagai pak sanggup, akhirnya nekad melanggar Maisara. Bagaimanapun ketika dia hendak melaksanakan rancangannya, Zamarul cuba menyelamatkan kekasihnya itu. Berjayakah niat jahat Suraya terlaksana?