Tidak dinafikan kebanyakan daripada kita beranggapan kehidupan sebagai mualaf tidak mempunyai banyak halangan mahu pun cabaran. Namun hakikatnya menjalani kehidupan sebagai seorang mualaf menuntut seseorang itu kekuatan fizikal dan mental yang luar biasa. Kehidupan yang dilalui mualaf dipenuhi liku-liku yang menghalang.
Mualaf antara golongan yang sangat bertuah kerana berjaya memperoleh hidayah Allah. Mereka dijanjikan balasan syurga dan diibaratkan seperti bayi yang baru dilahirkan ke dunia setelah memeluk agama Allah yang syumul.
Dugaan Seorang Mualaf Dalam Telefilem KABUT Khas Maal Hijrah Di TV2
Khas sambutan Maal Hijrah ini, Radio Televisyen Malaysia (RTM) menyiarkan telefilem menyorot kisah dugaan seorang mualaf bertajuk “Kabut” diterbitkan pengarah Hisyamudin Ahmar, Unit Drama TV RTM yang menemui penonton pada 22 September ini, pukul 2.00 petang menerusi saluran TV2.
Telefilem khas ini mengangkat kisah seorang pemuda yang berminat untuk mendalami ilmu agama Islam seawal usia tujuh tahun dan dia berjuang dengan sesungguhnya untuk meyakinkan ayahnya tentang kepercayaannya itu bagi menjadi muslim sebenar.
Menampilkan barisan pelakon yang hebat seperti Hasnul Rahmat, membawakan watak Sheikh Rahim, telefilem ini dibintangi Azhar Zainal yang memegang watak utama sebagai Ah Fook, dan Tan Ting sebagai Kui Lan, bapa Ah Fook.
Menerusi karakter Ah Fook, ditonjolkan semangat dan kegigihan anak muda ini selain elemen nilai kekeluargaan dengan konflik antara bapa dan anak turut diselitkan dalam plot kisah menarik ini.
Kisahnya berlegar tentang Ah Fook yang dibesarkan oleh bapanya Kui Lan, dalam suasana kehidupan serba sederhana. Namun segalanya berubah setelah berlakunya kejadian kebakaran yang menimpa dirinya sewaktu berusia tujuh tahun. Sesuatu di luar jangkaan berlaku bila Al-Quran yang dijumpainya di tempat kebakaran tidak terbakar dan masih elok. Situasi itu menyebabkan Ah Fook tergerak hati untuk mendalami agama Islam.
Minatnya dari kecil hingga besar mendengar tazkirah dari Sheikh Rahim di Madrasah Ar-Rahman membawa perubahan besar dalam hidupnya apabila dia dengan rela hati ingin memeluk Islam. Tetapi dia merahsiakan perkara tersebut daripada pengetahuan bapanya. Bimbang keputusannya itu akan membuatkan bapanya mengamuk besar dan menentang kuat keinginannya menukar agama.
Konflik mula tercetus apabila bapanya tidak merestui Ah Fook memeluk Islam seterusnya merungkaikan asal usul Ah Fook yang sebenarnya hanya anak angkat. Ah Fook berasa kecewa dan meneruskan kehidupannya di Madrasah.
Berbekalkan kesetiaan dan kegigihannya, akhirnya Ah Fook cuba merealisasikan impian bapanya untuk melanjutkan pelajaran. Bapanya turut akur bahawa Ah Fook memang dilahirkan sebagai seorang muslim dan tetap akan kekal sebagai muslim.
Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.