Kehilangan seorang kanak-kanak memang sesuatu yang sangat membimbangkan dan sering menjadi perhatian ramai pihak. Kebanyakan kes sebegini biasanya berjaya diselesaikan oleh pihak berkuasa dengan bantuan teknologi moden. Namun begitu, masih ada sebahagian kes yang terus kekal menjadi misteri dan meninggalkan pelbagai persoalan di benak masyarakat.
Berbekalkan keinginan untuk menggali lebih dalam misteri ini, syarikat produksi terkenal Odissi Creative Sdn. Bhd. muncul dengan filem terbaharu berjudul Telaga Suriram yang menjanjikan gabungan elemen seram, mistik, dan tradisi tempatan dalam satu naskhah penuh dramatik.
Osman Ali, Pengarah Hebat Dengan Sentuhan Berbeza
Pengarah filem terkenal Osman Ali berkata, idea asal filem Telaga Suriram tercetus dari satu kisah sebenar tentang seorang kanak-kanak yang pernah meninggal dunia selepas terjatuh ke dalam sebuah telaga lama di kampung. Kisah tersebut kemudian dikembangkan lagi dengan menyelitkan mitos lama masyarakat tentang telaga berhantu yang kononnya mengambil nyawa manusia sebagai korban.
“Terdapat cerita atau mitos rakyat dahulu yang mengaitkan tentang kepercayaan telaga-telaga lama yang dipercayai berhantu dan mengambil nyawa manusia.
– Osman Ali
Jadi, kami rasa adalah sangat menarik untuk menghasilkan sebuah naskhah yang menggabungkan elemen mistik yang penuh dramatik dengan kepercayaan lama yang diwarisi turun-temurun,
Pelakon Hebat, Cerita Yang Kukuh
Filem ini menampilkan barisan pelakon terkenal yang bukan asing lagi dalam industri hiburan tanah air seperti Maya Karin, Scha Alyahya, Farid Kamil, Ellie Suriaty, serta pelakon cilik berbakat Puteri Rafasya. Pemilihan pelakon-pelakon ini bukan sahaja memberi impak besar kepada jalan cerita, malah menambahkan lagi tarikan terhadap filem ini.
Mengulas mengenai keunikan filem ini berbanding filem seram lain, Osman Ali berkata, “Telaga Suriram bukan sekadar filem seram biasa yang hanya bergantung kepada elemen kejutan atau hantu sahaja. Saya ingin membawakan pendekatan kepada sikap segelintir masyarakat sekeliling yang masih lagi dibelenggu dan terikut-ikut dengan kepercayaan mitos yang menjadi sebahagian daripada budaya kita.”
Cabaran Di Sebalik Tabir Pembikinan
Menurut Osman, proses penggambaran filem ini bukanlah sesuatu yang mudah. Penggambaran dilakukan selama 45 haridi lokasi kampung tradisional di Perlis, Kedah dan Perak bagi mendapatkan suasana yang lebih autentik. Tambah menarik, setiap lokasi penggambaran mempunyai cerita mistik yang tersendiri.
“Lokasi yang kami pilih semuanya mempunyai kisah mistik tersendiri, jadi memang ada kejadian-kejadian seram yang berlaku seperti suara misteri. Selain itu, ada kru yang rasa diperhatikan dan ternampak kelibat pelik. Namun, kami anggap itu semua sebahagian daripada cabaran kerja,” kongsi Osman mengenai pengalaman kru sepanjang penggambaran.
Penerbit Optimis Dengan Sambutan Filem
Yus Yusop, selaku penerbit filem ini, turut berkongsi sebab utama beliau menghasilkan filem Telaga Suriram. Menurutnya, beliau sangat meminati cerita-cerita rakyat yang kaya dengan sejarah dan mistik, yang sesuai untuk diketengahkan ke layar perak.
“Filem ini dihasilkan pada tahun 2022 dan menjalani proses yang sangat teliti dari peringkat skrip hingga pasca produksi. Itu yang menyebabkan masa selama tiga tahun terpaksa diambil untuk siap secara keseluruhannya. Namun begitu, saya percaya penantian untuk ia ditayangkan di layar perak sangat berbaloi dengan hasil yang cukup membanggakan,” jelas Yus optimis.
Beliau juga berharap agar filem ini bukan sahaja mendapat sambutan baik daripada peminat filem seram, malah mampu menarik perhatian mereka yang menghargai seni dan budaya masyarakat tempatan.
Sinopsis Filem Telaga Suriram
Telaga Suriram mengisahkan tentang misteri kehilangan seorang kanak-kanak bernama Suriram di sebuah kampung terpencil. Pelbagai cerita mistik dan mitos mula menjadi bualan hangat, termasuk kisah tentang korban saka dan gangguan makhluk halus. Ibu bapa Suriram, Rohaya (Maya Karin) dan Sopiyan (Fauzi Baadilla) tidak putus asa mencari anak mereka yang hilang.
Dalam usaha mencari keadilan untuk Suriram, seorang bakal pemimpin muda bernama Zakir (Farid Kamil) berganding bahu dengan Pegawai Penyiasat Karmila (Scha Alyahya). Maimon (Nabila Huda), gadis bisu yang menjaga Suriram, pula menjadi suspek utama dalam kehilangan misteri ini.
Apa Kata Budiey?
Budiey percaya filem Telaga Suriram bukan sahaja bakal menjadi fenomena di pawagam Malaysia, tetapi juga mampu membuka mata masyarakat tentang kepentingan memahami mitos dan kepercayaan lama dengan cara yang lebih matang dan kritis. Idea mengangkat kisah rakyat ke layar perak memang satu pendekatan bijak untuk memastikan khazanah budaya kita terus hidup dalam bentuk seni moden. Diharap filem ini mendapat sambutan luar biasa dan memberi kesan positif kepada penonton.
Telaga Suriram akan mula menemui penonton di pawagam seluruh Malaysia mulai 1 Mei 2025.