Sejak kebelakangan ini, ramai peminat yang sudah pun berteka-teki mengenai penyanyi nombor satu negara iaitu Dato’ Sri Siti Nurhaliza yang dikatakan sedang hamil anak kedua. Khabar angin ini menjadi tular selepas beberapa gambar beliau yang menampakkan baby bump menjadi perbualan hangat peminat di media sosial.
Kandungan Sudah Masuk 4 Bulan
Setelah sekian lama berteka-teki mengenai kehamilan kedua, akhirnya sebentar tadi, pada jam 2.30 petang, Siti Nurhaliza atau mesra disapa Tok Ti, telah pun mengumumkan bahawa beliau hamil empat bulan.
Siti Nurhaliza mendedahkan berita gembira itu ketika sidang media dan pelancaran BeauSiti X Wonderlab menerusi aplikasi Zoom sebentar tadi.
Wah! Nampaknya Siti Aafiyah akan jadi kakak dan dapat adik la ye.
Tiada Niat Rahsiakan Kehamilan
Dalam pada itu, beliau turut mengakui tiada niat untuk merahsiakan kandungannya. Tok Ti dan suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa hanya memikirkan waktu yang sesuai untuk memberitahu khabar gembira ini.
“Memang benar saya berdiam diri walaupun sudah ramai yang meneka dan membuat spekulasi. Ini kerana keadaan tidak mengizinkan, jadi saya dan suami sepakat untuk ambil masa sedikit,”
– Siti Nurhaliza
Siti dan Datuk K turut melahirkan rasa kesyukuran dengan berita tersebut.
“Pertama sekali saya amat bersyukur dan gembira sekali kerana insya-Allah kami akan dikurniakan seorang lagi cahaya mata tidak lama lagi,”
“Alhamdulillah, ramai yang mendoakan dan saya amat gembira dan bersyukur. Doakan kehamilan saya ini selamat sampai saya bersalin dan Insya-Allah dapat lahirkan zuriat yang sihat,”
– Siti Nurhaliza
Siti Nurhaliza sebelum ini dikurniakan anak pertama, Siti Aafiyah yang kini berusia dua tahun.
Diberi kesempatan hamil anak kedua, penyanyi terkenal itu berkata, beliau terbuka untuk menerima kehadiran bayi lelaki atau perempuan.
Terima kasih Kerana Mendoakan
Pelantun lagu Anta Permana ini turut mengucapkan terima kasih atas segala doa yang diberikan dan mengakui sangat bersyukur kerana dapat hamil sekali lagi selepas melahirkan Siti Aafiyah yang kini berusia dua tahun.
“Terima kasih sekali lagi kepada kalian yang sangat memahami dan tidak putus mendoakan saya selama ini. Saya amat bersyukur di atas kurniaan Allah ini…
“…anugerah yang sangat berharga kerana saya diberi peluang untuk hamil selepas Siti Aafiyah berusia dua tahun lebih,”
– Siti Nurhaliza
Sementara itu, pada jam 9 malam ini, para peminat akan dihadiahkan dengan sebuah muzik video baharu iaitu lagu Kuasa Cintamu yang sebelum ini pernah beliau katakan dicipta khas untuk Siti Aafiyah.