Pengenalan
Makyung berasal daripada perkataan Mak Hiang yang membawa maksud semangat padi. Ia merupakan persembahan dramatari tradisional Melayu Kelantan yang menggabungkan elemen seni tari, seni suara, lakon, lawak dan muzik.
Mengikut catatan awal Peter Florist, seorang pedagang Eropah pernah menyaksikan kesenian ini di istana Raja Perempuan Patani pada tahun 1613.
Di negeri Kelantan, kesenian ini ditemui di istana semasa pemerintahan Sultan Mahmud IV (1900 – 1920) dan kemudiannya Sultan Ismail. Teater tradisional ini seterusnya dihidupkan kembali oleh Tengku Zainal Ghaffar II yang dikenali sebagai Tengku Temenggong.
Pada tahun 1969, beberapa orang tokoh budaya dan pembesar di negeri Kelantan berusaha untuk mengekalkan warisan ini dan usaha itu telah terbukti apabila makyung masih bernafas hingga ke hari ini.
PERBENDAHARAAN CERITA
Cerita-cerita dalam makyung menjalani beberapa tahap perkembangan. Ia bermula dengan cerita asas iaitu Dewa Muda, yang menceritakan tentang asal usul makyung. Berdasarkan cerita ini, ia berkembang menjadi tujuh dan kemudian dua belas cerita. Dua belas cerita yang dianggap lengkap, asli dan cukup nilai seninya adalah :-
      1.  Dewa Muda
      2.  Dewa Pencil
      3.  Dewa Sakti
      4.  Dewa Indera, Indera Dewa
      5.  Dewa Panah
      6.  Endeng Tejeli
            i) Anak Raja Gondang
            ii) Batak Raja Gondang
            iii) Bongsu Sakti
      7.  Gading Bertimang
      8.  Raja Tangkai Hati
      9.  Raja Muda Lakleng
      10. Raja Muda Lembek
      11. Raja Besar Dalam Negeri Ho Gading
      12. Bentara Muda
WATAK CERITA DALAM MAKYUNG
Watak – watak penting dalam sesebuah cerita makyung :-
1. Pak Yung – Menjadi raja atau pemerintah dan menjadi tulang belakang cerita   makyung
2.  Pak Yung Muda – Walak utama atau hero dalam cerita makyung. Watak inilah yang mengalami berbagai-bagai peristiwa dari saat ia dilahirkan hingga dewasa semasa cerita berkisar di sekitar kehidupan Pak Yung Muda.
3. Mak Yung – Juga permaisuri dan dalam setengah cerita mengambil peranan yang penting sebagai watak utama.
4.  Puteri Mak Yung – Sebagai heroin dalam cerita makyung
5. Peran – Terdapat beberapa orang peran atau pelawak dalam cerita makyung. Peran tua biasanya memegang watak yang lebih penting daripada peran-peran lain dan bertindak sebagai orang suruhan raja. Lain-lain peran adalah watak kelakar.
6.  Dayang-dayang – Terdiri daripada gadis-gadis manja yang juga bertindak sebagai penari atau pengiring Mak Yung atau Puteri Mak Yung.
Selain daripada watak-watak yang tersebut di atas, watak-watak jahat tidak ketinggalan, seperti raja jin dan sebagainya yang merupakan pihak lawan kepada watak-watak baik seperti di atas.
STRUKTUR MAKYUNG
Cerita makyung mempunyai struktur yang tersendiri. Bentuknya adalah sama dalam semua cerita Tang dimainkan. Setiap cerita bermula dengan upacara mengadap rebab di mana watak utama akan menyanyi solo dan diikuti oleh korus. Pelakon-pelakon akan membuat gerak seni jari, bahu dan badan sambil menyanyi. Akhimya mereka bangun secara perlahan dan berdiri tegak sebaik sahaja habis nyanyian solo. Mereka kemudian mengelilingi pentas dengan tarian perlahan dan salah seorang akan memulakan nyanyian solo. Nyanyian di sini adalah ‘Sedayong Makyung’.
LAGU-LAGU DALAM MAKYUNG
Dikatakan ada tiga puluh buah lagu digunakan dalam persembahan teater makyung, bergantung kepada kesesuaian cerita:
MENGADAP REBAB
Lagu terpenting dimainkan sekali semasa permulaan persembahan, kecuali ada cerita makyung dalam cerita makyung keseluruhannya (play within play). Lagu ini merupakan simbol penghormatan kepada rebab dan semangat makyung.
KIJANG MAS
Lagu ini digunakan dalam beberapa keadaan, selalunya dimainkan sebagai lagu instrumental semasa selingan sebelum permulaan persembahan makyung.
SINDONG
Sama seperti lagu Kijang Mas, ia juga dinyanyikan oleh pakyung apabila mahu memberikan arahan kepada pengasuh atau jong dongdang. Selain itu ia juga dinyanyikan oleh pangasuh tua.
SEDAYONG
Banyak variasi lagu sedayong, Sedayong Pakyung dinyanyikan oleh pakyung, begitu juga dengan Sedayung Mak Yung oleh makyung, sedayung peran dan sedayung tonggek dinyanyikan oleh pengasuh. Lagu ini berfungsi sebagai lagu pendedahan untuk memaklumkan sesuatu kepada Peran atau penonton.
LAGU BARAT
Empat variasi lagu barat ialah Barat Anjur, Kisah Barat, Barat Cepat dan Gunung Barat. Barat anjur selalunya dinyanyikan oleh watak-watak utama apabila mereka masuk kali pertama untuk memperkenalkan diri atau mengumumkan sesuatu kejadiaan seperti memanggil untuk berkumpul bagi penutup cerita, masuk semula ke pentas dan semasa dalam perjalanan. Barat cepat sering dinyanyikan dalam makyung bagi menandakan pertukaran tempat atau penghabisan tiap-tiap adegan. Kisah barat dan gunung barat merupakan lagu pendedahan (expository pieces).
MENGULEK
Permaisuri atau Mak Yung menyanyikan lagu ini apabila bermain-main dengan inang inang atau juga digunakan sebagai lagu untuk timang-timang anak atau juga semasa mengulek seseorang waktu tidur.
MENGAMBO
Ia dinyanyikan oleh Pak Yung, Mak Yung atau watak-watak utama dipertengahan cerita dalam adegan sedih apabila hendak meluahkan perasaan pilu.
LAGU-LAGU LAIN
1.Saudara
2.Pakyung Muda
3.Makyung Muda
4.Tok Wak
5.Lagu Pikir
6.Lagu Yur
7.Lagu Balik Padi
8.Lagu Khabar
9.Lagu Gading Timah
10.Lagu Kajol
11.Buluh Seruas
12.Lagu Jamba
13.Yo Peran
14.Lagu Anak Kumbang
15.Lagu Dayung Sampan
16.Mek Puyuh
17.Tari Inai (Ragam)
18.Kisah Puteri Makyung
19.Mengadap Raja
20.Sabar
21.Berlari Hambat Rusa (lagu berjalan)
MUZIK DALAM MAKYUNG
Muzik adalah aspek integral makyung; ia merupakan degup; ia menentukan kehidupan makyung, membentuk suasana dan menetapkan langkah dan tempo. Beberapa jenis alat muzik digunakan untuk mewujudkan muzik makyung ini. Bilangan alat muzik dalam ensemble makyung berbeza dari kumpulan ke kumpulan, tetap alat-alat muzik seperti berikut merupakan asas pementasan:
i.Rebab
ii.Gendang ibu
iii.Gendang anak
iv.Sepasang tetawak (gong)
Namun sebilangan kumpulan telah menambahkan alat-alat muzik wayang kulit kelantan seperti serunai, sepasang geduk, sepasang gedombak, sepasang canang dan kesi. Alat-alat ini digunakan dalam adengan-adegan tertentu yang memerlukannya.