in

Teater Tepuk Amai-Amai Meneruskan Semangat Ramleefestasi

TEATER EKSPERIMENTAL TEPUK AMAI-AMAI MENERUSKAN SEMANGAT RAMLEEFESTASI
Lenguh menepuk, tak pandai-pandai

Selama 3 kali dipentaskan di tempat yang berbeza, teater Tepuk Amai-Amai masih belum menemukan kepuasan dalam berkongsi naskhah ini kepada umum. Teater yang diilhamkan dari lagu tradisional “Tepuk amai-amai belalang kupu-kupu, tepuk biar pandai, nanti emak upah susu”, penulis/pengarah mengetengahkan persoalan tentang tujuan sebenar pelajar-pelajar dalam menuntut ilmu di sekolah.

Adakah ianya semata-mata untuk lulus peperiksaan atau untuk mempelajari sesuatu tanpa mengira markah atau keputusan peperiksaan? Adakah peperiksaan semakin menjadi penanda aras kepada kecemerlangan seseorang pelajar?

Tepuk Amai-Amai adalah sebuah “devised play” oleh Khairunazwan Rodzy yang menggambarkan situasi institusi pembelajaran yang mana telah disalah erti sebagai tempat untuk mendapatkan gred cemerlang dalam peperiksaan sahaja. Khairunazwan berkata “Saya masih lagi belum puas berkongsi naskhah ini kepada semua.

Setelah 3 kali pementasan dijalankan ditempat yang berbeza, penerimaan penonoton terhadap karya ini sangatlah baik. Namun, selama 3 kali dipentaskan, saya masih merasakan karya ini perlu disampaikan kepada umum secara meluas. Oleh sebab itu, kali ini ia akan dipentaskan semula dalam projek PENTAS BALIK”.

Khairunazwan yakin bahawa semangat Ramleefestasi yang baru melabuhkan tirai pada minggu lepas mampu menarik ramai penonoton walaupun ketiadaan “crowd puller” iaitu rakan artis sepertimana Ramleefestasi yang mengetengahkan Beto Kusyairy dan Cristina Suzanne.

Pementasan ini telah dipentaskan buat pertama kali pada April 2012 dimana ianya disambut baik oleh para penonton. Dalam projek “Bangkit”, pementasan semula Tepuk Amai-Amai telah berlangsung di Menara KBS, Putrajaya pada 9, 10 dan 11 November yang lepas. Selain itu, atas permintaan dan jemputan dari Fakulti Sains dan Komputer Matematik, ianya di pentaskan semula di UiTM pada 26 November 2012. Kali ini ia akan dipentaskan di MORNE art gallery, Tingkat 10, Menara MARA, Jalan TAR, Kuala Lumpur.

Pementasan semula Tepuk Amai-Amai dlm projek PENTAS BALIK akan menampilkan barisan penggiat teater muda iaitu Asyraf Afif, Taufiq Izmer Tawaff, Nik ‘Chip’ Afiq, Suhana Othman, Azlin Nur Mohd dan Aznah Mohamad. Tiket berharga RM25.

Untuk tempahan dan pembelian tiket pula, hubungi Arshad Adam di 017982 3272 atau Nik Afiq di 010760 3101.

teater Tepuk Amai-Amai

SINOPSIS Tepuk Amai-Amai
oleh : Khairunazwan Rodzy

Pelakon
1) Nik Chip Afiq
2) Taufik Izmir Tawaff
3) Suhana Othman
4) Azlin Nur Mohd
5) Aznah Mohamed
6) Asyraf Afif

Teater Eksperimental ‘Tepuk Amai-Amai’ merupakan sebuah device play oleh Khairunazwan Rodzy. Teater yang bergerak melalui proses device ini telah di tetapkan temanya; cita dan impian sebagai kes yang di bincangkan serta isu yang diketengahkan dalam pementasan.

Setelah proses device berlaku dalam merangka sebuah pementasan Eksperimental ini, hasil yang diperolehi adalah subjek tentang kehidupan zaman persekolahan yang melibatkan watak-watak seperti Pelajar, Guru, Ibu Bapa dan Keluarga. Plot bergerak berlandaskan watak para pelajar yang berusaha keras untuk mencapai cita-cita dan impian masing-masing sehingga berjaya. Pelbagai konflik berlaku semasa proses usaha mereka, cabaran, halangan, tekanan serta dugaan telah sebati dalam diri mereka.

Teater ini juga menyentuh perihal kehidupan pelajar yang bermasalah dalam pelajaran serta kehidupan dalam keluarga masing-masing. Disamping itu, sikap kebanyakan ibu bapa juga digarapkan bagi memberi kesedaran tentang hubungan anak, pelajaran, ibu bapa dan impian. Keadaan sekolah yang dibangkitkan mengenai cerita guru-guru sebagai pendidik yang sangat menginginkan pelajar-pelajar mereka yang cemerlang dan berjaya mencapai cita-cita pelajar dan impian sekolah. Kesemua isu tersebut telah diberi sentuhan satira memberikan nilai-nilai estetik dalam pementasan ini.

‘Counter-intelligence’ dalam teater ‘Tepuk Amai-Amai’

SURAT FMT: Dari Zul Fikri Zamir Mohamad Munir, melalui e-mel
Dalam bahasa Inggeris; perkataan ‘education’ berasal dari ‘E+ducere’, menurut Josh Jones, etimologi Latin itu membawa maksud ‘to lead or draw out’. Dalam bahasa Melayu ia bererti – untuk membawa keluar seseorang dari kegelapan ke dunia yang mencerahkan.

Sepuluh tahun yang lalu saya mengambil peperiksaan SPM di SM Sains Selangor. Saya hanyalah murid biasa-biasa. Berbanding rakan yang lain, saya di antara kumpulan pelajar yang mendapat bilangan A paling sedikit. Sementara saya terkial-kial di matrikulasi, rakan baik saya sendiri mendapat tajaan dan terbang ke Perancis.

Teater ‘Tepuk Amai-Amai’ yang dipentaskan oleh anak-anak muda Revolution Stage di bangunan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dari Nov 9 hingga Nov 11, 2012 yang lalu di Putrajaya mengingatkan saya kepada penglibatan saya dalam pementasan ‘Peristiwa 45’, mewakili sekolah dalam Sayembara Teater Sejarah Wilayah Persekutuan 2001. Tidak banyak yang dapat saya lakukan dalam masa satu tahun setengah di Sekolah Berasrama Penuh (SBP) yang tinggi nilai tradisi dan budaya itu.

Tetapi peluang memegang watak antagonis – Jiman – tali barut tentera Jepun berdarah Melayu sangat membekas di dalam hati dan diri ini.

Saya kira besar sungguh jasa guru teater saya ketika itu, Pn Noreita dan suaminya saudara Mohd Fidza yang tidak kenal penat melatih dan mengusung kami ke segenap Pekan Teater dan pementasan teater yang ada di Kuala Lumpur ketika itu – bukan sahaja mendidik dan memberi pengalaman baharu; bahkan lebih besar jasa mereka ialah membina jati diri dan sikap yang kekal saya bawa sehingga kini.

‘Counter-Intelligence’ dan Diorama dalam Tepuk Amai-Amai
Jarang sekali saya dengar sebuah pementasan teater yang membawa tema pendidikan sebagai titik fokal-nya. Tepuk Amai-Amai yang diarahkan oleh Khairunazwan Rodzy, pengarah Ratna Kadhal ini adalah sebuah ‘devised play’, naskhah kedua dalam projek #Bangkit. Teater minimalis ini bergerak berdasarkan watak pelajar yang mempunyai konflik di antara ilmu, pengetahuan dan sifat ingin tahu dengan pencapaian yang tanda arasnya ialah bilangan A.

Watak-watak seperti Asyraf, Azrul, Dalilah, Aznah, Azlin dan Suhana diselang-seli dengan norma guru, ibu bapa malah keluarga. Pelajar-pelajar ini dianggap corot – sehingga menyebabkan tiada guru yang mahu mengajar mereka – diakhirnya mereka membuat konsensus untuk memboikot peperiksaan (akibat tidak faham kaitannya dengan ilmu, pengetahuan) dan membiarkan masing-masing gagal di dalam peperiksaan tersebut.

Bukan mudah untuk membawa tema sebesar ini untuk diterjemah ke dalam sebuah pementasan. Saya fikir pengarah – saudara Khairunazwan Rodzy sengaja memilih untuk me-minimalis-kan pementasan kali ini untuk menyedarkan audien tema pendidikan seperti peperiksaan dan bilangan A, tidak memerlukan panggung se-gah Istana Budaya ataupun pelakon sehebat Remy Ishak.

Tema pendidikan dan peperiksaan ini ialah isu masyarakat umum, isu masyarakat bawahan yang di pundak anak-anak corot ini ialah masalah keluarga, masalah sosial, ekonomi dan pelbagai beban lain lagi yang selama ini tidak pernah diberi perhatian.

Saya melihat pementasan Tepuk Amai-Amai ini sebagai sebuah diorama; yang pertama kali dipentaskan oleh Louis-Jacques-Mandé Daguerre dan Charles Marie Bouton di London pada Sept 29, 1823; literalnya berasal dari Greek, ‘di-“through”+orama’, yang membawa maksud ‘through that which is seen’ atau ‘small scale replica of a scene’.

Dalam bahasa mudah, Diorama ala-ala Daguerre’s Tepuk Ama-Amai ini ialah secebis kisah dari ribuan kisah-kisah lain tentang – sekumpulan anak-anak yang terperangkap di dalam sistem masyarakat – yang bukan menilai ilmu melalui nilai insan dan perkembangan, tetapi melalui bilangan A.

Selang-seli perkataan seperti “Tepuk amai-amai belalang kupu-kupu, tepuk biar pandai, nanti emak upah susu”; “Lenguh menepuk, tak pandai-pandai” dan “What do you go to school for?” menurut saya ialah sebuah ‘counter-intelligence’ bukan sahaja terhadap sistem pendidikan nasional, malah terhadap sistem masyarakat secara keseluruhannya.

Dalam ‘counter-intelligence’; ‘the more untold stories, the more drama’. Tidak ramai anak muda yang berani dan mampu mengangkat tema sebesar itu; tahniah buat anak-anak muda Revolution Stage.

Pendidikan vs Indoktrinasi
Dalam sebuah temu ramah oleh Graham Brown-Martin dan dibentangkan di ‘Learning Without Frontiers Conference’ (LWFC) pada 25 Januari 2012 di London, Noam Chomsky menegaskan tujuan pendidikan harus berkait rapat dengan tujuan utama kita di dalam hidup iaitu; “highest goal in life is to inquire and create”.

Bertolak dari premis itu, tujuan pendidikan boleh dimudahkan kepada – membantu seseorang untuk membolehkan dirinya belajar sendiri. Beliau menambah lagi; perkara asas tentang pendidikan ialah pemupukan terhadap usaha untuk mencabar kebenaran, berfikir dengan kritikal dan mencipta alternatif terhadap model-model sedia ada.

Seterusnya Chomsky menambah, konsep yang bertentangan dengan pendidikan ialah indoktrinasi. Dalam model indoktrinasi, manusia telah mempunyai idea sejak dari kecil, orang muda harus diletakkan di dalam sebuah kerangka yang harus mereka ikuti dan patuhi.

Menurut beliau, model ini menyerlahkan sejenis ‘hutang’ – yang akan memerangkap golongan muda terhadap kehidupan yang menjanjikan. Secara sinikal boleh dilihat sebagai pertentangan di antara dua fahaman; Athens vs. Sparta. Persoalannya, apakah pendidikan dijalankan untuk lulus peperiksaan atau untuk mencari kreativiti?

‘Late Bloomers’ vs ‘Devised Play’

Berapa ramai dari kita yang percaya hidup ditentukan oleh SPM; sehingga berjaya atau tidak diukur kepada bilangan A ketika kita semua berumur 17 tahun? Masyarakat malah meletakkan SPM sebagai panduan hidup – seseorang akan berjaya atau tidak diukur melalui bilangan A-nya. Ia malah bukan sahaja melingkar persoalan sistem pendidikan, malah lebih teruk dari itu fahaman masyarakat yang pro-material menjadikan kerjaya dan ekonomi sebagai tujuan hidup.

Berbeza dengan negara maju, Finland sebagai contoh, peperiksaan hanya dilansungkan ketika anak berumur 16 tahun. Kerja rumah tidak digalakkan, malah anak-anak diharamkan untuk ke sekolah sehingga umur 7 tahun. Anak-anak ketika kecil diterapkan dengan sifat ingin tahu dan ingin mencuba yang tinggi.

Malah negara seperti Jerman, implementasi sekolah mereka membuktikan waktu persekolahan dari jam 8 hingga 3 dipenuhi dengan permainan, dan hanya 4 subjek diperkenalkan iaitu Agama – Katolik/ Protestan (tidak wajib untuk orang Islam), Sains, Matematik, dan Pengetahuan Am.

Sedangkan anak-anak Tahun 3 di Malaysia sahaja terbeban dengan lebih dari 5 kali peperiksaan setiap tahun (Ujian Bulanan 1, Ujian Bulanan 2, Ujian Pertengahan Tahun, Ujian Bulanan 3 dan Ujian Akhir Tahun) serta mempunyai sekitar 17 buah buku teks!

Saya tidak fikir hidup ini bergantung sepenuhnya ketika kita berumur 17 tahun sahaja. Saya percaya, penerapan sifat ingin tahu seawal mungkin akan membantu individu tersebut berkembang di usianya nanti. Sebagai anak kepada guru perpustakaan, saya didedahkan dengan koleksi buku dan ensiklopedia ketika menemani ayah membalut buku dan membuat kerja perkeranian setiap hujung minggu sejak saya berumur 7 tahun. Dan saya percaya, jasa ayah saya inilah yang telah mencorak diri saya sekarang.

Sekolah Tomoe Gakuen melalui Guru Besarnya, Sosaku Kobayashi telah membuktikan penerapan sifat ingin tahu pada anak-anak kecil memberi impak yang besar terhadap kehidupan seseorang. Begitu juga yang terjadi dengan sekolah dasar Muhammadiyah di Pulau Belitong melalui Pak Harfan dan Ibu Muslimah. Jika dibandingkan dengan rakan-rakan lain di sekolah, sayalah antara graduan yang gajinya paling kecil – namun saya kira saya gembira hidup begini – sebuah ukuran paling ideal tentang kehidupan; iaitu gembira.

Berapa ramai dari anak-anak seluruh dunia yang digelar ‘Late Bloomers’ seperti Colonel Harlan Sanders (pengasas KFC), Andrea Bocelli, Alexander Fleming, Corazon Aquino (sekadar memetik beberapa nama) malah tokoh seperti Steve Jobs dan Mark Zuckerberg yang mengubah cara hidup dunia adalah ‘college dropouts’.

Bakat, usaha dan kebolehan diri adalah sesuatu yang sistem pendidikan kita perlu ketengahkan, bukannya kerjaya mahupun kiblat ekonomi. Sistem pendidikan dan masyarakat perlu segera kembali kepada tujuan asal pendidikan iaitu memanusiakan kembali manusia. Sebagaimana tulisan saya sebelum ini, puncak ilmu ialah apabila ilmu tersebut kembali kepada masyarakat.

Teater Tepuk Amai-Amai yang dijalankan menggunakan ‘devised play’ – adalah teknik paling sesuai untuk menggambarkan kerancuan dan kerisuan orang kebanyakan terhadap konflik pendidikan dan sistem peperiksaan. ‘Devised play’ ialah teknik di mana skrip ditemukan melalui garapan kreatif sekumpulan individu, bukan oleh seorang penulis skrip.

Watak-watak seperti Asyraf, Azrul, Dalilah, Aznah, Azlin dan Suhana yang mewakili murid kelas corot menggambar kelas tertindas yang selama ini tidak mendapat perhatian ramai.

Adik saya akan mengambil SPM tahun hadapan. Pesan saya – ‘Boi, baca pesan Ikal ketika melihat Enong yang teguh pendiriannya untuk menguasai bahasa Inggeris di dalam Padang Bulan’; “Orang-orang itu telah melupakan bahwa belajar tidaklah melulu untuk mengejar dan membuktikan sesuatu, namun belajar itu sendiri, adalah perayaan dan penghargaan pada diri sendiri”.

Penulis ialah calon sarjana di Universiti Malaya dan co-founder di Teach For The Needs (TFTN), sebuah gerakan aktivisme pendidikan yang boleh dicapai di www.teachfortheneeds.org. Pementasan teater Peristiwa 45 arahan saudara Mohd Fidza memenangi Sayembara Teater Sejarah Wilayah Persekutuan 2001.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Siapa Juara Fear Factor Selebriti Malaysia Yang Pertama

Siar Drama Terbaik Sempena Hari RTM ke-67