Teater Super PTUI! & Transit Kaler Magenta yang dijadualkan dipentaskan pada 27 Februari hingga 1 Mac 2015 di PJ Live Arts, Petaling Jaya terpaksa dibatalkan atas penarikan diri anggota produksi.
Pelakon yang memegang watak Helium, Fandi Che Hisham memaklumkan menerusi emel dan pesanan ringkas whatsapp bahawa dia mempunyai perancangan yang lain pada tarikh pementasan yang dijadualkan. Begitu juga Penulis dan Pengarah Wan Azli Wan Jusoh yang hanya memaklumkan bahawa beliau tidak mempunyai masa bagi meneruskan pementasan ini.
Teater Super PTUI! & Transit Kaler Magenta Dibatalkan
Bagi mengekalkan piawai pementasan Rumah Anak Teater, pihak produksi mengambil keputusan untuk tidak meneruskan pementasan tersebut.
Kekecewaan in turut dikongsi bersama pihak PJLA Sdn Bhd yang menanggung kos sewaan panggung dan membuat langkah-langkah susulan atas pembatalan tersebut dengan memulangkan wang tempahan kepada orang ramai yang sudah membeli tiket.
Pembatalan ini juga bermaksud jadual bagi teater ini bakal dipentaskan di Jakarta pada tahun ini yang sedang dalam rundingan juga turut dihentikan.
Rumah Anak Teater ini ingin memohon maaf kepada para pengikut seni teater dan wartawan yang sering mengikuti perkembangan produksi ini kerana usaha-usaha bagi meneruskan projek teater ini menemui jalan buntu.
Walau bagaimanapun, orang ramai boleh membeli rakaman pementasan tersebut yang dibuat pada 12 Disember yang lalu. Buku skrip pentas teater ini juga dijual pada harga RM15.