in

Teater Sambanthan Tokoh Pejuang & Keadilan

Istana Budaya akan mempersembahkan Teater Sambanthan di Auditorium Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia (MTC) pada 29 Februari hingga 4 Mac ini.

PENGENALAN 
Sambanthan Thirunyana a/l Veerasamy atau pun lebih dikenali sebagai Tun V.T. Sambanthan, antara tokoh yang mewakili kaum India dan telah memberikan sumbangan yang tidak sedikit dalam membantu Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ke arah pencapaian kemerdekaan tanah air. Dengan kejayaan kepimpinannya, masyarakat India berjaya disatukan.
 
Oleh itu, sebagai mengenang jasa dan sumbangan beliau serta penghormatan kepada negara, maka pementasan khas ini didedikasikan bagi tontonan umum. Ia diharap menjadi batu tanda kepada pementasan teater yang mewakili kaum India setelah kejayaan pementasan Muzikal Tan Cheng Lock dan Muzikal Putra di Panggung Sari, Istana Budaya (IB) pada tahun 2007.
 
Pementasan dengan memilih tokoh-tokoh pemimpin tanah air ini adalah satu penghargaan yang tinggi kepada para pemimpin negara tersebut. Pemaparan tokoh yang mewakili pelbagai kaum ini juga adalah penting diketengahkan kepada generasi muda negara hari ini supaya mereka sentiasa mengenang dan menghargai sumbangan serta jasa para pemimpin terdahulu.
 
Dalam usaha IB menyemarakkan seni pentas teater di sekitar Kuala Lumpur, maka produksi terbitan IB dan Fenomena Seni Pentas kali ini dipentaskan di Auditorium Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia (MTC), Jalan Ampang, Kuala Lumpur.
  
SINOPSIS 
Tun V.T. Sambanthan seorang tokoh pejuang kemerdekaan tanah air yang mewakili kaum India. Bersama-sama dengan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan beberapa tokoh lain, mereka bergabung tenaga menyedarkan bangsa untuk bebas dari cengkaman penjajah. 

Sambanthan, sebuah pementasan yang didedikasikan khas untuk mengenang jasa dan penghormatan kepada Tun V.T.  Sambanthan, rentetan perjuangan masa lalu yang dihidupkan kembali di pentas teater moden hari ini.
 
MANO MANIAM (Tun Sambanthan) 
Manogaran Maniam @ Mano Maniam merupakan seorang pelakon yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Beliau seorang penggiat seni yang bukan sahaja terkenal di Malaysia, malah turut menempa nama dalam bidang seni di luar negara.
 
Mula terlibat dalam bidang seni sejak berusia 5 tahun lagi. Semenjak dari usia mudanya sampai ke saat ini, beliau sudah banyak terlibat dalam pelbagai produksi teater dan memegang pelbagai watak. Antaranya, pada tahun 2003 beliau turut terlibat dalam pementasan teater Shakespeare. Mano pernah berlakon dalam sebuah pementasan di New York (Caught In The Middle of A Plank Bridge).
 
Dedikasi, penglibatan dan sumbangan Mano dalam bidang seni telah melayakkan beliau memperolehi banyak anugerah, tidak kira di peringkat kebangsaan atau pun di peringkat antarabangsa sebagai pelakon dan juga pengarah. Antaranya, Pelakon Pembantu Terbaik Peringkat Malaysia (Mat Gelap) – 1981, Fulbright Distinguished Artiste Award daripada Kerajaan Amerika Syarikat (2000) dan Lifetime Achievement Award (2003).

DATO’ JALALUDDIN HASSAN (Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj)
Bakat lakonannya mula dikesan di pentas teater dan kemudiannya meneruskan kerjaya seni dalam lakonan TV dan filem. Anak jati Selangor ini tidak pernah menoleh ke belakang lagi setelah berjinak-jinak dalam bidang lakonan. Bakat dan kebolehannya bukan saja dalam bidang lakonan bahkan dalam bidang pengacaraan. Ini terbukti apabila beliau dipilih sebagai pengacara rancangan popular terbitan NTV7, Who Wants To Be A Millionaire.
 
Kesibukan jadual membintangi filem, drama dan kepengacaraan bukanlah penghalang kepada Jalaluddin untuk bergiat aktif di pentas teater. Antara teater yang dibintangi beliau seperti Jebat In English arahan Datuk Rahim Razali, Tun Mamat dan Puteri Gunung Ledang (1996) arahan Aziz M. Osman, Mencari Juita (1998) arahan Siti Rohayah Atan, Malam Haram (1999) arahan Rosminah Tahir, Antara (2001) arahan Dr. Zainal, Merdeka! Merdeka! Merdeka! (2002) arahan Tan Sri Jins Samsuddin dan Muzikal Cheng Lock (2007) arahan Lokman Ghani.
 
Penglibatan dan sumbangan besar beliau dalam dunia seni tanah air telah mendapat penghormatan dan penghargaan apabila beliau dikurniakan Anugerah Kebesaran Negara dengan membawa gelaran Dato’.
 
DR. PETER LOW MENG TUCK (Tun Tan Siew Sin)
Seorang pelakon yang berbakat. Penyertaan dalam pementasan kali ini menguji bakat dan keupayaan dalam kerjaya seninya. Bagi beliau, ‘Sambanthan’ merupakan satu platform dan peluang terbaik untuk beliau menjejakkan kaki ke pentas teater. Sebelum ini beliau telah terlibat dalam produksi muzikal ‘Do You Hear The People Sing?’ pada tahun 2004 sebagai tenor (chorus). Beliau telah menyertai ASTRO-NIDA Screen Directing Open Programme.
 
TANABALAN SINNIAH @ S.T.BALA (Penulis Skrip/Pengarah)
Sejak berusia 18 tahun, S.T.Bala telah menempah nama sebagai seorang pengarah yang tidak asing lagi di kalangan peminat teater Tamil di Malaysia. Pada 1998, ketika mengikuti kursus diploma dalam perfileman di FINAS, Cinta arahan beliau telah memenangi Best Short Film dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Pengarah prolifik ini telah mengarah 18 teater tamil dan telah menempah nama bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di India.
 
Teater arahan beliau dalam Tamil ialah Muthal Muyarchi, Gayatri, Kathiravan, Tanabalan, College, Tamilan, Ennangal, Yathirai, Marupadiyum, Thirudan, Karma, Meendum Muyarchi, Iruvar, Nisha, Apedi Ipedi, Andhe Oru Nimidham, Yennemoh Khadhal dan Suthanthirem. Beliau turut berpeluang mementaskan beberapa teater arahannya di India seperti Kathiravan dan Gayatri pada tahun 1993, Iruvar dan Apedi Ipedi pada 2005, seterusnya Karma pada tahun 2006.
 
Teater Iruvar arahan beliau telah mengangkat nama S.T. Bala dalam kerja seninya apabila produksi tersebut mendapat pengiktirafan oleh Malaysia Book of Records sebagai ‘First Tamil Two Cast Theatre Play’. Aktivis seni ini juga telah mengarah 3 buah drama TV, Kathiravan, Yathirai, Vetri Pathai dan beberapa dokumentasi tamil.
 
Selain Iruvar, beliau juga pernah mengarah Sebermulanya Sebuah Sinopsis, Menjunjung Wawasan, Kembali dan Kembali Bersinar dalam Bahasa Malaysia.
 
Sepanjang penglibatannya, antara pengiktirafan dan anugerah yang telah diterima oleh S.T.Bala ialah Tan Sri Dato Athi Nagappan Award untuk pencapaian terbaik dalam teater daripada Persatuan Penulis Tamil Malaysia dan The Golden Millennium Award dari Film Combines untuk kategori Young, Promising Drama Director.
 
S.T.Bala juga telah menulis skrip dan mengarah sebuah filem pendek dalam format 35mm film.

[tags]s.t bala, skrip filem pendek, comolot, teater sambathan, teater sanbathan, Universiti Kebangsaan Malaysia, mano maniam, gambar perkahwinan nurul izzah, gambar kahwin nurul izzah, keadilan, skandal maya karin khairy jamaluddin, harian metro[/tags]

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Gossip Fasha Sandha Makan Hati & Bidadari Fouziah Ghouse

Hero Remaja 2008 Milik Kamal