Ketua Pengarah IB, Datuk Mohamed Juhari Shaarani berkata, akur arahan kerajaan berhubung pengawalan COVID-19, pihaknya membatalkan pementasan teater muzikal berkenaan yang sepatutnya berlangsung sehingga Sabtu depan.
“Pada awalnya, kami mendapat saranan Kementerian Kesihatan untuk membatalkan mana-mana program yang menghimpunkan lebih dari 250 orang.
“Tidak lama kemudian, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan semua perhimpunan ditangguh atau dibatalkan sehingga 30 April depan berikutan penularan COVID-19.
“Tidak mahu mengambil risiko dengan 50 peratus pendukung watak adalah kanak-kanak, kami mematuhi arahan kerajaan dan memutuskan Siti di Alam Fantasi dibatalkan,”
– Datuk Mohamed Juhari Shaarani
Sepatutnya dipentaskan dalam lapan slot, Siti di Alam Fantasi arahan Aminah Rhapor menampilkan barisan pelakon seperti Janna Nick, Issey Fazlisham, Atu Zero dan Isma Halil Hamzah.
Mohamed Juhari berkata, penjualan tiket Siti di Alam Fantasi sangat memberangsangkan apabila 500 tiket bagi persembahan malam pertama terjual.
“Bagi peminat yang sudah membeli tiket, mereka boleh menghubungi IB untuk mendapatkan pulangan wang,”
– Mohamed Juhari
Berkongsi berita dengan pelakon dan kru produksi Siti di Alam Fantasi, Jumaat lalu, Mohamed Juhari berkata, reaksi mereka meluluhkan hatinya.
“Sepatutnya, Jumaat lalu, raptai penuh dibuat. Namun, disebabkan mahu mengelak lebih banyak kos ditanggung, kami tidak jadi melakukannya.
“Ketika berita pembatalan pementasan disampaikan, pelakon kanak-kanak rata-ratanya menangis. Mereka sedih… Itu yang membuatkan suasana jadi pilu.
“Mengapa tidak, mereka sudah bersedia untuk mementaskan lapan persembahan, namun akhirnya semua terpaksa dibatalkan,”
– Mohamed Juhari
Mohamed Juhari berkata, berikutan pembatalan itu, IB menanggung kerugian kira-kira RM300,000.
“Ini adalah jumlah wang yang perlu dibayar pihak lain biarpun pementasan tidak diteruskan. Jika kami mahu membawa semula projek ini, kami perlu menanggung kos yang lebih banyak.
“Bayangkan, prop untuk pementasan semuanya siap dipasang termasuk sistem pencahayaan. Namun, kontraktor yang mengendalikannya perlu dibayar,”
– Mohamed Juhari
Apa yang kita harapkan, seoga penularan COVID-19 dapat ditangani berikutan kesannya cukup besar kepada semua sektor.
Ditanya mengenai tarikh baharu untuk mementaskan Siti di Alam Fantasi, Mohamed Juhari berkata, jadual slot hujung minggu di IB padat sehingga November depan.
“Jadual IB selepas Aidilfitri sudah penuh. Agak sukar untuk kami mendapatkan tarikh baharu,”
– Mohamed Juhari
Mohamed Juhari berkata, beberapa acara lain seperti Konsert Khai Bahar : Dari Smule ke Pentas Dunia yang sepatutnya berlangsung dua malam mulai 27 Mac depan turut ditangguhkan.