in

TEA TRACKER NTV7 Cari Teh Terbaik Dunia

TEA TRACKER
Sebuah Pencarian Teh Terbaik Dunia

Minuman teh sememangnya menjadi pilihan dan kegemaran ramai orang. Ada yang mendapatkan bungkusan teh yang sudah tersedia di rak pasar raya. Tatkala membelek bungkusan tersebut pasti anda juga dapat melihat maklumat nutrisi, cara penyediaan atau sejarah ringkas mengenai setiap jenis teh kesukaan anda.

Ada juga menikmati teh dengan semudah mendapatkannya di bilik pantri sambil menghirup aromanya yang enak tanpa mengetahui asal usul teh itu sendiri. Namun kebanyakan penggemarnya mungkin tidak tahu apakah keistimewaan minuman ini yang sebenarnya lebih daripada jangkauan mereka. Di sebalik kotak bungkusan atau uncang teh itu tersirat pelbagai kisah kekayaan budaya, gaya hidup, adat resam dan sejarah menarik.

TEA TRACKER Adrian

dari kiri – En. Sofwan Mahmood, Pengurus Besar Kumpulan Operasi Berita, TV3, ntv7, 8TV, TV9 dan Rangkaian Radio, En. Ahmad Izham Omar, Ketua Pegawai Operasi Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Adrian Jalaludin, pengacara Tea Tracker, Mr. Goh Mung Chwee, Pengarah Eksekutif Sabah Tea Sdn. Bhd., Linda Salim, Penerbit Tea Tracker

Tea Tracker merupakan sebuah rancangan travelog terbaru yang bakal disiarkan di ntv7. Menggalas tugas sebagai penerbit rancangan ini adalah Linda Salim yang juga seorang penerbit berpengalaman dan penyampai berita untuk bahagian Berita dan Hal Ehwal Semasa ntv7 – bakal menceritakan keunikan kisah teh dan membawa penontonnya dalam pencarian teh terbaik dunia.

Rancangan ini akan membawa anda ke pelbagai negara termasuklah negara China, Jepun, Taiwan, Myanmar, India mahupun Malaysia sendiri menerusi 13 episodnya yang bakal bersiaran di Saluran Ceria Anda bermula 1 Jun, setiap hari Jumaat jam 7.30 malam. Rancangan menarik ini dibawakan oleh penajanya, Teh Sabah, sebuah jenama teh bermutu tinggi di Malaysia.

Selaku pengacara rancangan Tea Tracker, Adrian Jalaludin akan membawa para penonton mengembara ke pelbagai lokasi pada setiap minggu, di mana Adrian akan belajar mengenai teh daripada penduduk tempatan yang masih kekal mempertahankan seni teh di dalam komuniti mereka.

Ketika Adrian menjelajah dan memahami kelainan teh di seluruh dunia seperti teh Cina, teh hijau Jepun, teh masala India, teh Taiwan dan bermacam-macam lagi, penonton juga bakal berpeluang mempelajari aspek budaya, gaya hidup dan masyarakat setempat di negara-negara teh ini.

“Tentunya ini merupakan pengalaman sekali dalam seumur hidup buat saya. Pencarian ini telah membuka mata saya untuk melihat betapa kayanya budaya, tradisi dan sejarah teh yang berakar umbi di setiap negara yang saya lawati.

Teh yang mungkin kita kurang ambil peduli sebenarnya memainkan peranan penting di dalam sesebuah tradisi negara yang berkaitan,” kata Adrian.

Penonton juga akan didedahkan dengan teknologi penghasilan teh dan inovasi perindustrian teh di dalam rancangan yang bersiaran selama 30 minit ini di dalam setiap episod.

“Ini merupakan berita baik buat penggemar teh, pengembara dan mereka yang berminat memahami budaya kerana rancangan Tea Tracker akan memastikan mereka terpaku di kaca televisyen setiap minggu dengan kisah teh yang mengagumkan serta tarikan budaya, masyarakat setempat dan pelbagai lagi. Ini merupakan jaminan untuk memastikan anda sekeluarga terus terhibur,” kata Encik Ahmad Izham Omar, Ketua Pegawai Operasi Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad dan Ketua Pegawai Eksekutif Studio Primeworks.

“Terima kasih yang tidak terhingga juga kepada Teh Sabah yang telah berjaya merealisasikan rancangan ini,” tambah Izham.

Tea Tracker juga akan membawa penonton untuk meninjau perladangan teh Malaysia sendiri di ladang Teh Sabah. Terletak di kawasan tropikal Malaysia yang menghijau di sekitar warisan dunia, Gunung Kinabalu, ladang teh tersebut terletak di kawasan seluas 6, 200 ekar pada aras ketinggian 2,272 di atas paras laut. Ladang ini dikelilingi oleh hutan hujan tertua yang berusia selama 130 juta tahun.

Turut menjadi kebanggaan kepada negara ini, Teh Sabah juga merupakan perladangan komersil terbesar di Borneo. Setiap langkah bakal membawa kepada penghasilan teh yang berkualiti dari proses memetik teh, mengeringkan, fermentasi dan keseluruhannya akan anda saksikan di dalam Tea Tracker.

“Teh Sabah amat berbesar hati menjadi sebahagian rancangan travelog sebegini yang penuh inovatif. Ia merupakan rancangan yang juga menghiburkan dan penuh dengan keindahan pemandangan, warna dan bunyi yang berjaya dihidupkan oleh pengacaranya dan mereka yang terlibat di dalam penghasilan teh. Saya perlu katakan bahawa Tea Tracker banyak menyumbang sebagai jambatan penghubung budaya di antara masyarakat seluruh dunia jika atau apabila rancangan di bawa di peringkat antarabangsa,” kata Encik Goh Mung Chwee, Pengarah Eksekutif Teh Sabah Sdn Bhd.

Sementara itu, pencinta Teh Sabah di Malaysia mahupun di mana sahaja mempunyai alasan untuk terus ceria kerana teh kegemaran mereka kini boleh diperoleh dalam bentuk rekaan baru yang lebih segar dan lebih menyeronokkan. Bungkusan baru teh tersebut telah dipamerkan di sidang akhbar hari ini.

Seiring dengan visi Teh Sabah untuk terus bersama kerancakan gaya yang lebih kontemporari dan berinovasi di dalam industri teh, rekaan baru yang tampil lebih segar ini akan menumpukan kepada nilai tambah yang ada di dalam Teh Sabah yang sememangnya 100% bebas daripada racun serangga dilihat bakal memberi impak hebat.

Bungkusan Teh Sabah yang baru sahaja dilancarkan di dalam bentuk uncang teko, uncang beg dan daun teh kini boeh didapati di kesemua rangkaian pasar raya utama, pasar mini dan kedai runcit di seluruh Malaysia. Harga pasarannya kekal sama begitu juga keunikan rasanya yang semulajadi.

Untuk meninjau ke dalam dunia teh yang begitu mempesonakan, jangan ketinggalan untuk menyaksikan Tea Tracker setiap hari Jumaat pada jam 7.30 malam hanya di Saluran Ceria Anda, ntv7 bermula 1 Jun ini. Kepada penonton yang terlepas menonton rancangan ini, sila layari www.tonton.com.my.

Untuk maklumat lanjut mengenai rancangan ini, sila layari laman sesawang ntv7 di www.ntv7.com.my atau ikuti perkembangan ntv7 melalui Facebook mahupun Twitter.

Berikut merupakan senarai negara-negara dan jenis teh yang bakal dikongsikan di dalam rancangan Tea Tracker:

• Episod 1 & 2 (Beijing, China) – Saksikan kisah seorang pakar kung-fu dan keluarganya yang amat menghargai minuman teh. Juga saksikan upacara teh Gongfu dan juga upacara teko bermulut runcing.

• Episod 3 (Chengdu, China) – Lihat sendiri keunikan rumah teh tempatan, snek yang diperbuat daripada teh, kedai teh serta pelajari kaitan teh dengan feng shui.

• Episod 4 (Lijiang, China) – Apa saja yang lebih menarik daripada melewati Tea-Horse Caravan Road yang pernah pada suatu masa dahulu menjadi laluan perdagangan untuk pertukaran kuda-kuda Tibet dan teh Cina.

• Episod 5 (Shangrila Zhongdian, China) – Benarkah teh Tibetan Butter dan Tsampa merupakan sebahagian daripada diet seorang sami? Dapatkan jawapannya di dalam episod ini.

• Episod 6 (Urumqi, China) – Kali ini Tea Tracker akan membawakan anda sebuah ekspedisi hebat ke Pusat Asia- semalaman bersama keluarga nomad Kazakh.

• Episod 7 & 8 (Tokyo, Japan) – Pelajari upacara teh Jepun yang juga digelar “cara menge-teh” – sebuah aktiviti yang melibatkan persediaan dan cara menghidangkan teh hijau.

• Episod 9 (Taichung, Taiwan) – Selami sejarah teh Taiwan dan budaya mereka serta fahami asal usul “Bubble Tea” dan bagaimana ianya bermula di Taiwan.

• Episod 10 (Taipei, Taiwan) –Asyikkan diri anda di dalam upacara Wu-Wo (tidak mementingkan diri) yang menggalakkan peserta untuk melupakan segala pengetahuan, kekayaan dan penampilan dalam membentuk kumpulan yang sama rata tanpa memiliki sebarang prejudis.

• Episod 11 & 12 (Delhi, India) – Anda bakal kagum dengan kisah penjual teh dan juga teh terkenal India – masala. Juga saksikan jenis teh india yang lain seperti Darjeeling, Assam, dan teh Nilgiri.

• Episod 13 (Yangon, Myanmar) –Lihat sendiri bagaimanakah masyarakat tempatan menikmati Lahpet atau jeruk teh secara tradisional.

TEA TRACKER Adrian

Adrian Jalaludin, Pengacara Tea Tracker:

Dengan personaliti yang mempesona dan memiliki ciri eksotik tidak hairanlah jika dilihat Adrian telah berjaya menempatkan diri di dalam industri hiburan Malaysia dan Singapura. Sama ada tampil di dalam iklan cetak, iklan televisyen mahupun sebagai penyampai rancangan TV, Adrian ternyata merupakan seseorang yang berbaloi diperhatikan dengan bakatnya yang pelbagai dan keupayaan istimewanya dalam menarik penonton dengan caranya yang tersendiri.

Adrian atau panggilan singkatnya AJ mula mempesonakan penonton di Malaysia melalui penyertaannya di dalam rancangan “What Women Want” iaitu sebuah realiti TV dimana dia bersaing bersama 12 peserta lain dalam mendapatkan gelaran “What Women Want”.Popularitinya semakin meningkat apabila berjaya dicalonkan sebagai top finalis di dalam “Female’s 50 Gorgeous People” dan “CLEO’s Most Eligible Bachelors” di Malaysia. Adrian bermula di dalam bidang pengacaraan semenjak tahun 2007.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Astro Oasis Umum Senarai Peserta Imam Muda Musim 3

Marina Bay Sands 24/7 Regional Contest