Siapa sangka, saat dibuka tawaran tersebut ibu pejabat BubbleBee diserbu hampir 300 orang dalam satu masa yang sama dan ianya bukanlah satu perkara yang boleh dibuat sambil lewa. Bagi Shuib, dia berasa gembira namun bercampur sayu melihat kesungguhan mereka yang hadir mencari peluang pekerjaan di BubbleBee.
Menariknya, temuduga pelbagai jawatan yang menawarkan lebih 100 peluang pekerjaan itu mendapat sambutan menggalakkan bukan sahaja daripada mereka yang berada di Kuala Lumpur sebaliknya ada yang datang dari negeri lain. Temuduga terbuka itu diadakan selama dua hari bermula 10 Jun lalu.
“Saya sendiri tidak menyangka sambutan yang diterima sangat luar biasa. Ibu pejabat yang terletak di Puchong, Selangor dipenuhi mereka yang berbaris panjang.
“Kalau 300 orang datang dan masing-masing duduk dengan jarak 1 meter, 3 kilometer juga tu,”
– Shuib Sepahtu
Kongsi Shuib, dia terkesan serta dapat merasai sendiri kepayahan mereka mencari kerja memandangkan dia sendiri pernah berada di tempat mereka satu ketika dahulu.
“Saya dah melaluinya dahulu. Datang temuduga kerja jauh-jauh tapi akhirnya tak dapat. Bila melihatkan kesungguhan mereka, hati jadi sayu.
“Kalau boleh saya mahu mereka semua dapat pekerjaan tapi apakan daya, peluang juga terhad. Saya doakan urusan mereka dipermudahkan dan diluaskan rezeki.
“Sebab itu saya menyeru kepada rakan-rakan artis atau orang perseorangan yang lain yang mempunyai modal tapi tak tahu nak berniaga apa, datanglah kepada kami.
“Setidaknya mereka boleh berniaga di samping membuka peluang pekerjaan baharu buat orang lain.
Ini sebenarnya kepuasan sebenar bila berniaga dan bukannya sekadar mengaut keuntungan semata-mata,”
– Shuib Sepahtu
Di kesempatan itu, suami kepada penyanyi Siti Sarah ini berkongsi rasa teruja dapat menawarkan peluang kerja untuk mereka memandangkan jenama minuman BubbleBee bakal membuka enam cawangan baharu sedikit masa lagi.
Sumber: Murai