Galaksi, program informasi hiburan sensasi di TV9 kini akan menampilkan dua pengacara baru pada Jumaat ini (4 Julai) bagi menggamatkan malam Jumaat anda. Setelah empat tahun bersama Galaksi, tempat Ikhwan kini diganti dengan pelakon jelita dan sensasi, Tasha Shilla (Natasha Sheila Abd Razak) dan juga pelawak terkenal tanahair Ajak Shiro (Shahrul Azizie Bin Azmi).
Ketiadaan Ikhwan bermula Julai ini, pasti dirasai oleh hampir 800,000 peminat setia Galaksi. Apatah lagi Ikhwan berjaya menggalas tanggungjawab sebagai pengacara sensasiselaam empat tahun berturut-turut. Walaupun pada awalnya beliau kekok mengendalikannya, namun bimbingan dan tunjuk ajar yang diberikan oleh penerbit berpengalaman, Nas Ahmad, berjaya memberi keyakinan untuk Ikhwan menjadi pengacara yang disanjungi dan disayangi peminat Galaksi.
GALAKSI TAMPIL DUA PENGACARA BARU
Terdahulu, Galaksi juga pernah diserikan oleh beberapa artis terkenal tanahair seperti Irma Hasmie, Sazzy Falak, Nadia Shahrul Anuar, Sharifah Shahirah, Nana Mahazan serta pengacara jemputan seperti Awal Ashaari, Sarimah Ibrahim dan Serina Redzuawan.
Industri seni tanahair kita dilihat semakin berkembang apabila artis sensasi mempelbagaikan lagi kemahiran mereka ke bidang lain. Ini terbukti apabila kedua pengacara baru ini datang dari latarbelakang yang berlainan, bukannya pengacara! Tentunya kemunculan mereka dalam Galaksi yang kini memasuki tahun ketujuh ini dinantikan oleh penonton.
Walaupun pengacara silih berganti, Galaksi yang disiarkan setiap Jumaat, pada jam 8.30 malam ini akan tetap memberikan liputan dunia hiburan secara telus dan profesional lebih daripada sekadar mensensasikan isu-isu menarik yang menggegar dunia hiburan tanahair. Malahan, pembaharuan perlu sentiasa dilakukan agar sesebuah program itu sentiasa tampil menarik dan kekal mantap. Suntikan pengisian adalah bersesuaian dengan tagline program iaitu ‘Ini bukan program sepi, Ini Galaksi – medan sensasi!’
Tentu ramai tertanya tentang keserasian kedua pengacara baru ini! Jika dahulu Ikhwan seorang sahaja mengemudikan program siaran langsung selama sejam, bagaimana pula kali ini? Sebenarnya, pihak pengurusan termasuk penerbitan telahpun mengadakan ujibakat secara tidak langsung apabila menjemput beberapa artis tanahair menjadi tetamu studio.
Jika diimbas semula, Ajak Shir dan Tasha Shilla pernah beraksi sebagai artis tamu hos Galaksi sekitar bulan Mac hingga Mei lepas. Penerbit sememangnya telah menjemput silih berganti artis sebagai tetamu studio. Mereka juga bukan sekadar tetmu, malahan secara tidak langsungnya kami mengendalikan juga ‘ujibakat live’ terhadap mereka untuk memilih siapa yang sesuai diambil sebagai hos baru Galaksi. Memang ramai yang layak dan berbakat tapi ternyata rezeki lebih memihak kepada Ajak Shiro dan Tasha Shila. Kami yakin dan menaruh penuh harapan agar kedua mereka mampu meneruskan kehebatan Galaksi sebagai pengacara Galaksi.
Selain pertukaran pengacara baru, penerbit Nas Ahmad turut mencipta sebuah segmen baru iaitu ‘Sesuatu yang….Alamak!’. Segmen berupa sendagurau atau usikan spontan terhadap artis dan selebriti tanahair ini akan dikendalikan oleh Noradillah Abdullah atau ‘Adeed’ iaitu salah seorang dari wartawan Galaksi.
Terdahulu, Galaksi telah sedia punyai beberapa segmen tetap, antaranya segmen ‘Rock Kiah Propa’ dikendalikan wartawan Rock Kiah sendiri, segmen popular ‘Terjah!’ dikendalikan Nas Ahmad, dan segmen ‘DJ Pool Galaksi FM’ dikendalikan wartawan DJ Pool.
Satu lagi keistimewaan atau keunikan program ini ialah setiap cerita atau paparan yang disiarkan akan diselitkan dengan klip video lagu yang liriknya punyai kaitan dengan paparan tersebut.
Pastikan anda semua tidak ketinggalan menyaksikan keletah dua pengacara baru Galaksi bermula Jumaat ini, 4 Julai 2014 secara langsung pada jam 8.30 malam.