Penggemar skuba tidak seharusnya melepaskan peluang untuk menikmati keindahan dasar laut yang dilimpahi pelbagai spesies ikan serta terumbu karang yang menjadikan aksesori semula jadi di pulau menerusi program “Yok Skuba†yang sedang bersiaran di TV1, setiap Rabu, pukul 12.05 tengah hari.
13 episod “Yok Skuba†membawa penonton ke lokasi selam skuba bermula di Tanjung Biru @ Blue Lagoon di Port Dickson, Negeri Sembilan. Episod ini memperkenalkan apakah itu selam skuba, bagaimana untuk mengambil lesen skuba dan cara-cara menyelam dengan betul.
Hos program Leez Rosli berkenalan dengan dive master iaitu Adelina Shak, yang akan memberi tunjuk ajar kepada remaja-remaja yang mengambil kursus Junior Open Water di Pusat Akuatik Shah Alam. Kemudiannya hos berkenalan dengan ketiga-tiga remaja untuk minggu tersebut. Selaman yang pertama ini walaupun airnya sedikit keruh dan jarak penglihatan tidak begitu jauh, namun bagi ketiga-tiga remaja yang pertama kalinya menyelam di dasar laut telah berjaya mendapatkan lesen mereka.
Dalam episod seterusnya hos dan kru produksi akan ke menjelajah ke lokasi selaman di Pulau Payar, di mana hos akan menerangkan kepada remaja bahawa ada tiga cara untuk ke Pulau Payar. Sama ada melalui jeti Kuala Kedah, Jeti Pulau Langkawi ataupun jeti Pulau Pinang. Di Pulau Payar ini, pengunjung hanya boleh bertandang ke sini bermula pukul 11.00 pagi hingga pukul 3.00 petang, ini kerana Pulau Payar ini tiada kemudahan tempat penginapan, tiada kemudahan air tawar dan makanan. Pulau Payar ini juga telah digazetkan sebagai salah satu Taman Laut negeri Kedah.
Begitu juga aktiviti di Pulau Segantang dan Pulau Chupak yang berdekatan dengan Pulau Payar. Apa yang menariknya kali ini adalah pertama kalinya dalam episod ini melakukan selam di waktu malam ataupun night dive. Pelbagai hidupan marin yang menarik telah dijumpai di sini iaitu spesis-spesis ikan yang besar seperti Giant Grouper, Moray Eel, Blue Spotted Sting Ray dan sebagainya.
Dalam episod berikutnya, kru produksi menjelajah pulau di Lumut, Perak dan lokasi selaman kali ini adalah di sekitar Pulau Sembilan, Pulau Saga dan Pulau Buluh. Tarikan istimewa adalah adanya bubu lama yang menjadi tempat pembiakan pelbagai spesis ikan-ikan kecil.
Keterujaan semakin bertambah dengan misi jelajah ke Pulau Tioman. Hos akan menerangkan kepada para remaja bagaimana untuk ke Pulau Tioman melalui jeti Mersing. Lokasi selaman kali ini adalah di kawasan kapal karam iaitu di kapal APMM (Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia) dan di Sawaddi Wreck (Thai Boat Fishing).
Lokasi selaman pilihan untuk episod seterusnya di Jeti Salang, Pulau Labas dan Batu Malang. Ketiga-tiga lokasi selaman ini memaparkan visual dan hidupan marin yang berbeza-beza serta keindahan dasar laut yang unik dan mempunyai tarikan tersendiri. Diikuti misi jelajah selam di Pulau perhentian iaitu Pulau Perhentian Besar dan Pulau Perhentian Kecil.
Setelah menjelajah di Semenanjung Malaysia, untuk episod ini hingga episod terakhir kru penggambaran beralih lokasi ke Sabah. Sebaik saja sampai di Tawau, lokasi selaman yang dipilih adalah di Semporna. Lokasi selaman untuk minggu ini adalah Pulau Pom-Pom dan antara dive site yang dipilih adalah Magic Rock dan shore dive.
Sepanjang penggambaran di Semporna, Aboy menjadi dive master dan membawa hos menjelajah ke pulau-pulau yang mempunyai tarikan dan keunikan dan memperkenalkan Pulau Pom-Pom yang mendapat mendapat nama berdasarkan daripada pokok Pom-Pom.
Pelbagai paparan dan visual menarik dipaparkan sepanjang berada di Pulau Timba-Timba pula. Antara hidupan marin dasar laut yang ditemui adalah seperti Lion Fish, Sting Ray, Penyu dan lain-lain
Masih di Sabah, pulau yang menjadi tarikan kepada para pengunjung luar mahupun peminat selam skuba adalah di Pulau Mataking. Untuk episod kali ini, diperkenalkan juga Discovery Scuba Diving (DSD). Namun begitu DSD ini bukanlah lesen skuba, tetapi masih boleh menyelam tetapi haruslah diawasi oleh dive master ataupun instructor. Penonton dibawa meneroka seluruh Pulau Mataking dan melihat sendiri antara tarikan yang ada seperti pusat pengawasan penyu bertelur, menara tinjau dan juga Coconut Crab.
Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton program di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.