in

Tarikan Istimewa Chiba, Jepun dalam Program PANORAMA

Seiring dengan pendekatan yang lebih segar serta memenuhi permintaan penonton, tayangan program terbitan Unit Majalah dan Dokumentari RTM yang tidak asing lagi, “Panorama” bakal bersiaran pada waktu siaran baharu bermula 5 April ini, setiap Selasa, pukul 9.00 malam menerusi saluran TV1.

Meneruskan legasi menyampaikan informasi dan berkongsi maklumat tentang isu, alam semula jadi, human/public interest, adat dan kebudayaan, pelancongan, teknologi, warisan, sejarah dan profil. Malah menariknya kini Panorama turut menjalankan penggambaran segmen khas di luar negara menerusi tajuk “Pesona Chiba”.

Tarikan Istimewa Chiba, Jepun dalam Program Panorama di TV1

Disiarkan menerusi tiga episod berturut-turut iaitu pada 5, 12 dan 19 April 2016, kunjungan kru Panorama RTM yang dibawa khas oleh Yakult (M) Sdn. Bhd. & Chiba Prefectural Government ke Chiba iaitu wilayah bersebelahan dengan ibu negara Jepun, Tokyo, memberi banyak peluang berharga untuk merakamkan detik menarik disetiap destinasi yang dikunjungi khas untuk penonton setia rancangan Panorama.

Setibanya di lapangan terbang antarabangsa Narita, mereka ke menara Pelabuhan Chiba yang menampilkan bangunan cermin berketinggian 113 meter iaitu lokasi untuk melihat seluruh Pusat Bandar Chiba serta wilayah berdekatan seperti menara Tokyo, menara Skytree dan gunung Fuji. Seterusnya mereka sempat mengelilingi bandar Chiba dengan menggunakan pengangkutan awam iaitu Chiba Urban Monorail.

Menurut penerbitnya Jasmaidy Aroff,

“Tarikan musim luruh memukau pelancong dengan taburan daun kekuningan yang memberi satu suasana tenang dan indah. Kedudukan Chiba yang berhadapan dengan lautan pasifik mempunyai banyak tempat menangkap ikan yang dibanggakan seperti pelabuhan perikanan Hotta di Bandar Kyonan. Lebih 40 restoran mengambil tempahan hasil tangkapan segar oleh Syarikat Fisherman Union. Selesai di pelabuhan, kami singgah ke restoran berdekatan untuk menikmati menu tradisi Jepun.”

Penerokaan krew Panorama diteruskan ke Wagoen Farm yang terletak di bandar Nissato Katori, Chiba. Di sini pelbagai sayuran dan buah-buahannya merupakan pertanian kelas tinggi di Jepun. Pengembaraan ini pastinya memberi pengalaman yang indah serta dapat berkongsi destinasi menarik bersama penonton setia rancangan Panorama.

Dalam episod seterusnya, destinasi percutian di Jepun, pastinya lebih menarik tatkala ke Chiba iaitu wilayah yang sering dilawati pelancong dari dalam dan luar negara. Menerusi siri kedua ini, penonton Panorama dibawa ke Kamogawa Seaworld yang terletak di Higashicho. Konsep “Pertemuan Dengan Dunia Lautan”, taman tema ini mempamerkan 800 jenis hidupan sungai dan lautan. Kru Panorama kagum melihat persembahan ikan paus pembunuh melakukan lompatan dinamik dan aksi mesra bersama pelatih. Pengunjung turut kagum melihat aksi pelatih wanita yang tidak gentar dengan haiwan ini.

Perjalanan diteruskan ke Shimoda Bakery and Café di Narita untuk menikmati roti istimewa yang popular di kalangan masyarakat Chiba. Satsumaimo atau roti yang berintikan kentang manis dan roti isitimewa berintikan unagi atau belut ini antara yang sering menjadi permintaan pelanggan di sini. Berdekatan Shimoda Bakery and Cafe, mereka ke restoran yang menjual produk manisan berbentuk kacang. Pandangan mata tertarik untuk ke Muzium Kaligrafi Naritasan yang memaparkan pelbagai seni tulisan kaligrafi moden dan klasik.

Destinasi pelancongan seterusnya adalah menerokai lembah Yoru-Keikoku yang dipenuhi pelbagai jenis tumbuhan. Pemandangan menakjubkan di penghujung musim luruh, di mana masih kelihatan tumbuhan berwarna keemasan dan juga tumbuhan kembali menghijau iaitu menandakan musim sejuk atau salji akan tiba. Bagi merasai pengalaman membeli-belah di Chiba, kru Panorama sempat singgah di beberapa buah butik terkemuka di Shisui Premium Outlets. Semua destinasi ini sememangnya perlu di masukkan ke dalam senarai lokasi untuk dikunjungi sekiranya ke Chiba, Jepun.

Melengkapkan lagi pengembaraan di bumi Chiba, bersama pengacara Rosnani Nasir menyambung perjalanan menjejakkan kaki ke taman tema Tokyo Disneyland. Dibina pada tahun 1983 dan merupakan taman tema Disneyland pertama yang berada di luar Amerika Syarikat. Destinasi ini terletak di bandar Urayasu, wilayah Chiba, berhampiran Tokyo. Taman ini dibina oleh Walt Disney Imagineering dengan gaya yang sama seperti Disneyland di California dan Magic Kingdom di Florida. Tokyo Disneyland adalah milik The Oriental Land Company, yang mendapat lesen temanya dari The Walt Disney Company. Warna lampu dan warna-warni persembahan menceriakan malam di Tokyo Disneyland semua watak dalam kartun Disney di persembahkan kepada pengunjung yang siap sedia menunggu di sepanjang jalan.

Bertempat diperkampungan keluarga samurai, kru Panorama bersama Taakaki Suga dari Unit Kebudayaan Bandar Sakura bagi mengenali lebih dekat mengenai samurai. Samurai semasa era Tokugawa beransur-ansur kehilangan fungsi ketenteraan mereka. Pada akhir era Tokugawa, samurai secara umumnya adalah kakitangan am bagi Daimyo, dengan pedang mereka hanya untuk tujuan istiadat. Seribu satu agenda acara dan tarikan terdapat di Chiba, Jepun, untuk mendapatkan sesuatu yang unik dalam penjelajahan anda ke negara matahari terbit ini. Pengembaraan kru Panorama ke bumi Chiba yang diterbangkan khas oleh Yakult Malaysia dan Chiba Prefecture Government, memberi pengalaman yang indah serta dapat berkongsi destinasi menarik bersama penonton setia rancangan panorama RTM yang bersiaran setiap Selasa, pukul 9.00 malam di TV1.

Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

eBu BabyPedia Singkap Perjalanan Lisa Surihani & Yusry

Minggu Setiausaha Siti Nordiana di Atmosphere 360, Menara KL